Mampukah kerajaan merangka strategi keluar yang terbaik untuk Malaysia, sedangkan mereka sendiri keliru tentang pembahagian kawasan kepada empat zon berwarna mengikut jumlah jangkitan Covid-19?
Persoalan ini bermain-main di fikiran saya: Adakah kerajaan mampu untuk merangka satu strategi keluar yang terbaik bagi menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19, sedangkan mereka sendiri masih keliru tentang pembahagian kawasan kepada empat zon berwarna mengikut jumlah jangkitan Covid-19.
Semalam, Bernama melaporkan bahawa tiga daerah di Perak, iaitu Kuala Kangsar, Muallim dan Kampar telah diisytiharkan sebagai zon hijau atau tidak mempunyai kes Covid-19 dilaporkan sepanjang 14 hari lalu.
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dalam satu majlis penyerahan sumbangan barangan keperluan termasuk alat pelindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan oleh Techlab Security Sdn Bhd.
Beliau memberitahu pemberita bahawa pengumuman ini tidak bermakna penduduk di ketiga-ketiga daerah tersebut bebas keluar berjalan-jalan.
Tambahnya: “Ini adalah satu berita baik di tiga daerah ini. Jadi kita mengharapkan daerah-daerah ini kekal menjadi zon hijau dan supaya dengan (gelaran) zon hijau ini pula boleh merebak (meluas) ke daerah-daerah lain di seluruh negeri Perak. Kita mahu Perak bebas dari Covid-19 dan akhirnya seluruh negara bebas.”
Bagaimanapun, kenyataan MB Perak ini nampaknya terpesong dari hakikat sebenar, kerana berdasarkan data terbaharu yang dikeluarkan hari ini, Perak mempunyai dua zon merah, satu zon jingga dan lapan zon kuning, tapi tiada satu pun zon hijau.
Tiga zon hijau yang diumumkan Ahmad Faizal semalam nampaknya hanyalah cerita khayalan, kerana terdapat lima kes Covid-19 di Mualim, empat kes di Kuala Kangsar dan dua di Kampar.
Mengikut klasifikasi rasmi berdasarkan jumlah terkumpul, Malaysia kini mempunyai 29 zon merah di seluruh negara termasuk penambahan baru Kota Kinabalu. Penggunaan data terkini yang mana mengambil kira jumlah pesakit yang telah sembuh, boleh mengalakkan penduduk untuk mematuhi arahan PKP sekali gus mengurangkan kes jangkitan di kawasan tersebut.
Sehingga hari ini, berapa banyak kawasan yang telah diklasifikasikan sebagai zon merah berdasarkan data terkini, mengambil kira jumlah pesakit yang telah sembuh daripada jangkitan Covid-19?
Tiada siapa tahu.
Bagaimana rakyat ingin memberikan sokongan kepada kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19, jika kerajaan sendiri enggan mendedahkan maklumat-maklumat tersebut kepada orang awam?
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah dalam kenyataan berkata pusat internet di zon hijau akan dibenarkan untuk beroperasi sekiranya pusat berkenaan menggunakan tenaga kerja dalam kawasan tempatan.
Bolehkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelaskan sama ada langkah yang diambil kerajaan negeri itu sama dengan dasar di negeri-negeri lain? Dan adakah Semenanjung Malaysia akan mengambil langkah yang serupa, jika klasifikasi kawasan kepada zon dibuat berdasarkan data terkumpul jangkitan Covid-19 - memandangkan terdapat tiga zon hijau di Semenanjung Malaysia, masing-masing di Kedah, Kelantan dan Terengganu?
Kelemahan kerajaan - yang mempunyai Kabinet terbesar dalam sejarah ini - bolehlah diumpamakan sebagai tangan kanan yang tidak tahu apa yang tangan kiri lakukan, atau lebih teruk lagi, tangan kanan yang tak peduli langsung apa yang tangan kiri sedang lakukan - samalah seperti peristiwa-peristiwa sebelum ini antaranya Menteri “air suam”, kedai gunting rambut dan “Langkah kurang cerdik melantik Ahli Parlimen Kerajaan sebagai Pengerusi GLC”.
Malaysia sedang berdepan dengan krisis pandemik Covid-19 yang tidak pernah dialami sebelum ini. Bolehkah kerajaan menunjukkan kepada rakyat Malaysia sikap yang cerdik, konsisten, telus dan profesional dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan ini?