Bagaimana Muhyiddin merancang untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam peperangan melawan Covid-19 sedangkan beliau sendiri pun tidak berani untuk memanggil sidang Parlimen bagi membahaskan isu berkenaan wabak ini?

Pada 7 April saya telah menjangkakan yang kita telah melepasi kemuncak gelombang kedua penularan wabak Covid-19 di Malaysia pada 3 April dengan 3,333 kes, berdasarkan kenyataan media saya pada 31 Mac yang mengatakan “terdapat petanda memberansangkan yang jangkaan suram JP Morgan bahawa Malaysia akan berhadapan 6,300 kes menjelang pertengahan April mungkin terbukti silap”.

Saya berbesar hati dengan ketepatan jangkaan ini.

Sehingga hari ini, di dalam minggu terakhir bulan April, kita belum lagi mencapai paras 6,300 kes. Kita kini mencatatkan 5,692 kes, dan kita mungkin tidak akan mencapai 6,300 kes menjelang pengakhiran fasa kedua PKP pada 28 April.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan yang Malaysia telah berjaya mendatarkan lengkungan jangkitan dan kini berada di dalam fasa pemulihan untuk menghapuskan saki baki jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, berdasarkan kajian model jangkaan, di mana data pada 3 April menunjukkan 217 kes baharu, pihak Kementerian tidak melihat sebarang kemuncak baharu.

Pihak Kementerian Kesihatan pada mulanya telah bersedia untuk kemuncak dengan 6,300 kes pada 14 April, tetapi kita tidak mencapai angka ini.

Jelaslah PKP berjaya dalam mendatarkan lengkungan jangkitan ini.

Malaysia kini berada di dalam fasa pemulihan dan bukan lagi berada di dalam fasa kemuncak dan semua rakyat Malaysia berkongsi harapan yang sama dengan Dr Hisham supaya momentum ini dapat diteruskan dan supaya kita semua dapat memastikan kes di Malaysia berjaya diturunkan dan dikawal.

Namun Dr Hisham juga memberikan amaran: “Tidak mustahil untuk ada peningkatan mendadak jika kita tidak berhati-hati. Oleh itu penting untuk kita teruskan apa yang kita lakukan dalam PKP 1, 2 dan kini 3.”

Situasi semasa mungkin akan menjadi lebih baik dengan permulaan fasa ketiga PKP yang bermula pada 29 April dan saya tidak rasa ianya terlalu optimistik untuk terus mengharapkan kadar kenaikan harian dua angka sekarang untuk ke satu angka, malah ia mungkin turun ke kadar sifar.

Malaysia telah menyertai Korea Selatan, Australia, dan New Zealand dan beberapa negara lain yang telah dengan jayanya mendatarkan lengkungan jangkitan sebelum adanya satu peningkatan mendadak kes Covid-19 yang menyebabkan kerosakan dan mengorbankan ramai nyawa seperti di Amerika Syarikat yang kini telah melepasi paras 90,000 kes dan sedang mara ke paras sejuta kes dengan lebih daripada 50,000 kematian (hampir satu perempat daripada jumlah kematian global), ataupun seperti di negara Eropah seperti Sepanyol, Itali, Perancis, United Kingdom, dan Jerman yang secara terkumpul merekodkan 1.2 juta kes dan lebih daripada 111,000 kematian.

Tetapi rakyat Malaysia perlu faham bahawa kita baru saja memenangi satu perjuangan dan kita belum memenangi peperangan melawan wabak ini. Pakar di United Kingdom menjangkakan sehingga sebanyak enam gelombang penularan Covid-19 sebelum satu vaksin yang berkesan dapat dicipta dengan meluas ataupun sebelum imuniti kelompok dapat dibangunkan dalam sesebuah komuniti.

Komuniti saintifik global secara amnya bersetuju yang vaksin untuk virus ini boleh dicipta dalam tempoh 12 bulan -- namun terdapat juga saintis yang percaya ia akan mengambil masa sehingga dua tahun. Terdapat juga segolongan minoriti yang merasakan yang vaksin ini tidak akan berjaya dicipta.

Langkah kawalan pergerakan telah berjaya memperlahankan penularan wabak ini, tetapi kita perlu sentiasa berhati-hati dan bersedia untuk sebarang peningkatan semula penularan sehinggalah satu vaksin yang berkesan berjaya dicipta.

Sebagai sebuah negara yang bertuah, kita diberikan peluang untuk merangka satu pelan keluar yang bersesuaian, yang akan membolehkan kita membendung penularan wabak Covid-19 dan pada dalam masa yang sama melonjakkan semula ekonomi negara yang kini berada di bawah satu tekanan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Seperti yang saya pernah katakan dalam kenyataan media saya yang bertarikh 8 April 2020, pembahagian kawasan dalam negara oleh pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara kepada empat zon berwarna -- merah, jingga, kuning, dan hijau -- boleh dijadikan sebagai asas kepada rancangan untuk melonggarkan PKP secara berperingkat dan mengikut kawasan.

Dengan negara kita dibahagikan kepada 148 daerah, dengan 14 di bawah zon merah, tujuh zon jingga, 62 zon kuning, dan 65 zon hijau -- PKP boleh dilonggarkan mengikut zon-zon ini, bermula dengan kawasan zon hijau dan kuning yang merupakan lebih daripada tiga perempat daripada semua zon dalam negara.

Kita perlu mengambil pendekatan yang fleksibel, lincah, dan kreatif dalam memetakan dan melaksanakan strategi terbaik untuk era pasca-Covid-19 di dalam fasa ketiga PKP ini, namun pada masa yang sama, amat penting untuk pendekatan ini diasaskan dengan sifat tanggungjawab dan ketelusan kepada rakyat.

Tidak ada jumlah wang ataupun usaha yang boleh memulangkan semula 96 nyawa yang telahpun terkorban di Malaysia, ataupun 196,971 nyawa yang terkorban di sekitar dunia akibat Covid-19, tetapi kita perlu melakukan sebaik-baiknya untuk mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dan melindungi nyawa mereka yang terjejas akibat wabak ini.

Kerajaan haruslah bertanggungjawab dan telus untuk mendapatkan sokongan penuh rakyat dalam mengambil langkah-langkah pasca-Covid-19 yang mungkin tidak popular.

Terdapat tanda-tanda kedatangan semula penyalahgunaan kuasa dan rasuah, yang telah ditolak oleh rakyat Malaysia dalam pilihan raya bersejarah 9 Mei 2018.

Satu contoh yang jelas sekali adalah diskriminasi dalam pengedaran bantuan makanan kepada kawasan parlimen yang diwakili oleh Ahli Parlimen pembangkang seperti yang diketengahkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Tan Kok Wai dan Hannah Yeoh.

Korea Selatan telah menjadi tanda aras terbaik dalam mendatarkan lengkungan jangkitan. Menteri Luar Negeri Korea Selatan, Kang Kyung-Wha telah mengatakan yang kejayaan Korea Selatan dibantu oleh “ketelusan sepenuhnya” dan oleh sebuah kerajaan yang terbuka dan mempunyai kepercayaan rakyat mereka.

Kang berkata:

Kunci kepada kejayaan kami adalah ketelusan mutlak kepada pihak awam -- dengan mengongsikan setiap butiran mengenai bagaimana virus ini sedang berubah, bagaimana ia sedang merebak, dan apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengekangnya, baik dan buruk.”

Bagaimana kerajaan boleh mendapatkan kepercayaan dan keyakinan seperti ini jika ia tidak berani untuk memanggil sidang Parlimen bagi membahaskan hal ehwal berkaitan Covid-19?

Kerana inilah penyertaan Parlimen penting dalam memastikan satu rancangan keluar yang berjaya dapat dirangka -- dan perlunya satu persidangan khas Parlimen dalam bulan April dengan pembentangan rancangan ini untuk diluluskan pada bulan Mei.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri