Seruan kepada Muhyiddin untuk menumpukan usaha beliau dalam usaha perundingan meluas bagi merumus rancangan keluar negara yang terbaik untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19, melonjakkan semula ekonomi, dan membina semula Malaysia

Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kita tidak boleh berasa selesa dengan penurunan jumlah kes baharu Covid-19 kerana kita masih berhadapan dengan pelbagai sudut peperangan melawan wabak ini.

Kita mungkin sedang memenangi perang melawan gelombang kedua wabak ini, tetapi perjalanan kita masih lagi panjang, sehinggalah kita berjaya mencipta vaksin yang berkesan dalam melawan penularan virus ini.

Mungkin kita sudah pun memenangi peperangan melawan gelombang kedua ini, namun adakah kita bersedia untuk menghadapi gelombang ketiga? Berapa banyak gelombang dan kawalan pergerakan yang perlu kita lalui sebelum satu vaksin yang berkesan dibangunkan dalam tempoh 12 ke 24 bulan yang akan datang?

Dalam persidangan video dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Pejagaan Sosial Parlimen UK, Profesor Kesihatan Global di University College London Profesor Anthony Costello berkata bahawa negara tersebut harus bersedia untuk menghadapi realiti yang ia tidak bertindak dengan cukup pantas dengan amaran yang telah diberikan mengenai Covid-19.

Beliau berkata, respons Kerajaan British adalah terlalu lambat dan negara tersebut mungkin akan berhadapan dengan sehingga 40,000 kematian sebelum wabak ini dihentikan.

Pakar perubatan terkemuka dan bekas pengarah British di Pertubuhan Kesihatan Sedunia itu telah menyatakan kepada para ahli parlimen yang UK mungkin bakal berhadapan dengan sebanyak enam gelombang jangkitan koronavirus sebelum satu vaksin yang berkesan dapat dicipta dan tersedia dengan meluas.

Bagi mengelakkan lonjakan jumlah jangkitan apabila negara tersebut mula melonggarkan kawalan pergerakan, beliau menyeru kerajaan untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan komuniti dan mengguna pakai penjejakan kontak rapat seperti yang dilaksanakan di Korea Selatan.

Beliau berkata: Kita semua berharap kawalan pergerakan di seluruh negara dan pembatasan sosial akan berkesan dalam mengurangkan jumlah kes wabak ini; namun kita masih akan berhadapan dengan beberapa gelombang lagi.

“Kita perlu memastikan yang kita mempunyai sistem yang tidak hanya boleh menjalankan ujian saringan di dalam makmal.

“Kita perlukan sistem di peringkat daerah dan komuniti, untuk melakukan ujian saringan secara pantas di dalam komuniti tersebut, dan di rumah-rumah jagaan dan ujian ini harus memberikan keputusan dengan pantas.

“Pada masa yang sama kita perlu kekal mengamalkan pembatasan sosial apabila kawalan pergerakan dilonggarkan, dengan memberikan fokus terhadap golongan yang kita mahu kawal pergerakannya, iaitu mereka yang positif dan kontak rapat mereka.

Kita perlu cari semua kes-kes ini, uji mereka, jejaki kontak rapat mereka, dan asingkan mereka -- tetapi yang paling utama sekali, semua ini perlu dilakukan dengan pantas.”

Beliau berkata besar kemungkinan golongan paling berisiko dalam negara tersebut mungkin perlu berada dalam pengasingan sehinggalah vaksin dicipta.

“Kita perlu menggerakkan semula ekonomi negara dan pada masa yang sama kita perlu mengawal pergerakan 10% populasi negara, dengan memberikan insentif kepada mereka untuk kekal berada dalam kuarantin dan menyediakan aplikasi digital untuk memantau simptom mereka. Ini sahaja caranya untuk meneruskan kehidupan sehinggalah vaksin berjaya dicipta dan kita mencapai imuniti kelompok.” tambah beliau lagi.

Kita perlu belajar daripada kesilapan di United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang kini membawa mereka ke dalam situasi sebagai dua pusat penularan utama wabak Covid-19, di mana kedua-dua negara mendahului dunia dari jumlah peningkatan kes harian.

Di seluruh dunia, jumlah kes disahkan kini berjumlah 2,324,731 kes dengan 160,434 kematian.

Amerika Syarikat merekodkan sejumlah 736,790 kes disahkan dengan peningkatan 27,055 kes, jumlah kematian pula direkodkan pada paras 38,920 kematian dengan peningkatan 1,766 kematian dalam tempoh 24 jam yang lepas. United Kingdom berada di tempat kedua dengan peningkatan 5,525 kes positif dan 888 kematian, membawa jumlah keseluruhan di negara tersebut kepada 114,271 kes dan 15,464 kematian.

Namun kita juga perlu mempelajari pengajaran baik daripada United Kingdom dan Amerika Syarikat -- salah satunya adalah penelitian berterusan Parlimen UK dan Jawatankuasa Pilihan Khasnya bagi memastikan rancangan yang paling berkesan untuk membendung wabak ini dilaksanakan di negara tersebut.

Bilakah pakar kesihatan awam di Malaysia akan dipanggil memberi keterangan di Parlimen Malaysia, biarpun melalui sidang maya, bagi mencari jalan terbaik untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 ini?

Para menteri kelihatan seakan-akan tidak sedar bahawa era kerajaan tahu yang terbaik telah pun tamat.

Para pegawai dan pakar di seluruh dunia sedang melihat ke arah penamatan kawalan pergerakan.

Tetapi kerajaan kita kelihatan seperti tidak mempunyai sebarang rancangan keluar untuk negara kita yang boleh membendung wabak Covid-19, melonjakkan semula ekonomi negara, dan membina semula negara. Sebab inilah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum memberikan respons kepada seruan saya untuk diadakan satu siaran langsung menjelaskan rancangan ini.

Mungkin kerana mentaliti inilah kita berhadapan dengan keputusan mengejutkan untuk memendekkan sidang Parlimen kepada satu hari sahaja, bagi mengetepikan peranan Parlimen dalam peperangan melawan wabak Covid-19 ini.

Daripada mendapat satu cadangan yang fleksibel, kreatif, dan lincah untuk menghadapi cabaran Covid-19, kita sebaliknya cuma melihat cubaan gagal Menteri Kesihatan untuk kembali ke pentas peperangan melawan wabak ini -- selepas dimalukan dengan episod “air suam” beliau -- tanpa memberikan sebarang sumbangan yang bermakna kepada negara.

Saya terfikir, bagaimana seseorang itu boleh mengembalikan maruahnya sebagai “cerdik pandai” kerajaan baharu ini dengan mendapatkan sokongan daripada seorang pemimpin politik yang telah mencipta sejarah dengan mempunyai jumlah pertuduhan jenayah rasuah tertinggi dalam sejarah?

Masa hadapan pasca-Covid-19 kita adalah satu era yang belum pernah dilalui umat manusia sebelum ini. Ia akan melibatkan banyak pembelajaran sambil kita melaluinya, tetapi kita perlu belajar dengan bijak, dengan mempelajari pengajaran daripada kejayaan dan kegagalan di negara lain, terutamanya China, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman, Iran, Turki dan Arab Saudi yang bersama menghadapi cabaran ini juga.

Di UK, Universiti Cambridge telah menyenaraikan 275 perubahan kepada kehidupan seharian yang boleh mengurangkan penularan wabak koronavirus ini selepas pelonggaran kawalan pergerakan.

Sudahkah kerajaan kita mempertimbangkan cadangan ini?

Dalam ketiadaan strategi keluar untuk negara, saya gesa Muhyiddin untuk mengarahkan Pasukan Petugas Majlis Keselamatan Negara dan jemaah menteri beliau untuk menumpukan usaha mereka dalam minggu hadapan bagi merumus rancangan keluar yang terbaik untuk negara, dengan melaksanakan sesi rundingan bersama masyarakat sivil dan pelbagai sektor ekonomi, dan membentangkan rancangan ini kepada Parlimen untuk diterima dan dilaksanakan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri