Pengajaran terbesar daripada PKP ialah; rakyat Malaysia harus belajar untuk hidup bersama dengan Covid-19 untuk tempoh 12 ke 18 bulan yang akan datang, sehinggalah vaksin dibangunkan dan diberikan secara meluas -- dan juga hakikat bahawa pembatasan sosial adalah perkara terpenting dalam norma kehidupan baharu pasca-wabak

Hari ini menandakan pengakhiran 4 minggu pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) dan permulaan lanjutan kedua KP sehingga 28 April.

Pengajaran terbesar daripada PKP ialah; rakyat Malaysia harus belajar untuk hidup bersama dengan Covid-19 untuk tempoh 12 ke 18 bulan yang akan datang, sehinggalah vaksin dibangunkan dan diberikan secara meluas -- dan juga hakikat bahawa pembatasan sosial adalah perkara terpenting dalam norma kehidupan baharu pasca-wabak, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia, sama ada dalam ekonomi, politik, mahupun kehidupan sosial.

Kehidupan di negara kita, mahupun seluruh dunia, tidak boleh kembali kepada norma pra-wabak Covid-19, walaupun selepas PKP dilonggarkan.

Gelombang kedua wabak ini adalah perkara yang boleh dielakkan, memandangkan gelombang pertama wabak ini hanya datang dengan peningkatan harian sebanyak satu angka yang memuncak kepada sejumlah 22 kes daripada 24 Januari sehingga 16 Februari.

Dalam tempoh sepuluh hari, di antara 16 ke 26 Februari, tidak ada sebarang kes baharu dilaporkan.

Kita perlu menyedari pengajaran daripada kecuaian kita yang telah menyebabkan terjadinya gelombang kedua ini sehingga perlunya dilaksanakan PKP bermula 18 Mac.

Harapnya, kita telahpun melepasi kemuncak gelombang kedua ini, dengan pelaksanaan PKP, kita berjaya mengelakkan situasi terburuk seperti yang dijangkakan oleh JP Morgan dan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER).

Kes Covid-19 memuncak di negara kita pada 3 April dengan 3,333 kes tanpa sebarang peningkatan mendadak di dalam tempoh tersebut dan jangkaan kes memuncak ke 6,300 menjelang pertengahan April tidak menjadi kenyataan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah beberapa hari yang lepas, kadar jangkitan di Malaysia sebelum ini berada di paras 3.55 sebelum PKP dilaksanakan (di mana satu kes positif akan mengjangkiti 3.55 orang yang lain) dan kini telah turun kepada 1 dan beliau menjangkakan R0 ini akan turun ke 0.9 menjelang 14 April.

KP Kesihatan dan para petugas barisan hadapan yang sedang memerangi wabak ini harus dipuji atas usaha mereka dalam memastikan kejayaan PKP untuk memutuskan rantaian jangkitan dan menurunkan R0 Malaysia ke 0.9 (di mana satu kes positif akan mengjangkiti kurang daripada seorang individu baharu). Kita sekarang perlu menurunkan kadar R0 ini ke paras bawah daripada 0.9.

Namun pada masa yang sama, kita juga perlu bersedia untuk menghadapi gelombang baru wabak ini sehinggalah satu vaksin yang berkesan dibangunkan dalam tempoh 12 ke 18 bulan yang akan datang.

Sementara itu, Malaysia perlu belajar daripada negara lain, mengenai pengendalian wabak Covid-19, terutamanya bagaimana untuk memperkasakan infrastruktur kesihatan awam dalam negara bagi melindungi para petugas barisan hadapan dan untuk meningkatkan keupayaan negara untuk melakukan ujian saringan, penjejakan, dan rawatan.

Di peringkat antarabangsa pula, terdapat berita baik dan buruk.

Di United Kingdom, Perdana Menteri Britain Boris Johnson sudah dilepaskan daripada unit rawatan rapi selepas dirawat selama tiga hari kerana jangkitan Covid-19, tetapi beliau menyatakan yang beliau tidak akan terus kembali bertugas kerana beliau masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Dalam satu rakaman video, Johnson merakamkan rasa terima kasih kepada para petugas kesihatan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaaan (NHS), mengatakan yang: “Saya terhutang nyawa dengan mereka”.

Namun begitu, keadaan kekal suram di United Kingdom dengan jumlah kematian keseluruhan di negara tersebut telah pun melepasi paras 10,000 menjelang hari Ahad Easter yang lepas, dengan 717 lagi kematian baharu dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan UK sebagai negara kelima yang mempunyai kematian melebihi 10,000. Setakat hari ini, tujuh negara telah melepasi paras 3,341 kematian yang direkodkan di China, iaitu:

  • Amerika Syarikat 23,555 kematian (5.0%)
  • Itali 20,465 kematian (12.8%)
  • Sepanyol 17,756 kematian (10.4%)
  • Perancis 14,967 kematian (10.9%)
  • United Kingdom 11.329 kematian (12.8%)
  • Iran 4,585 kematian (6.2%)
  • Belgium 3,903 kematian (12.8%)
  • China 3,341 kematian (4.1%)

Keadaan kekal suram di United Kingdom dengan pihak berkuasa negara tersebut menjangkakan Britain bakal menjadi negara dengan kadar kematian tertinggi di Eropah, dengan lebih kurang 30,000 korban nyawa.

Dari kalangan 119,410 nyawa yang telah terkorban di sekitar dunia akibat Covid-19 termasuklah para doktor, jururawat, pakar bedah, petugas penjagaan, dan pembantu kesihatan, termasuklah mereka yang kembali bekerja walaupun sudah pencen sebelum ini, untuk membantu usaha memerangi wabak ini.

Kritikan terhadap respons kerajaan UK daripada para petugas kanan dan pemimpin politik dalam pengendalian wabak ini kian bertambah, terutamanya di atas kegagalan kerajaan mereka untuk mendapatkan lebih banyak kelengkapan pelindungan diri dan kekurangan ujian saringan kepada NHS dan petugas rumah jagaan.

Kita perlu belajar daripada tragedi di UK, Amerika Syarikat, Itali, Sepanyol, Perancis, dan negara-negara lain untuk memperkasakan infrastruktur kesihatan awam dalam negara bagi melindungi para petugas barisan hadapan bagi memastikan mereka dibekalkan dengan perkakasan pelindungan diri secukupnya dan untuk meningkatkan keupayaan negara untuk melakukan ujian saringan, penjejakan, dan rawatan supaya para petugas kesihatan ini tidak menjadi korban dalam perjuangan melawan wabak ini.

Antara peristiwa suran yang direkodkan di peringkat antarabangsa adalah seperti berikut:

  1. Jumlah kes disahkan di seluruh dunia kini berjumlah 1,851,573 kes dengan 114,175 kematian. Wabak ini mengambil 91 hari untuk mencapai sejuta yang pertama, dan dijangkakan akan mengambil dua minggu untuk mencapai sejuta yang kedua pada hari ini. Enam negara telah melepasi China dari segi jumlah kes yang disahkan, iaitu:
    • Amerika Syarikat 584,862 kes
    • Sepanyol 170,099 kes
    • Itali 159,516 kes
    • Perancis 136,779 kes
    • Jerman 129,207 kes
    • United Kingdom 88,621 kes
    • China 82,160 kes
  2. Amerika Syarikat kini merupakan pusat penularan utama wabak Covid-19, dengan merekodkan 584,862 kes dan 23,555 kematian. AS merekodkan kes pertamanya pada 20 Januari, hari yang sama kes pertama direkodkan di Korea Selatan, tetapi Korea Selatan berjaya mengekalkan jumlah kes positif di negara tersebut pada paras 10,537 kes dengan 217 kematian, menjadi tanda aras global dalam usaha untuk mendatarkan lengkungan jangkitan. Manakala negeri New York pula telah mencapai satu tanda aras suram di mana negeri tersebut mempunyai jumlah kes positif tertinggi berbanding dengan semua negara dalam dunia selain daripada Amerika Syarikat. Negeri tersebut merekodkan 188,694 kes yang disahkan, lebih tinggi daripada jumlah kes di Sepanyol (170,099 kes), sebuah negara yang mempunyai lebih ramai penduduk daripada New York. Wabak ini sedang membunuh warga New York pada kadar melampau, di mana daripada 23,555 kematian yang direkodkan di AS, 9,385 kematian datang daripada New York, hampir 40%. Kadar kematian di New York direkodkan pada paras 4.9% berbanding dengan kadar 4% di bahagian lain negara tersebut.
  3. Di ASEAN, Filipina telah mengambil tempat Malaysia sebagai negara dengan kes Covid-19 tertinggi: 4,932 kes dengan 315 kematian berbanding dengan 4,817 kes dan 77 kematian di Malaysia. Negara ketiga di ASEAN adalah Indonesia dengan 4,557 kes dan 399 kematian.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri