Seruan supaya kerajaan untuk melibatkan pakar-pakar terkemuka negara untuk bekerjasama dengan solidariti, di bawah moto “Bertindak pantas dan lakukan apa sahaja” untuk menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya daripada wabak Covid-19
Tiga minggu yang lepas, saya telah menyeru Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menerapkan moto baharu untuk kerajaan; "Bertindak Pantas dan Lakukan Apa sahaja" untuk menyelamatkan nyawa, pekerjaan dan kehidupan rakyat dalam peperangan melawan wabak Covid-19 yang berlaku pada skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Saya telah meminta kerajaan untuk menunjukkan kesungguhan, kecekapan dan kesegeraan dalam menangani bencana ekonomi akibat wabak Covid-19 ini dan juga menyarankan agar kerajaan memberi keutamaan untuk memastikan bantuan kepada sektor kesihatan dan perubatan diberikan tanpa had, tetapi apa yang dapat dilihat adalah petugas kesihatan kerajaan menggunakan beg sampah sebagai pakaian pelindungan kerana kekurangan bekalan alat pelindung diri (PPE).
Namun, pengumuman untuk semua anggota Parlimen kerajaan diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak bertepatan dengan semangat "Bertindak Cepat dan Lakukan Apa sahaja" tetapi bertentangan dengan amanah rakyat untuk menyelamatkan Malaysia dari wabak Covid-19.
Perkara ini adalah lawan kepada semangat "Bertindak Pantas dan Lakukan Apa sahaja" untuk menyelamatkan nyawa, pekerjaan dan mata pencarian rakyat, tetapi lebih selari dengan semangat “Memberikan Jawatan kepada Kawan” yang jelas sekali satu tindakan yang tidak bermaruah dan tidak jujur, terutamanya ketika negara menghadapi wabak Covid-19.
Rakyat Malaysia sedang membuat pengorbanan besar dalam aktiviti ekonomi selama sekurang-kurangnya enam minggu di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi ahli parlimen kerajaan nampaknya hanya berminat dengan jawatan dalam GLC!
Atas sebab ini, saya menyokong penuh kritikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menganggap perkara ini sebagai satu jenayah, untuk penyokong Perikatan Nasional, tanpa mengira merit atau kelayakan, untuk diberi jaminan kedudukan dan jawatan dalam GLC pada ketika ramai rakyat bergelut dengan isu kewangan kerana Covid-19.
Kita membayar harga yang sangat berat dengan kedatangan gelombang kedua wabak Covid-19 di Malaysia, yang telah meragut 82 nyawa dan mencatatkan kira-kira 5,000 kes yang disahkan, bermula dengan 22 kes pada pertengahan Februari. Ditambah pula dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac yang membekukan kegiatan ekonomi dan sosial di negara ini untuk memutuskan rangkaian penularan virus ini.
Inilah waktunya untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik, untuk "Bertindak Cepat dan Lakukan Apa sahaja" untuk menyelamatkan nyawa, pekerjaan dan kehidupan rakyat Malaysia, dan bukannya "Bertindak Cepat dan Lakukan Apa sahaja" untuk kepentingan diri sendiri dengan mengabaikan kepentingan negara.
Paling mengejutkan apabila empat minggu selepas PKP, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah membuat rayuan supaya kesinambungan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) untuk petugas kesihatan dijamin tanpa perlu bergantung kepada import, beliau juga memberikan perincian jumlah PPE yang masih ada dan berapa lamakah stok terkini mencukupi.
Ini tidak mencerminkan "kesungguhan, kecekapan dan kesegeraan" kerajaan dalam menangani krisis Covid-19 yang belum pernah kita hadapi sebelum ini, kerana masalah seteruk ini seharusnya sudah diatasi memandangkan yang kita sudah berada dalam minggu kedua belas sejak kes Covid-19 pertama di Malaysia direkodkan pada 24 Januari!
Tidakkah ada seseorang yang boleh memastikan isu kesinambungan bekalan PPE ini ditangani dan diselesaikan?
Banyak kejadian mengelirukan baru-baru ini dalam kalangan pentadbiran tinggi semasa krisis Covid-19 seperti; membenarkan kedai gunting rambut dan salon gaya rambut beroperasi dan pembatalan keputusan ini kemudiannya; penggunaan angka lapuk untuk zon berwarna jangkitan Covid-19 dalam negara; ataupun kegagalan fungsi laman web MITI, menunjukkan bahawa pemikiran terbaik di negara ini tidak terlibat dalam perang melawan Covid-19 ini -- semua ini belum mengambil kira isu "air suam", Menteri Doraemon, tik-tok dan “penderaan suri rumah”.
Malaysia berada di kawasan yang baharu kerana senario pasca-Covid-19 adalah medan yang tidak pernah dilalui oleh umat manusia, tetapi Malaysia dan dunia sekarang harus menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Apakah kita di Malaysia sudah bersedia dengan strategi keluar daripada wabak Covid-19?
Kita tidak mampu untuk menutup negara kita selama 18 bulan -- yang merupakan jangka masa yang diperlukan sebelum vaksin yang berkesan terhadap Covid-19 boleh dibangunkan dan diberikan secara meluas.
Kita harus mencapai keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan menyelamatkan ekonomi, kerana kehilangan nyawa akan menyusuli kerosakan kepada ekonomi yang tidak dapat diperbaiki - kerana inilah kita harus belajar untuk hidup bersama Covid-19 untuk sekurang-kurangnya 18 bulan.
Bolehkah kerajaan memimpin rakyat Malaysia untuk menerima norma-norma baru dalam era pasca-Covid-19, di mana pembatasan sosial adalah suatu keperluan untuk semua kegiatan ekonomi, politik dan sosial?
Adakah kita berada dalam keadaan yang sama seperti yang terjadi di negara-negara lain di dunia, sama ada China, Korea Selatan, Singapura, Iran, Turki, Arab Saudi, Itali, Sepanyol, Perancis, UK dan Amerika Syarikat dan belajar dari kejayaan dan kegagalan mereka?
Inilah sebabnya perlu untuk ada perdebatan yang kukuh dan berterusan mengenai strategi keluar untuk Malaysia dan mengapa Pakatan Harapan menyeru untuk sidang khas Parlimen mengenai wabak Covid-19 diadakan.
Sepanyol dan Austria hari ini telah mengizinkan sebahagian daripada rakyat mereka untuk kembali bekerja. Britain, Perancis dan India melanjutkan tempoh berkurung untuk mengekang jangkitan baharu. Sementara itu, Amerika Syarikat, di mana jumlah kematian telah melebihi 25,000, membahaskan bagaimana mereka boleh membuka semula ekonominya.
Sepanyol berada di belakang Amerika Syarikat sebagai negara kedua di dunia dengan jumlah kes Covid-19 yang paling banyak disahkan -- 172,541 kes -- dengan 18,056 kematian, negara ketiga dengan jumlah kematian tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Itali. Dalam 24 jam yang lepas, terdapat peningkatan 3,961 kes yang disahkan dan 499 kematian di negara tersebut.
Austria pula dengan 14,226 kes dan 384 kematian adalah negara ke-17 teratas di dunia dengan jumlah kes disahkan dan negara ke-16 teratas di dunia dari jumlah kematian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa sekatan harus dilonggarkan secara berperingkat untuk mengelakkan gelombang baharu virus ini.
Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan langkah-langkah yang sewajarnya harus dilaksanakan sebelum sekatan pergerakan dilonggarkan, termasuk memastikan kapasiti "signifikan" dalam pengesanan jangkitan dan kontak rapat.
Malaysia perlu dipuji kerana berjaya menurunkan kedudukannya dalam carta antarabangsa, dari negara ke-17 terbanyak kes yang disahkan dan negara ke-33 teratas dengan kematian Covid-19 ketika PKP dilaksanakan pada 18 Mac ke negara ke-36 teratas dengan jumlah kes disahkan dan negara ke-41 teratas dari jumlah kematian Covid-19, hanya empat minggu selepas PKP dilaksanakan -- bukti kejayaan dan keberkesanan PKP.
Dalam menghadapi wabak Covid-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini, yang telah menjangkiti dua juta orang di lebih dari 210 negara dan wilayah, dan membunuh lebih dari 120,000 orang, mengancam untuk merebahkan banyak negara, inilah masanya bagi Malaysia untuk melibatkan melibatkan pakar-pakar terkemuka negara, tanpa mengira kaum, agama, wilayah, politik atau kepentingan peribadi, untuk "Bertindak Cepat dan Lakukan Apa sahaja" untuk menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya melalui bekerjasama kesatuan dan solidariti untuk memenangi beberapa peperangan serentak -- baik dari segi kesihatan awam, ekonomi, mahupun maklumat -- dari wabak Covid-19.