Parlimen tidak boleh dikuarantin kerana ia diperlukan untuk sebuah kempen untuk kepercayaan, solidariti, dan perpaduan untuk menggerakkan usaha nasional yang melangkaui kaum, agama, ataupun politik untuk memenangi peperangan melawan Covid-19

Parlimen tidak boleh dikuarantin kerana ia diperlukan untuk sebuah kempen untuk kepercayaan, solidariti, dan perpaduan untuk menggerakkan usaha nasional yang melangkaui kaum, agama, ataupun politik untuk memenangi peperangan melawan Covid-19.

Kerana inilah saya meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertimbangkan dan memanggil satu persidangan khas Parlimen sebagai sebahagian daripada strategi penting untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19.

Persidangan khas Parlimen akan menghadapi tugas penting dalam memperkasakan infrastruktur kesihatan awam negara bagi memastikan kita boleh memberikan perlindungan secukupnya kepada para petugas barisan hadapan dan untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan, penjejakan, dan rawatan; untuk merancang program yang boleh membantu golongan dan sektor terpinggir yang terjejas teruk dengan PKP dan untuk merancang satu strategi keluar untuk negara kita.

Malaysia tidak menjadi satu-satunya negara dalam dunia di mana Parlimen diabaikan, dikuarantin, atau disisihkan memandang Parlimen di pelbagai negara yang menjadi pusat utama penularan wabak Covid-19 masih terus bersidang, seperti di Amerika Syarikat, Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman, United Kingdom, dan Turki, untuk mempertimbangkan strategi terbaik untuk melawan penularan wabak ini.

Setakat hari ini, lima negara berikut telah merekodkan jumlah kes positif yang lebih tinggi daripada China:

  • Amerika Syarikat 529,484 kes
  • Sepanyol 163,027 kes
  • Itali 152,271 kes
  • Perancis 129,654 kes
  • Jerman 124,908 kes
  • China 81,953 kes

Manakala tujuh negara, didahului oleh Amerika Syarikat, Sepanyol, Itali, dan Perancis, kini disertai oleh United Kingdom, Iran, dan Belgium telah melepasi rekod kematian di China seperti berikut:

  • Amerika Syarikat 20,469 kematian
  • Itali 19,468 kematian
  • Sepanyol 16,606 kematian
  • Perancis 13,832 kematian
  • United Kingdom 9,875 kematian
  • Iran 4,357 kematian
  • Belgium 3,346 kematian
  • China 3,339 kematian

Dengan kadar peningkatan sedia ada, jumlah kes disahkan di United Kingdom dijangkakan akan melepasi China dalam masa satu atau dua hari yang akan datang. Negara tersebut merekodkan peningkatan sebanyak 5,233 kes dalam 24 yang lepas.

Parlimen di kebanyakan negara yang kini menjadi pusat penularan utama wabak Covid-19, seperti Amerika Syarikat Sepanyol, Itali, Perancis, United Kingdom, Jerman, dan Turki yang kini berada di kalangan negara ke sembilan tertinggi dengan 52,167 kes positif dan 1,101 kematian terus menjalankan tugas mereka seperti biasa, untuk mendebatkan bukan sahaja strategi terbaik untuk negara masing-masing dalam menghadapi wabak ini, tetapi juga rancangan untuk negara mereka selepas tamatnya tempoh berkurung.

Kenapakah terdapat pengecualian ini untuk Parlimen Malaysia? Mengapakah Parlimen Malaysia dipinggirkan sedangkan negara sedang berhadapan dengan krisis pada satu skala yang tidak pernah dialami kita sebelum ini?

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk ahli Dewan Rakyat sendiri memanggil sidang tergempar Dewan, jika ada, peruntukan ini pastinya akan digunapakai.

Jika Parlimen dibenarkan untuk menjalankan tugasnya dalam krisis ini, sudah tentunya negara kita akan berjaya mengelakkan sandiwara “air suam”, Doraemon, Menteri Tik Tok, dan episod “penderaan suri rumah” yang kini disertai pula dengan kekecohan berkenaan tukang gunting rambut.

Ini mesti buat pertama kalinya di dunia di mana cadangan pihak berkuasa untuk melonggarkan perintah kawalan pergerakan dibantah bukan sahaja oleh masyarakat umum, tetapi oleh pihak yang sepatutnya menerima manfaat daripada pelonggaran ini.

Malah, persatuan tukang gunting rambut sendiri pun membantah cadangan supaya kedai gunting dan salun rambut dibenarkan untuk beroperasi dalam fasa ketiga PKP, sehingga timbulnya video-video yang kreatif di media sosial.

Adakah rancangan ini dibentangkan kerana terdapat menteri yang ingin memotong rambut?

Perhatian sepatutnya diberikan kepada perkhidmatan dan sokongan IT seperti yang diminta oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia dan bukannya untuk menjadikan perkhidmatan potongan rambut sebagai satu perkhidmatan penting negara.

Tidak ada perkara yang boleh mencapai tahap kejadian isu kedai gunting rambut dalam menunjukkan betapa jauhnya jurang di antara golongan menteri dengan rakyat marhaen, menunjukkan betapa pentingnya untuk jurang ini dirapatkan melalui proses perundingan yang bersesuaian dan mendalam di antara kerajaan dan masyarakat madani, dan pada masa yang sama menunjukkan kepentingan untuk diadakan sidang tergempar Parlimen supaya kita semua boleh memenangi perang melawan wabak Covid-19 ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri