Kita perlukan perdebatan mendalam untuk memikirkan cara untuk Malaysia mengelakkan gelombang ketiga wabak Covid-19 dan pelaksanaan semula PKP dalam tempoh 18-24 bulan yang akan datang sehingga vaksin tersedia secara meluas

Seluruh negara menghela nafas lega semalam apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan data terbaru untuk wabak Covid-19.

Dalam tempoh 24 jam sebelum pengumuman semalam, Malaysia mencatat 85 kes baru, menjadikan jumlah kes Covid-19 kepada 5,072; dengan satu kematian baru menjadikan jumlah kematian keseluruhan 83 orang, dan 169 orang lagi telah pun pulih menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan 2,647 atau 52.2 peratus - buat pertama kalinya lebih separuh daripada orang yang dijangkiti telah pulih.

Rakyat Malaysia kini dapat melihat cahaya di hujung terowong, kerana data Noor Hisham semalam menandakan berakhirnya 31 hari kenaikan harian tiga digit kes Covid-19 kini kita berada di dalam zon kenaikan dua digit sehari -- mengesahkan harapan rakyat Malaysia bahawa negara kita telah mengelakkan situasi terburuk gelombang kedua wabak Covid-19.

Secara peribadi, saya juga berasa lega kerana pembacaan data amatur saya tidak silap, di mana kita telah mencapai puncak gelombang kedua wabak ini pada 3 April dengan 3,333 kes dan mengelakkan jangkaan situasi terburuk yang dibuat oleh JP Morgan dengan kemuncak jangkitan dengan kira-kira 6,300 kes pada pertengahan April atau unjuran yang lebih mengerikan dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang mencapai 8,900 kes.

Tidak ada sebarang lonjakan kenaikan Covid-19 sebanyak 1,000 atau 2,000 kes sehari -- dan kredit untuk pencapaian ini mesti diberikan kepada barisan hadapan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac.

Harapan saya supaya kita dapat melihat penurunan peningkatan kes Covid-19 setiap hari dalam julat dua angka atau lebih baik lagi satu angka, bukan lagi hanya angan-angan kosong!

Walau bagaimanapun, bukan sahaja harus kita mengalahkan gelombang kedua wabak Covid-19 ini, tetapi yang lebih penting lagi, kita perlu pastikan bahawa tidak ada gelombang ketiga dan tidak ada keperluan untuk PKP lagi di negara kita.

Bagaimanapun, perkara yang paling mengecewakan adalah apabila Pasukan Tugas Majlis Keselamatan Negara masih enggan untuk menggunakan amalan terbaik dan masih mengeluarkan maklumat harian mengenai empat zon berwarna merah, jingga, kuning dan hijau berasaskan data yang lapuk -- menggunakan jumlah kes terkumpul dan bukannya statistik terkini.

Malaysia mempunyai salah satu tahap pemulihan terbaik daripada jangkitan Covid-19, mencapai kadar pemulihan 52.2% atau 2,647 kes yang telah pulih daripada sejumlah 5,072 jangkitan, lebih baik daripada Amerika Syarikat dan sebahagian besar negara Eropah, termasuklah United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Belgium dan Belanda.

Malaysia juga mempunyai kadar kematian yang rendah iaitu 1.6% dengan 83 kematian jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat (28,394 kematian atau 4.4%), Sepanyol (18,708 kematian atau 10.5%), Itali (21,645 kematian atau 13.1%), Perancis (17,167 kematian atau 11.6%), Jerman (3,592 kematian atau 2.7%), United Kingdom (12,868 kematian atau 13%) atau Belgium (4,440 kematian atau 13.2%).

China, di mana Covid-19 muncul buat pertama kali pada akhir Disember, merekodkan sejumlah 82,295 kes, tetapi sehingga hari ini, 77,816 kes telahpun pulih (94.6% daripada jumlah kes) sementara jumlah kematian adalah 3,342 kes atau 4.1% .

Wuhan tidak akan dibuka kembali pada awal bulan ini jika China terus menggunakan angka terkumpul dan bukannya data yang terkini.

Perkara yang sama berlaku di Korea Selatan, yang merekodkan 10,591 kes, dengan 7,616 pemulihan atau 71.9% dan sejumlah 225 kematian atau 2.1% kadar kematian. Semalam, Korea Selatan menjadi negara besar pertama yang menghadapi wabak Covid-19 yang mengadakan pilihan raya kebangsaan.

Pasukan Petugas MKN Covid-19 harus mengemas kini datanya untuk empat zon berwarna untuk memberikan gambaran yang tepat dan terkini mengenai wabak Covid-19 di negara ini, bukannya dengan mengambil pendekatan "jalan satu hala" dengan pertambahan lebih banyak daerah yang dikategorikan sebagai zon merah dari masa ke semasa dan mengabaikan kejayaan dalam perang melawan koronavirus di Malaysia.

Walaupun Filipina (5,453 kes dan 349 kematian) dan Indonesia (5,136 kes dan 469 kematian) telah mengatasi Malaysia dari segi jumlah kes dan kematian Covid-19 yang disahkan, Malaysia tidak seharusnya menjadi negara utama di ASEAN jika tidak kerana gelombang kedua wabak coronavirus ini.

Thailand mempunyai sejumlah 2,643 kes yang disahkan dan 43 kematian. Kita sepatutnya berada di belakang Thailand memandangkan jumlah penduduknya hampir lebih dari dua kali lebih rama, jika tidakl ia akan menjadi gambaran buruk mengenai dasar dan sistem kesihatan awam kita apabila dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lain.

Kini memerlukan perdebatan mendalam untuk negara ini tentang bagaimana kita boleh mencegah gelombang ketiga atau lebih wabak Covid-19 ini dan bagaimana boleh kita elakkan pelaksanaan semula PKP dalam tempoh 18 - 24 bulan yang akan datang sebelum vaksin yang efektif tersedia secara meluas.

Tetapi satu perkara pasti. Dalam satu hingga dua tahun akan datang, pembatasan sosial dalam kehidupan ekonomi, politik dan sosial, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia, akan menjadi norma baharu.

Kita mungkin memerlukan dua tahun sebelum kita dapat kembali ke keadaan normal seperti sebelum kedatangan wabak Covid-19 -- atau mungkin lama lagi, kerana kita perlu pula menyelesaikan isu kerosakan ekonomi yang dibawa oleh wabak ini di Malaysia dan dunia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri