Pengelasan zon berwarna jangkitan Covid-19 mengikut kadar kes aktif terkini dan bukan lagi dengan data terkumpul amatlah dialu-alukan dan sangat bermakna kerana ia boleh menggalakkan penduduk di zon-zon ini untuk berusaha menjadikan kawasan mereka zon hijau yang bebas Covid-19

Saya mengalu-alukan tindakan Kementerian Kesihatan dalam mengelaskan zon-zon kawasan dalam negara kepada zon merah, jingga, kuning, dan hijau mengikut kadar kes aktif terkini jangkitan Covid-19 dan bukan lagi dengan menggunakan jumlah kes terkumpul seperti sebelum ini. Pengelasan ini kini lebih bermakna kerana ia membolehkan penduduk di satu-satu kawasan itu berusaha bersama untuk menurunkan jumlah kes di kawasan mereka untuk dikelaskan sebagai zon hijau.

Menurut data terkini Kementerian Kesihatan hari ini, terdapat 16 zon merah di dalam negara mengikut jumlah kes aktif, berbanding dengan 29 zon merah jika kategori ini dibuat menggunakan data kes positif terkumpul.

Daripada hanya tiga zon hijau (data jumlah kes terkumpul), kini terdapat 19 zon hijau di Semenanjung Malaysia. Manakala Sarawak dan Sabah pula kini mempunyai 17 dan 11 zon hijau masing-masing mengikut klasifikasi baharu ini.

Semalam, dilaporkan bahawa Kulai telah menjadi zon merah ke-29 Covid-19 dengan 45 kes terkumpul. Tetapi kini dengan klasifikasi berdasarkan kes aktif, Kulai berada di dalam zon jingga dengan 23 kes aktif.

Berdasarkan data kes aktif yang diumumkan hari ini, terdapat empat negeri tanpa zon merah, iaitu, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, dan Terengganu. Mungkin kita akan dapat lihat pada masa hadapan, negeri manakah yang menjadi negeri “zon hijau” pertama di Malaysia, bebas daripada sebarang kes aktif Covid-19.

Bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad tepat sekali apabila beliau mengatakan yang langkah Sheraton telah mengganggu usaha melawan Covid-19 dalam negara, yang telah membawa kepada pertimbangan pakar ekonomi dan bekas Pembantu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu K.S. Jomo di dalam sebuah dialog atas talian baru-baru ini yang mengatakan bahawa Malaysia membazirkan tiga minggu usaha melawan Covid-19 kerana kekosongan politik yang disebabkan oleh krisis politik pada akhir Februari lepas.

Yang lebih menjelikkan lagi adalah apabila Menteri Kesihatan “air suam” cuba untuk memanipulasi sejarah dalam menjelaskan punca utama gelombang kedua wabak Covid-19 di negara kita, yang sepatutnya dapat kita elakkan jika kita tidak perlu berdepan dengan langkah Sheraton. Tetapi yang lebih mengejutkan lagi adalah apabila menteri yang sama, bukan sahaja setakat memanipulasikan sejarah, tetapi juga berani untuk memanipulasikan geografi dengan mengatakan terdapat 500 negara dalam dunia!

Dr Dzulkefly betul sekali lagi apabila beliau mengatakan sekarang bukanlah masanya untuk menuduh siapakah yang menjadi punca gelombang kedua wabak Covid-19. Sekarang adalah masanya untuk kita semua rakyat Malaysia bersatu untuk memenangi perjuangan melawan wabak Covid-19, terutamanya bagi memastikan negara kita mempunyai strategi keluar yang terbaik.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri