Bilakah Majlis Keselamatan Negara akan menyemak semula senarai “zon berwarna” jangkitan Covid-19 yang sudah lapuk bagi mengambil kira 45% daripada 4,683 kes dalam negara yang telah pulih daripada jangkitan ini?

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan semalam yang hanya kedai gunting rambut di “zon hijau” sahaja (yang bebas daripada sebarang jangkitan koronavirus) yang akan dibenarkan untuk beroperasi semula, satu lagi pusingan-U dalam dasar kerajaan.

Di Semenanjung Malaysia, hanya terdapat empat zon hijau, iaitu Kampar di Perak, Yan di Kedah, Machang di Kelantan, dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Berapa banyakkah kedai gunting rambut di Kampar, Yan, Machang, dan Hulu Terengganu?

Semalam, timbalan presiden Persatuan Tukang Gunting Rambut India Wilayah Persekutuan dan Selangor, Akillan Anandakrishnan telah dipetik oleh akhbar sebagai mengatakan lebih daripada seribu kedai gunting rambut di Kuala Lumpur dan Selangor telah mengambil keputusan untuk tidak beroperasi mulai minggu hadapan kerana mereka tidak mahu mengambil risiko kesihatan, walaupun sedang menghadapi tekanan ekonomi.

Jelas sekali Anandakrishnan tersilap, kerana tidak ada satu pun zon hijau di Wilayah Persekutuan ataupun Selangor dan tiada kedai gunting rambut di kawasan ini akan dibenarkan untuk beroperasi.

Kesemua empat daerah Kuala Lumpur, Lembah Pantai (459 kes), Kepong (119 kes), Titiwangsa (112 kes), dan Cheras (69 kes) adalah di bawah kategori zon merah. Manakala di Selangor pula 6 zon di bawah kategori merah, dua jingga, dan satu kuning.

Enam zon merah di Selangor adalah Hulu Langat (378 kes), Petaling (335 kes), Klang (169 kes), Gombak (125 kes), Sepang (61 kes) dan Hulu Selangor (45 kes). Dua zon jingga pula adalah Kuala Selangor (31 kes) dan Kuala Langat (24 kes) manakala zon satu-satunya zon kuning di Selangor adalah Sabak Bernam dengan 15 kes.

Mungkin buat kali pertamanya sejak penubuhan Malaysia pada 1963, Sabah dan Sarawak menjadi penerima manfaat terbesar daripada rancangan Kerajaan Persekutuan -- memandangkan kebanyakan zon hijau dalam negara berada di Sabah dan Sarawak. 8 daripada 25 daerah di Sabah dikategorikan sebagai zon hijau dan 17 daripada 31 daerah di Sarawak.

Sarawak mempunyai hanya dua merah iaitu Daerah Kuching (215 kes) dan Samarahan (47 kes), selebihnya adalah 12 zon kuning dan 17 zon hijau.

Sabah pula hanya mempunyai satu zon merah iaitu Tawau (70 kes), dan dua zon jingga, Lahad Datu (38 kes) dan Kota Kinabalu (35 kes) dengan selebihnya 14 zon kuning dan lapan zon hijau.

Banyak persoalan yang memerlukan jawapan -- yang terpenting adalah sama ada Majlis Keselamatan Negara serius dalam memimpin negara untuk memenangi peperangan maklumat, kesihatan, dan ekonomi.

Pertama, adakah penggubal dasar dalam MKN sedar yang hanya terdapat empat zon hijau di Semenanjung Malaysia, walaupun Sarawak dan Sabah mempunyai 17 dan 8 zon hijau -- kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman?

Kedua, dalam meletakkan syarat supaya hanya kedai gunting rambut dalam zon hijau sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi, adakah para penggubal polisi di MKN sedar yang hampir 90% tukang gunting rambut akan terkecuali ketika mereka sedang menghadapi kesukaran ekonomi ini?

Ketiga, apakah rasional di sebalik keputusan untuk meletakkan kedai gunting rambut dan salun rambut di bawah kategori perkhidmatan utama negara (essential services) sedangkan kebanyakan aktiviti ekonomi dalam negara masih dibekukan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP)?

Keempat, adakah penggubal dasar di MKN sedar yang mereka bergantung kepada maklumat lapuk untuk zon berwarna mereka yang menggunakan jumlah terkumpul jangkitan Covid-19 tanpa mengambil kira 45% kes yang sudah pulih daripada sejumlah 4,683 kes keseluruhan?

Daripada statistik terkini, terdapat sejumlah 148 zon; 26 merah, 15 jingga, 78 kuning, dan 29 hijau. Tetapi zon ini dikategorikan berdasarkan jumlah kes terkumpul, tanpa mengambil kira 45% daripada 4,683 kes-kes yang disahkan ini telahpun sembuh.

Jika diambil kira 45% ini, jumlah zon merah dan jingga akan berkurangan dan kita akan dapat lihat lebih banyak zon kuning dan hijau.

Bilakah Majlis Keselamatan Negara akan menyemak semula senarai lapuk ini untuk mengambil kira 45% daripada kes yang telah disahkan pulih ini?

Malaysia telah menjadi bahan jenaka dunia dalam cara kita mengendalikan sesetengah aspek wabak Covid-19 ini.

Minggu lepas, saya telah menyatakan sokongan saya terhadap cadangan daripada Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar supaya pihak mahkamah berhenti daripada memenjarakan pesalah yang ingkar terhadap PKP kerana perbuatan itu akan membantutkan tujuan utama dilaksanakan PKP iaitu untuk memutuskan rantaian jangkitan koronavirus dan mendatarkan lengkungan jangkitan.

Sistem penjara negara kita terlalu sesak, dengan 73,000 banduan ditempatkan di fasiliti yang dibina untuk menempatkan 52,000 banduan di sekitar 50 kompleks penjara di seluruh negara, membuatkan pembatasan sosial mustahil di dalam kompleks penjara ini.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat juga telah memberikan nasihat kepada semua pegawai kehakiman untuk mempertimbangkan risiko penyebaran Covid-19 ke dalam sistem penjara apabila memutuskan hukuman kerana pengingkaran PKP.

Namun begitu, kelihatan seperti terdapat satu lagi pusingan-U.

Lima hari yang lepas, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani telah memberikan respons kepada kegusaran ramai mengenai hukuman penjara terhadap pesalah yang ingkar PKP yang berlawanan dengan objektif pembatasan sosial dan mengumumkan yang pihak polis akan mengenakan denda sebanyak RM1,000 untuk kesalahan pertama.

Semalam, Menteri Kanan Ismail Sabri kelihatan seperti beliau cenderung ke arah hukuman penjara kepada mereka yang ingkar kepada PKP apabila beliau mengatakan yang denda RM1,000 itu terlalu kecil dan pihak polis tidak akan lagi berkompromi dengan mereka yang ingkar dengan PKP.

Oleh itu, Ismail patut menjelaskan sama ada MKN telah mempertimbangkan cadangan supaya kerajaan melepaskan banduan lebih awal daripada penjara-penjara yang terlebih sesak dan juga menjelaskan keputusan yang dicapai dalam perbincangan tersebut.

Pihak berkuasa di Indonesia sedang membebaskan hampir 30,000 banduan daripada kompleks penjara di seluruh negara tersebut sebagai sebahagian daripada usaha untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 ini di dalam penjara -- mereka terdiri daripada banduan yang telah menjalani dua pertiga daripada hukuman mereka tetapi tidak termasuk banduan yang dipenjarakan atas kesalah berkaitan rasuah, keganasan, dan jenayah dadah.

India juga telah membebaskan ribuan banduan, selepas Mahkamah Agung di negara tersebut menasihatkan pihak penjara untuk membebaskan mereka yang sedang menunggu perbicaraan untuk jenayah yang membawa hukuman kurang daripada tujuh tahun penjara.

Di United Kingdom, ribuan banduan berisiko rendah yang hampir telah menamatkan tempoh hukuman mereka dipertimbangkan untuk pelepasan awal, disebalik kerisauan penularan wabak Covid-19 dalam penjara yang boleh melumpuhkan sistem hospital setempat.

Adakah Ismail Sabri akan menyentuh isu ini dalam sidang media beliau hari ini?

Para menteri harus berhenti daripada menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa dunia dengan cara mereka menangani wabak Covid-19. Malaysia perlu mengambil tindakan yang kreatif dan konstruktif yang boleh dicontohi oleh negara lain dalam melawan penularan wabak ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri