Parlimen perlu segera menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Kebajikan Sosial, menjalankan sesi soal jawab mengenai “Pengurusan Covid-19” secara maya dan menyediakan laporan krisis Covid-19 dalam tempoh sebulan

Setiausaha Parlimen telah bertindak dengan tidak sepatutnya apabila beliau menghantar notis kepada semua Ahli Parlimen pada tiga hari yang lepas untuk memaklumkan bahawa mesyuarat Parlimen yang biasanya diadakan selama sebulan hanya akan berlangsung selama sehari pada 18 Mei ini berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bertujuan untuk menangani penyebaran Covid-19. Beliau juga memaklumkan bahawa tidak akan ada sebarang “sesi pertanyaan jawab lisan, pertanyaan jawab bertulis, mahupun sebarang usul Ahli Parlimen mahupun sesi kamar khas ”.

Tindakan Setiausaha Parlimen ini telah mendahului kuasa dan fungsi Perdana Menteri, Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara, malah keputusan ini dibuat seolah-seolah PKP akan masih berkuat kuasa seperti sedia kala pada 18 Mei.

Dari mana beliau mendapatkan maklumat ini?

PKP yang telah dua kali dilanjutkan, sepatutnya berakhir pada 28 April.

Masih tiada sebarang pengumuman sama ada PKP akan dilanjutkan selepas 28 April atau sama ada ia akan ditamatkan secara berperingkat. Jika PKP akan dilonggarkan secara berperingkat, sudah tentu satu pengecualian khas menjadi kepentingan kepada Parlimen, bagi membolehkan persidangan diadakan -- secara maya atau apa sahaja cara lain -- bagi memastikan pengurusan penularan Covid-19 tidak terlepas daripada penelitian dan untuk memastikan Malaysia mengguna pakai strategi keluar terbaik, di samping menyediakan pelan tindakan untuk Malaysia bukan sahaja bagi menangani risiko penularan semula wabak Covid-19, tetapi bagi menampung kesan impaknya terhadap pemulihan ekonomi rakyat Malaysia serta pembinaan semula negara.

Justeru itu, notis yang dikeluarkan oleh Parlimen pada tiga hari lalu tidak mempunyai ertinya, kosong.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mempertimbangkan semula isu persidangan Parlimen yang cuma berlangsung sehari pada 18 Mei ini kerana ia akan memperlekehkan institusi Parlimen Malaysia, terutamanya jika Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja ditunda sehingga sesi Parlimen Julai nanti.

Kawalan pergerakan yang dilaksanakan Perancis dan Sepanyol diluluskan sepenuhnya menerusi Parlimen. Mengapa peranan Parlimen Malaysia diketepikan dan dilumpuhkan dalam hal ini?

Sepatutnya, Parlimen Malaysia perlu segera menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Kebajikan Sosial, menjalankan sesi soal jawab mengenai “Pengurusan Covid-19” secara maya dan menyediakan laporan krisis Covid-19 dalam masa sebulan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata bahawa Malaysia sedang kejayaan dan kesilapan China daripada pakar perubatan negara tersebut yang sedang melawat negara kita.

Ini adalah sikap dan pendekatan yang tepat dan bersesuaian. Meskipun tiada strategi mahupun rangka tindak yang betul-betul menepati keperluan semua negara bagi menangani wabak Covid-19, setiap negara harus belajar daripada kejayaan dan kesilapan negara-negara lain bagi merangka sebuah pelan keluar dan strategi yang bersesuai dengan keadaan semasa.

Kita harus belajar daripada semua negara di dunia ini - tidak kira China, Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Vietnam, Singapura, Indonesia, Filipina, Amerika Syarikat, United Kingdom, Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman, Australia, New Zealand, Turki, Iran atau Arab Saudi.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat mencatatkan kes Covid-19 pertama pada tarikh yang sama iaitu 20 Januari. Namun hari ini setelah tiga bulan berlalu, Korea Selatan dianggap sebagai negara yang berjaya “meratakan lengkungannya” berbanding Amerika Syarikat yang dianggap gagal dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Korea Selatan semalam merekodkan hanya enam kes baharu Covid-19, dengan jumlah keseluruhan kes 10,661 dan 234 kematian sementara Amerika Syarikat merekodkan 762,496 kes positif Covid-19 dengan angka kematian dicatatkan melebihi 40,000.

Di Korea Selatan, 8,042 daripada 10,661 kes atau 75.4 peratus daripada keseluruhan kes telah pulih daripada Covid-19 berbanding 69,956 kes atau 9.2 peratus daripada kes yang dicatatkan di Amerika Syarikat.

Kita harus belajar daripada Korea Selatan dan mengelak daripada mengulang kesilapan yang dilakukan Amerika Syarikat. Kita harus terus belajar daripada kejayaan dan kesilapan seluruh negara di dunia dalam soal menangani Covid-19, kerana fasa pasca Covid-19 akan menjadi suatu situasi yang amat mencabar buat semua umat manusia dia seluruh negara.

Kita harus mengambil langkah yang tepat demi kesejahteraan negara, ekonomi dan rakyat.

Sebagai contoh, kita menghayati pengajaran daripada Jepun, di mana sistem kecemasan hospital mereka berada di ambang keruntuhan.

Hospital di Jepun terpaksa menolak pesakit kerana sistem kesihatan negara itu kini tidak dapat menampung jumlah pesakit yang ramai.

Dalam satu kes terbaharu, sebuah ambulans yang membawa seorang lelaki yang mengalami demam dan masalah pernafasan telah ditolak oleh 80 hospital dan dipaksa untuk mencari hospital lain di luar bandar Tokyo.

Semasa Malaysia menguatkuasakan PKP pada 18 Mac, Jepun mencatatkan 1,668 kes dengan 40 kematian. Hari ini, Jepun merekodkan 10,797 kes dan 236 kematian -- keadaan yang boleh dianggap buruk tetapi tidak seburuk yang dialami negara-negara di eropah dan Amerika Syarikat.

Ekoran peningkatan kematian akibat Covid-19, Jepun kini sedang bergelut untuk memperluaskan kemudahan saringan secara pandu lalu.

Selama berminggu-minggu Jepun mengehadkan saringan Covid-19, meskipun didesak oleh pakar-pakar kesihatan yang melihat kepentingan melakukan saringan bagi mengesan dan mengasingkan pesakit, selain memperlahankan penyebaran wabak tersebut.

Kita harus kekal fleksibel, kreatif dan lincah dalam pendekatan kita melawan musuh yang tidak kelihatan ini -- dengan mempelajari daripada kejayaan dan kesilapan negara-negara lain -- supaya sebuah matlamat kolektif bersama dapat dibangunkan bagi menghadapi peperangan melawan Covid-19 - melibatkan semua tak kira mereka yang di puncak kuasa, di bandar, luar bandar, kampung mahupun estet.

Sinar harapan semakin menyinar di negara ini dan di negara-negara lain.

Peningkatan harian dua angka kes baharu positif Covid-19 selama kali ketiga berturut-turut menjadi bukti bahawa negara kita telah melepasi kemuncak gelombang kedua penularan koronavirus ini.

Kita juga berjaya mencapai pemulihan 59.3% pesakit daripada Covid-19, menjadikan Malaysia antara 16 negara tertinggi di dunia untuk pemulihan Covid-19 -- didahului dengan China 93.1%, Vietnam 75.7%, Korea Selatan 75.4%, Austria 71.2%, Iceland 72.9%, Thailand 69.7%, Iran 69.4%, Switzerland 64.2%, New Zealand 63.7% dan Jerman 60.6%.

Di seluruh dunia, pemimpin-pemimpin negara sedang merangka pelan terbaik untuk strategi keluar daripada kawalan pergerakan yang mana akan memberi kesan kepada aktiviti sosial, ekonomi dan politik.

Keputusan ini harus dibuat dengan penglibatan seluruh negara dan bukannya segelintir pihak sahaja. Ini sebabnya mengapa Parlimen memainkan peranan yang penting dalam merangka strategi keluar.

Saya sekali lagi mengulangi gesaan saya supaya Perdana Menteri meletakkan kepentingan negara melebihi segalanya dan memastikan peranan Parlimen diperkasakan dalam merangka pelan tindak dan strategi keluar terbaik daripada PKP.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri