Parlimen harus diisytiharkan sebagai perkhidmatan penting dan sepuluh hari persidangan parlimen secara maya selepas pembukaan Parlimen oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 18 Mei
Tidak kiralah apa pun keputusan kerajaan mengenai fasa ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bakal luput pada 28 April ini, Parlimen patut diisytiharkan sebagai perkhidmatan penting negara bagi memastikan ia dapat menjalankan tanggungjawabnya untuk meneliti usaha kerajaan dalam melawan bencana berkembar kesihatan awam dan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19 dan juga untuk menggerakkan perpaduan negara dan solidariti dalam situasi bencana.
Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat harus bermesyuarat dengan segera untuk mempersiap sediakan Parlimen dan pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk memasuki era internet dengan mengadakan “persidangan maya”.
Di London hari ini, Dewan Rakyat UK akan bersidang secara maya buat kali pertamanya dalam sejarah untuk sesi soal jawab bersama menteri.
Keputusan ini dicapai setelah ahli parlimen di UK semalam mempersetujui keputusan untuk mengadakan satu kamar perbahasan digital yang boleh memuatkan sehingga 120 ahli parlimen menggunakan platform persidangan video Zoom dan juga pada masa yang sama membenarkan sehingga 50 ahli parlimen untuk hadir ke Dewan secara fizikal.
Speaker Dewan Rakyat UK Sir Lindsay Hoyle telah menggesa seramai mungkin ahli parlimen untuk menggunakan platform ini sambil kekal berada di rumah masing-masing untuk mengelakkan jangkitan koronavirus.
Semua ahli parlimen yang memilih untuk menghadiri persidangan secara fizikal akan diperlukan untuk mematuhi peraturan pembatasan sosial yang ketat dan diperlukan untuk duduk pada jarak sekurang-kurangnya dua meter daripada ahli parlimen yang lain.
Pengedaran nota akan diharamkan dan pintu Dewan akan dibiarkan terbuka untuk mengekalkan risiko jangkitan rendah.
Sir Lindsay juga telah menegaskan bahawa semua ahli parlimen -- sama ada yang hadir secara fizikal ataupun maya -- akan diberikan layanan yang sama.
Parlimen British tidak bersidang sejak 25 Mac dan ramai ahli parlimen telah menyeru supaya parlimen dipanggil bersidang awal supaya mereka boleh bertanyakan soalan kepada para menteri mengenai pengendalian wabak Covid-19 oleh kerajaan.
Koridor Raya Multimedia dilancarkan 25 tahun yang lepas dengan tujuan untuk memastikan Malaysia berada di hadapan dalam era teknologi maklumat dan untuk melonjakkan negara ke dalam era maklumat.
Jika kita berjaya mencapai objektif ini, Malaysia akan mendahului dunia dengan parlimen digital dan bukannya tertinggal ke belakang di dalam era maklumat ini.
Tidak ada sebarang sebab pun untuk Parlimen Malaysia tidak berada di hadapan dari segi ini dah kerana inilah Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat harus memastikan Parlimen Malaysia menjadi perintis persidangan digital parlimen di dunia.
Dalam dua tahun yang lepas, sesi pembukaan Parlimen oleh Yang di Pertuan Agong berlangsung selamat lima minggu dengan 20 hari bersidang. Bukan sahaja untuk memperbahaskan rancangan kerajaan untuk tahun tersebut, tetapi juga untuk menguruskan sebarang urusan parlimen seperti rang undang-undang dan lain-lain urusan.
Idea di mana Parlimen akan bersidang untuk sehari pada 18 Mei bagi penyampaian Titah Diraja hanya untuk memenuhi keperluan perlembagaan supaya Parlimen bersidang sekurang-kurangnya enam bulan sekali dan kemudiannya sesi ditangguh ke Julai, tanpa sebarang perbahasan, termasuklah perbahasan Menjunjung Titah Diraja adalah amat mengejutkan dan bertentangan dengan prinsip demokrasi. Perkara ini hanya boleh difikirkan oleh mereka yang tidak memahami, menyedari, mahupun menghormati idea demokrasi dan kepentingan Parlimen dalam sesebuah demokrasi.
Malah, sesiapapun menteri yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal Parlimen, yang mempunyai sekelumit maruah, akan meletakkan jawatannya sebagai tanda protes terhadap penghinaan dan sikap tidak ambil peduli terhadap Parlimen. Malang sekali, perkara ini tidak berlaku.
Dalam 24 jam yang lepas di United Kingdom, terdapat peningkatan sebanyak 4,301 kes Covid-19 dengan 828 kematian baharu -- dua kali ganda jumlah 2,133 kes aktif di Malaysia dah hampir sembilan kali ganda sejumlah 92 kematian di Malaysia.
Dengan jumlah mengejutkan seperti itu di United Kingdom, bolehkah Perdana Menteri, Menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Parlimen, ataupun mana-mana menteri kabinet menjelaskan mengapa Parlimen di Malaysia, dengan 5,425 kes Covid-19 dan 92 kematian hanya bersidang selama sehari pada 18 Mei, sedangkan Parlimen di United Kingdom, yang kini berhadapan dengan 129,044 kes Covid-19 (lebih kurang 24 ganda kes di Malaysia) dan 17,337 kematian (188 kali ganda kematian di Malaysia) dan masih lagi belum mencapai kemuncak penularan di negara tersebut, boleh bersidang dengan persidangan secara maya untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam meneliti tindak-tanduk kerajaan?
Masanya telah tiba untuk kerajaan berjumpa dengan para pemimpin pembangkang parlimen untuk mempersetujui cara untuk mengadakan persidangan Parlimen secara maya, sekurang-kurangnya untuk 10 hari di dalam bulan Mei, selepas penyampaian Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 18 Mei.