Persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei mestilah dipertimbangkan semula oleh Muhyiddin memandangkan Parlimen tidak sepatutnya di diperlemah dan diketepikan tetapi sepatutnya memainkan peranan dalam menggerakkan perpaduan negara dan solidariti semasa wabak Covid-19 dan pada masa yang sama, meneliti rancangan kerajaan bagi memastikan kita mempunyai strategi terbaik untuk menangani wabak Covid-19 dan untuk melonjakkan semula ekonomi negara

Wabak Covid-19 terus mara di peringkat global, melepasi paras 2.2 juta kes positif dan merekodkan lebih daripada 153,000 kematian, didahului dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Dalam tempoh 24 jam yang lepas sahaja, di Amerika Syarikat, terdapat peningkatan sebanyak 22,664 kes positif baharu dan 2,305 kematian baharu direkodkan, membawa jumlah keseluruhan kes positif di negara tersebut ke 700,234 kes dan sejumlah 36,922 kematian. Pada masa yang sama, United Kingdom pula merekodkan 5,599 kes positif dan 847 kematian baharu membawa rekod mereka ke 108,692 kes dengan 14,576 kematian secara keseluruhannya.

Tiga negara yang sebelum ini menjadi pusat utama penularan wabak ini, Sepanyol, Itali, dan Perancis, kini telah melepasi fasa kemuncak wabak ini. Sepanyol merekodkan peningkatan 3,219 kes baharu dengan 316 kematian, membawa jumlah keseluruhan mereka kepada 188,167 kes dan 19,631 kematian; Itali merekodkan peningkatan 3,493 kes baharu dengan 575 kematian, dengan jumlah keseluruhan 172,434 kes dan 22,745 kematian; Perancis pula merekodkan 1,909 kes dan 761 kematian baharu, membawa jumlah keseluruhannya kepada 147,969 kes dengan 18,861 kematian.

Malaysia berada dalam keadaan yang jauh lebih baik, berdasarkan data yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam, kita berhadapan peningkatan 69 kes baharu, peningkatan terendah sejak 14 Mac, dengan sejumlah 5251 kes disahkan. Dua kematian baharu direkodkan, membawa jumlah keseluruhan kematian kepada 86 nyawa.

Yang lebih penting lagi, semalam adalah hari kelima berturut-turut di mana jumlah pesakit Covid-19 yang disahkan pulih melebihi jumlah kes baharu, dengan 2,967 jumlah keseluruhan pesakit pulih, sekitar 56.5 peratus daripada jumlah yang positif.

Jika dibandingkan dengan kadar 56.5% di Malaysia, kadar pemulihan di Amerika Syarikat dan pusat penularan utama di Eropah adalah lebih rendah -- Amerika Syarikat (8.4%), Sepanyol (39.7%), Itali (24.8%), Perancis (23.3%), United Kingdom (tidak diumumkan).

Kerana itulah saya terkejut, semasa saya sedang menonton video mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan dan Penjagaan Sosial Parlimen UK berkenaan “Pengurusan Bencana Koronavirus” di mana Menteri Kesihatan dan Penjagaan Sosial UK, Matt Hancock hadir untuk sesi soal jawab selama 150 minit bersama dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut, saya telah menerima emel daripada Setiausaha Dewan Rakyat, memberitahu yang sesi Dewan Rakyat yang kebiasaannya berjalan selama sebulan, bermula pada 18 Mei, telah dipendekkan kepada sehari sahaja.

Menurut notis Parlimen, persidangan ini hanya akan melibatkan Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk membuka sesi baharu Parlimen, tetapi perbahasan usul menjunjung titah baginda ditangguhkan ke mesyuarat kedua Parlimen yang dijadualkan pada bulan Julai 2020 (13 Julai - 27 Ogos).

Perkara ini amatlah tidak boleh diterima memandangkan ia memperlekehkan Parlimen.

Keputusan untuk memendekkan persidangan Parlimen kepada sehari pada 19 Mei ini mestilah dipertimbangkan semula oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana Parlimen tidak boleh diperlemah dan diketepikan tetapi harus memainkan peranan utama dalam menggerakkan perpaduan negara dan solidariti semasa wabak Covid-19 dan pada dalam masa yang sama meneliti rancangan kerajaan bagi memastikan negara kita mempunyai strategi terbaik untuk menangani krisis ini dan melonjakkan semula ekonomi negara.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri