Sekiranya United Kingdom -- di mana wabak Covid-19 masih belum mencapai kemuncaknya dengan sejumlah 124,743 kes dan 16,509 kematian -- masih meneruskan persidangan Parlimen secara aktif, mengapa Parlimen di Malaysia, yang telah melepasi kemuncak gelombang kedua wabak Covid-19 sejumlah 5,425 kes dan 89 kematian, hanya dibenarkan untuk bersidang selama satu hari pada 18 Mei nanti?

Akhbar British, Daily Mail, telah melaporkan bahawa Dewan Rakyat UK telah menyediakan sistem pengundian elektronik susulan penularan wabak Covid-19 bagi membolehkan Ahli Parlimen di UK untuk julung-julung kalinya meluluskan rang undang-undang tanpa perlu berada di dalam Dewan di Westminster ketika negara tersebut bersiap sedia untuk membuka semula Parlimen secara maya hari ini.

Parlimen UK bercadang untuk menggunakan platform persidangan video, Zoom bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen bersoal balas dengan anggota pentadbiran daripada rumah.

Perkara ini akan membawa institusi berusia 700 tahun itu sejajar dengan badan perundangan lain termasuk parlimen Eropah, Scotland, dan Wales.

Mesyuarat Suruhanjaya Dewan Rakyat UK pada minggu lepas “meluluskan persiapan untuk memperkenalkan model operasi yang akan diguna pakai mulai Rabu (22 April) bagi membolehkan ahlinya untuk mengambil bahagian dalam persidangan baik secara maya mahupun fizikal di Dewan, yang mana akan memastikan layanan saksama antara kedua-dua bentuk penyertaan tersebut”.

Model operasi berkenaan, yang akan dipersembahkan kepada Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan, merangkumi sesi Pertanyaan Lisan, Pertanyaan Soalan Penting dan Kenyataan Lisan yang akan dijalankan dalam dua jam pertama persidangan.

Parlimen UK minggu lalu bersetuju untuk membenarkan Ahli Parlimen menyoal balas menteri secara maya.

Sesi persidangan secara maya itu boleh menampung sehingga 120 Ahli Parlimen.

Namun, 50 daripada 650 Ahli Parlimen UK masih lagi dibenarkan untuk hadir secara fizikal ke Dewan.

Menurut laman web Parlimen UK, tiga Jawatankuasa Pilihan Parlimen, iaitu Hal Ehwal Dalam Negeri, Perbendaharaan, dan Kehakiman akan mengadakan mesyuarat secara maya hari ini. Jawatankuasa Hal Ehwal Dalam Negeri akan memfokuskan kepada "kesiapsiagaan Kementerian Dalam Negeri untuk berdepan Covid-19" sementara Jawatankuasa Perbendaharaan pula akan mempertimbangkan "Impak Ekonomi Penularan Koronavirus".

Sekiranya United Kingdom -- di mana wabak Covid-19 masih belum mencapai kemuncaknya dengan sejumlah 124,743 kes positif dan 16,509 kematian -- masih meneruskan persidangan Parlimen, mengapa Parlimen di Malaysia, yang telah melepasi kemuncak gelombang kedua wabak Covid-19 dengan 5,425 kes dan 89 kematian, hanya dibenarkan untuk bersidang selama satu hari pada 18 Mei nanti?

Ramai yang tertanya-tanya.

Adakah Parlimen Malaysia akan mengikut perkembangan semasa dan menyediakan sistem pengundian elektronik untuk Ahli Parlimen Malaysia, selain membuat persiapan untuk membolehkan mesyuarat Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen diadakan secara maya?

Adakah Parlimen Malaysia akan menonjol di kalangan parlimen dunia dalam tindakannya memerangi wabak Covid-19 dan bukannya dilemahkan dan dipinggirkan peranannya sehingga diberi ruang hanya sehari untuk bersidang.

Hampir dua tahun yang lalu pada 9 Mei 2018, Malaysia menjadi contoh kepada dunia demokrasi menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan peralihan kuasa berlaku secara demokratik dan aman, terutamanya selepas satu dekad demokrasi berparlimen sebagai sistem pemerintahan dipandang enteng di seluruh dunia.

Adakah kita mahu dilihat dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai peranan Parlimen yang paling lemah dan terpinggir dalam usaha memerangi musuh yang tidak kelihatan ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri