Benarkah Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya Parlimen tidak bersidang, termasuk persidangan Parlimen dan jawatankuasa pilihan khas secara maya, bagi menyemak dan meneliti langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mengurus dan membendung wabak Covid-19 dan sebaliknya mencadangkan supaya sidang Parlimen diadakan selama satu hari sahaja pada 18 Mei ini?
Semalam, Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, mengumumkan bahawa beliau akan membentangkan strategi keluar Perancis di Parlimen Perancis pada hari esok, yang kemudiannya akan dibahaskan dan diundi untuk diluluskan.
Jumlah kematian harian akibat Covid-19 di Perancis semakin berkurangan, negara tersebut mencatatkan angka kematian seramai 242 orang pada Ahad, berbanding 369 kematian baru pada hari sebelumnya.
Hanya dalam seminggu yang lalu, Perancis mencatat peningkatan sebanyak 14,256 kes Covid-19 dan 3,139 orang telah dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan wabak ini -- jauh melebihi angka yang dicatatkan di Malaysia.
Sekiranya Perancis yang kini merupakan negara kedua selepas Amerika Syarikat dengan jumlah kes tertinggi Covid-19, dengan 226,629 kes dengan 23,190 kematian, dapat memastikan Parlimennya bersidang untuk meneliti dan kemudiannya meluluskan strategi keluarnya, mengapa Parlimen Malaysia dilemahkan fungsinya dan dipinggirkan peranannya?
Menteri Hal Ehwal Parlimen, Takiyuddin Hassan berkata bahawa keputusan untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat selama hanya satu hari pada 18 Mei kononnya adalah berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan serta pakar-pakar yang berkaitan demi kebaikan dan keselamatan semua pihak.
Benarkah Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya Parlimen tidak bersidang, termasuk persidangan Parlimen dan jawatankuasa pilihan khas secara maya, bagi menyemak dan meneliti langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mengurus dan membendung wabak Covid-19 dan sebaliknya mencadangkan supaya sidang Parlimen diadakan selama satu hari sahaja pada 18 Mei ini sekadar untuk memenuhi keperluan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan yang yang mengatakan Parlimen perlu bersidang sekurang-kurangnya setiap enam bulan?
Saya berharap Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media hariannya hari ini, dapat memberikan sedikit penjelasan tentang dakwaan yang Kementerian Kesihatan ada menasihatkan Parlimen agar bermesyuarat selama satu hari sahaja, dan sama ada benar bahawa pihak Kementerian Kesihatan tidak bersetuju supaya Parlimen memainkan peranannya dalam menyemak imbang tindak-tanduk kerajaan dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini.
Saya tidak beberapa yakin dengan cadangan yang idea untuk melaksanakan sidang Parlimen selama satu hari pada 18 Mei ini datang dari Kementerian Kesihatan, kerana pada 17 April, iaitu ketika Setiausaha Parlimen menghantar notis kepada semua Ahli Parlimen untuk memaklumkan bahawa Parlimen akan bersidang selama satu hari sahaja, Ketua Pengarah Kesihatan dan semua pakar pasti sudah merasakan bahawa kita telah melepasi kemuncak gelombang kedua wabak Covid-19, tertakluk kepada pengesahan daripada perkembangan dalam beberapa hari mendatang.
Pada 31 Mac, saya telah menegaskan bahawa "ada harapan yang unjuran JP Morgan di mana Malaysia akan mencapai 6,300 kes positif Covid-19 pada pertengahan April bakal dibuktikan salah" dan pada 7 April, saya boleh menjangka bahawa kemuncak gelombang kedua wabak Covid-19 di Malaysia telah berlalu pada 3 April dengan 3,333 kes, saya tidak percaya yang Ketua Pengarah Kesihatan atau pakar kesihatan tidak dapat meramalkan hal yang sama dan seterusnya berkongsi dengan pemimpin tertinggi kerajaan tentang lengkungan epidemiologi Covid-19 di negara ini yang telah berjaya diratakan dan jumlah kes semakin berkurangan - berbeza sama sekali situasinya dengan negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Sepanyol, Perancis, Itali dan Amerika Syarikat.
Dari 17 April hingga semalam, kenaikan harian kes Covid-19 di Malaysia secara konsisten berada di dalam lingkungan dua angka, antara 36 hingga 88 kes.
Sebagai perbandingan, kenaikan harian kes Covid-19 di United Kingdom bukan sahaja kekal sekitar empat angka sejak 17 April tetapi berada sekitar antara 4,301 hingga 5,850 kes.
Kenaikan harian kes Covid-19 di Perancis juga berada dalam lingkungan empat angka sejak 17 April, antara 1,101 hingga 3,824 kes kecuali semalam yang mencatatkan peningkatan sebanyak 612 kes.
Jika idea sidang Parlimen sehari ini tidak datang dari Kementerian Kesihatan atau nasihat pakar, Menteri Hal Ehwal Parlimen harus mengakui kesilapannya dan meminta Kabinet pada hari Rabu ini untuk menyemak semula keputusan persidangan Parlimen sehari ini.
Kerajaan harus berbincang dengan para pemimpin parti-parti politik yang mempunyai wakil di Parlimen tentang bagaimana Parlimen dapat melaksanakan peranannya dalam usaha membendung wabak Covid-19 dan bukannya menjadi negara pertama di dunia yang melemahkan fungsi dan meminggirkan peranan Parlimennya.