Terima kasih kepada Dr Noor Hisham kerana mengongsikan sebahagian kecil daripada strategi rancangan keluar negara, tapi kita perlu lebih banyak maklumat mengenainya

Terima kasih kepada Dr Noor Hisham kerana mengongsikan sebahagian kecil daripada strategi rancangan keluar negara, tapi kita semua perlu untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenainya.

Kerana inilah saya telah menyeru Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat satu siaran langsung dan berkongsi dengan rakyat Malaysia, rancangan kerajaan untuk melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membolehkan satu perdebatan yang mendalam, termasuklah di Parlimen.

Dr Hisham telah mengatakan yang pelan negara untuk keluar daripada PKP perlu mempunyai unsur pelonggaran berfasa supaya Malaysia boleh beralih dengan berhati-hati ke dalam satu norma baharu yang bertujuan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Beliau berkata yang kerajaan merancang dan melihat bagaimana satu “pendaratan lembut” dapat dilaksanakan, dengan pelonggaran berfasa PKP yang mengambil kira keadaan jangkitan Covid-19 dalam negara untuk tempoh dua minggu yang akan datang dan dua minggu selepasnya untuk memastikan kita semua dapat menyesuaikan diri dengan “norma baharu” ini.

Dr Hisham juga mengingatkan semua rakyat dengan peringatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini perlu berterusan sehingga 2021.

Beliau berkata, walaupun PKP mungkin tidak dikuatkuasakan lagi, selagi vaksin tidak dicipta, semua orang perlu mengubah gaya hidup dan aktiviti harian mereka bagi meneruskan strategi pencegahan jangkitan ini.

Apa yang perlu menjadi jelas kepada kita semua adalah; pelonggaran PKP tidak bermakna wabak Covid-19 ini sudah pun berlalu, perkara ini perlu ditekankan, memandangkan banyak negara sedang melonggarkan kawalan pergerakan dalam negara mereka.

Terdapat semakin banyak negara yang telah mula melonggarkan kawalan pergerakan mereka ketika para pemimpin di negara tersebut bergelut dengan masalah berkembar kesihatan awam dan kelembapan ekonomi, membuat pilihan di antara usaha menyelamatkan nyawa dan punca pendapatan dan pilihan di antara keperluan kewangan untuk memperbaiki semula ekonomi negara yang dirosakkan akibat wabak ini dengan keperluan untuk rakyat kekal duduk di rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan -- dan Malaysia tidak terlepas daripada persoalan ini.

Satu kajian telah mencadang “jadual pembukaan semula” yang mempunyai empat fasa:

Fasa pertama - mengekang penyebaran virus ini dengan komprehensif dan sepantas yang boleh bagi mengelakkan “lengkungan penyebaran” virus ini meningkat semula ke suatu kemuncak di luar kapasiti sistem kesihatan awam negara. Jika terdapat lebih ramai pesakit kritikal berbanding dengan katil hospital, maka nyawa yang boleh diselamatkan mungkin akan mati. Pengekangan ini akan melibatkan pembatasan sosial, pengharaman perhimpunan besar-besaran, penutupan ruang-ruang awam dan mungkin juga sekolah, bekerja dari rumah dan pengehadan perjalanan.

Fasa kedua - negeri, ataupun bandar diberikan kuasa untuk melonggarkan kawalan pergerakan, hanya apabila mereka telah mempunyai kapasiti untuk mengenalpasti, melakukan ujian saringan, dan mengasingkan hampir kesemua kes positif Covid-19 dan kontak rapat mereka.

Fasa ketiga - membenarkan kawalan pergerakan untuk dibatalkan apabila vaksin sudah dicipta, rawatan yang berkesan tersedia, ataupun jika maklumat saringan menunjukkan imuniti kelompok telah dikesan di dalam komuniti.

Fasa keempat - pelaburan besar-besaran dalam kajiselidik perubatan dan sistem kesihatan awam negara untuk menyediakan negara dengan wabak yang akan datang.

Singapura, untuk beberapa minggu yang lepas dilihat sebagai contoh terbaik antarabangsa yang berjaya mengekang wabak Covid-19. Namun kini, negara tersebut berhadapan dengan peningkatan jangkitan mendadak yang telah menyebabkan negara tersebut mengetatkan kawalan.

Dengan 8,014 kes Covid-19 yang disahkan, negara tersebut mendahului Indonesia (6,760 kes), Filipina (6,459), dan Malaysia (5,425). Semasa Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac, Singapura hanya mempunyai 345 kes positif, berbanding dengan 309 di Indonesia, 217 di Filipina, dan 900 di Malaysia.

Jepun juga berjaya mengekalkan kadar jangkitan rendah selama dua bulan, tetapi kini melihatkan lonjakkan jumlah jangkitan, kini melepasi kadar jangkitan di Korea Selatan.

Contoh-contoh “gelombang kedua” wabak Covid-19 ini menjadi pengajaran penting kepada semua negara dan komuniti antarabangsa.

Di Australia, tiga pantai di Sydney telah dibuka semula semalam, tetapi hanya untuk aktiviti senaman.

India pula telah membenarkan sesetengah aktiviti industri dan agrikultur untuk dimulakan semula, walaupun negara tersebut merekodkan peningkatan harian empat angka tertinggi.

Di Iran (83,505 kes) yang telah mengatasi China (82,747 kes), dengan 5,209 kematian, beberapa peraturan kawalan pembatasan sosial telah dilonggarkan minggu lepas, dengan beberapa pusat membeli belah dan lebuhraya dalam bandar dibuka semula.

Di Eropah, Jerman, Poland, Norway, Republik Czech dan Albania telah mula melonggarkan semula kawalan pergerakan mereka -- walaupun Perancis, Sepanyol, dan United Kingdom telah memutuskan untuk tidak berbuat demikian buat masa ini.

Apakah rancangan keluar dan strategi yang terbaik untuk Malaysia?

Perdana Menteri haruslah berkongsikan rancangan dan strategi ini dengan semua rakyat Malaysia, dan memberikan ruang untuk Parlimen dan pelbagai sektor dalam negara memberikan pendapat dan maklumbalas mereka, dengan mempelajari daripada kejayaan dan kegagalan di negara lain untuk merangka satu rancangan dan strategi yang terbaik untuk Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri