Mengapa Muhyiddin sangat takut untuk memanggil sidang khas Parlimen Covid-19, sedangkan Malaysia berjaya mengurusnya lebih baik berbanding UK yang mempunyai 133,495 kes dan 18,100 kematian -- 24 kali jumlah kes dan 195 jumlah kematian di Malaysia -- sedangkan Dewan Rakyat di UK telah mengadakan sidang secara maya selama 100-minit semalam?

Walaupun Malaysia berjaya mengendalikan bencana Covid-19 dengan lebih baik berbanding United Kingdom, adalah menjadi satu perkara memalukan apabila Parlimen UK semalam telah mengadakan persidangan maya yang membolehkan ahli parlimen untuk meneliti tindak-tanduk kerajaan British selama 100 minit mengenai pengendalian bencana Covid-19 di negara tersebut. Namun begitu, kerajaan Malaysia masih tidak berani untuk mengadakan persidangan khas bagi isu yang sama.

Mengapakah Muhyiddin sangat takut untuk memanggil sidang khas Parlimen Covid-19 sedangkan Malaysia berjaya mengurusnya dengan lebih baik berbanding UK yang mempunyai 133,495 kes dan 18,100 kematian -- 24 kali jumlah kes dan 195 jumlah kematian di Malaysia, yang hanya mempunyai 5,532 kes dan 93 kematian?

Adakah perkara ini terjadi kerana Malaysia terlalu terkebelakang dari aspek teknologi, malah berada jauh di belakang Maldives, negara terkecil di Asia dari jumlah penduduk dan saiz kawasan, yang telah menjadi negara pertama di dunia yang telah menjalankan sidang parlimen secara atas talian untuk kesemua 87 ahli parlimennya semasa bencana Covid-19?

Atau adakah ianya kerana Malaysia ini tidak demokratik dan tidak sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen yang diwarisi daripada bapa yang menubuhkan negara kita, dengan asas pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, dan Perlembagaan Persekutuan?

Dewan Rakyat UK semalam telah mengadakan persidangan secara maya pertama kalinya, dengan sesi Pertanyaan kepada Perdana Menteri selama 45 minit, Kenyataan Menteri selama 10 minit daripada Menteri Kesihatan dan Kebajikan Sosial, Matt Hancock, yang kemudiannya diikuti dengan sesi pertanyaan selama 45 minit.

Keseluruhan 100 minit waktu Pertanyaan kepada Perdana Menteri, -- yang dijawab oleh Menteri Luar Dominic Raab bagi menggantikan Perdana Menteri Boris Johnson yang masih sedang dalam pemulihan daripada jangkitan Covid-19 -- Kenyataan Menteri, dan soal jawab kepada menteri memfokuskan satu isu iaitu Covid-19.

Persidangan maya pertama semalam juga merupakan kemunculan pertama Keir Starmer sebagai Ketua Pembangkang baharu Parlimen UK, beliau mempersoalkan kegagalan kerajaan dalam perkara ujian saringan dan kegagalan membekalkan alatan pelindung diri yang mencukupi.

Seorang ahli parlimen UK juga mempersoalkan cara pengendalian “huru-hara” wabak Covid-19 di UK oleh pihak kerajaan.

Semasa perintah kawalan pergerakan dimulakan di Malaysia pada 18 Mac 2020, kita mempunyai 790 kes Covid-19 dan dua kematian, sedangkan pada masa yang sama United Kingdom mempunyai 2,626 kes dan 104 kematian.

Lima minggu kemudian, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia meningkat sebanyak tujuh kali ganda kepada 5,532 dan jumlah kematian telahpun meningkat sebanyak 46 kali ganda kepada 93 kematian.

Sementara itu di United Kingdom pula, jumlah ini meningkat mendadak dengan kes positif di negara tersebut meningkat 50 kali ganda, daripada 2,660 kepada 133,495 kes dan jumlah kematian pula meningkat 174 kali ganda daripada 104 kematian kepada 18,100 kematian.

Penting juga diingati bahawa terdapat data yang mencadangkan kadar kematian sebenar di United Kingdom mungkin 40% lebih tinggi daripada angka yang diumumkan oleh pihak kerajaan mereka.

Di dalam sebuah demokrasi berparlimen, yang menegakkan prinsip pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang, penelitian parlimen adalah perkara asas yang penting, terutamanya ketika negara sedang menghadapi krisis seperti bencana wabak Covid-19.

Dengan penelitian Parlimen, masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam bencana ini dapat diketengahkan dan diselesaikan, sama ada aduan di mana tidak semua petugas kesihatan barisan hadapan menerima elaun khas bernilai antara RM400 ke RM600 seperti yang diumumkan dalam pakej Bantuan Prihatin Rakyat; ataupun kekurangan alatan pelindungan diri untuk para petugas barisan hadapan; diskriminasi dalam pengagihan bantuan makanan, terutamanya dalam kawasan parlimen pembangkang; aduan mengenai ketidak-cukupan makanan dan maklumat di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD); layanan tidak adil terhadap Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran apabila beliau cuba untuk mengetengahkan isu yang dihadapi oleh penduduk di Taman Sri Murni di Selayang yang kini berada di bawah PKPD; layanan berbeza dalam pelaksanaan PKPD; nasib golongan terpinggir yang diabaikan dalam menghadapi wabak ini, dan lain-lain perkara lagi.

Masih belum terlambat untuk Perdana Menteri memanggil satu persidangan khas parlimen untuk membahaskan isu berkaitan Covid-19 sebelum bulan April berakhir.

Di peringkat dunia, terdapat berita baik dan buruk mengenai wabak Covid-19 ini.

Semalam, jumlah kes terkumpul di seluruh dunia melepasi paras 2.5 juta kes. Terdapat 2,632,532 kes di seluruh dunia dengan peningkatan harian sebanyak 76,772 kes, 1,535 kali ganda jumlah peningkatan harian di Malaysia!

Manakala, 183,866 nyawa telah pun terkorban di seluruh dunia kerana wabak ini, berbanding dengan 92 di Malaysia.

Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata terdapat tren peningkatan yang membimbangkan di Afrika dan Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Beliau juga memberikan amaran yang virus ini akan berada dengan kita untuk satu tempoh yang lama.

Beliau berkata di dalam sebuah taklimat maya dengan wartawan di Geneva: “Kebanyakan negara masih berada di dalam fasa awal dan sesetengah negara yang awal dijangkiti wabak ini kini sedang berhadapan dengan peningkatan.”

Setakat hari ini, 10 negara teratas dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi adalah:

  • Amerika Syarikat 846,294 kes; 47,524 kematian (5.6%)
  • Sepanyol 208,389 kes; 21,717 kematian (10.4%)
  • Itali 187,327 kes; 25,085 kematian (13.4%)
  • Perancis 159,877 kes; 21,340 kematian (13.3%)
  • Jerman 150,646 kas; 5,279 kematian (3.5%)
  • UK 133,495 kes; 18,100 kematian (13.6%)
  • Turki 98,674 kes; 2,376 kematian (2.4%)
  • Iran 85,996 kes; 5,391 kematian (6.3%)
  • China 82.788 kes 4,632 kematian (5.6%)
  • Rusia 57,999 kes 513 kematian (0,9%)

Di Asean pula, Singapura telah menjadi negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi: Singapura (10,141 kes, 12 kematian); Indonesia (7.418 kes, 635 kematian), Filipina (6.710 kes, 446 kematian); Malaysia (5.532 kes, 93 kematian) dan Thailand (2.826 kes, 49 kematian).

Antara berita terbaik pula adalah pembangunan vaksin Covid-19 oleh Universiti Oxford yang memulakan ujian klinikal pada manusia hari ini.

Para saintis di Oxford telah mengatakan sebelum ini yang mereka menyasarkan pengeluaran sejuta dos vaksin menjelang September.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri