50 tahun DAP: Ke mana kita selepas ini?

Nota:

Ketika kita duduk di rumah, pasukan barisan hadapan seperti para doktor, jururawat, polis, tentera, penghantar makanan dan petugas-petugas berkaitan sedang gigih berusaha untuk memerangi wabak Covid-19. Kita bersetiakawan dengan satu suara pada saat yang sukar ini. Empat tahun lalu, Lim Kit Siang telah menyampaikan satu ucapan spontan yang penuh bererti kepada pimpinan dan anggota parti DAP yang mencerminkan semangat perpaduan kita sebagai rakyat Malaysia.

Ucapan yang disampaikan itu di pemukiman tertutup wakil-wakil DAP serta pimpinan negeri dan pusat pada 16 Januari 2016 juga merupakan sebahagian idea Kit Siang tentang apa yang dimaksudkannya sebagai Impian Malaysia dalam satu usul yang dibahaskan. Retreat itu sendiri diadakan selepas penubuhan Pakatan Harapan pada bulan September 2015, dan sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad bersama penyokongnya ikut serta. Dr Mahathir meninggalkan Umno pada 29 Februari 2016.

Sebelum penubuhan rasmi Bersatu pada 8 September, Dr Mahathir menemui Anwar Ibrahim sewaktu beliau hadir ke mahkamah, bagi mengisyaratkan perlunya perdamaian untuk tujuan yang lebih besar. Itulah pertemuan pertama mereka dalam tempoh 18 tahun sejak 2 September 1998. Ia merupakan permulaan baharu perjuangan demokrasi yang mencipta sejarah dan tertubuhnya kerajaan baharu pada 9 Mei 2018. Malangnya mandat rakyat itu telah dicabul dengan cara pengkhianatan, sikap tamak dan politik kotor pada Februari 2020.

Ucapan ini adalah satu peringatan bahawa DAP akan tetap berpegang kepada prinsip walau berdepan sebarang halangan, dan parti akan terus bekerjasama dalam gabungan yang memperjuangkan demokrasi, keadilan dan semangat setiakawan. Inilah cara hidup rakyat Malaysia - penuh rasa muhibah, sejahtera dan saling membantu; tidak kira pada waktu susah ataupun senang.


50 tahun DAP: Ke mana kita selepas ini?

Mahu ke mana kita sekarang? Ini adalah salah satu perbahasan paling sengit pernah saya hadapi, dan sangat penting kerana saya rasa DAP sudah sampai ke satu simpang selepas 50 tahun. Seperti yang disebut Dr Abdul Aziz Bari, kita tidak perlu percaya semua yang kita dengar daripada badan-badan kaji selidik, namun kita perlu ambil serius dapatan itu.

Dalam hal ini, rakan gabungan kita Parti Amanah Negara baru berusia tiga bulan. Kita juga telah mendengar hasil kaji selidik tentang PKR, DAP dan Amanah. Dapatan kaji selidik itu mengingatkan kita tentang kedudukan DAP pada usia-usia awal (tahun 1966). Apa agaknya pandangan orang Cina, Melayu dan India terhadap DAP pada bulan-bulan awal penubuhan parti?

Amanah berusia tiga bulan; kalau DAP pada usia itu ketika awal ia ditubuhkan, apa kata badan kaji selidik tentang kita? Berapa peratus undian Melayu, India, Cina dan lain-lain? Sangat sukar pada waktu itu.

Kita mesti memberi perhatian serius kepada hasil kaji selidik. Namun kita tidak boleh jadi pak turut sahaja dengan hasil dapatan tersebut. Dan jika hasilnya tidak baik, ia seharusnya menjadi pendorong kepada kita untuk membuktikan sebaliknya. Sebab itu saya rasa kita mesti serius tentang dapatan-dapatan ini.

Ubah modus operandi

Saya rasa ada banyak salah faham tentang usul perbahasan ini, iaitu “DAP perlu berubahan secara drastik untuk menjadi parti yang inklusif supaya pembangkang boleh menawan Putrajaya”. Saya tidak terlibat menggubal usul ini. Tetapi saya mungkin boleh mencadangkan pindaan kepada usul ini supaya tiada salah faham. Saya rasa usul ini ialah tentang perlunya perubahan drastik supaya menjadi parti yang lebih inklusif agar pembangkang boleh menang Putrajaya, lebih kurang begitu. Mungkin kita boleh pinda usul ini untuk menyatakan DAP perlu berubah secara drastik dari sudut modus operandi parti.

Saya rasa tidak ada sesiapa pun yang menyuruh kita mengorbankan prinsip perjuangan demi keadilan, demokrasi, dan demokrasi sosial, bukankah begitu? Yang perlu ubah adalah modus operandi, supaya kita boleh bergerak maju dan menjadi parti yang lebih inklusif di Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak, untuk orang Melayu, Iban dan Kadazan, supaya DAP boleh menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia; dengan hasil usaha rakyat Malaysia juga.

Jadi mari kita memeriksa keadaan ini. Ketika kita ditubuhkan 50 tahun lalu, dan rasanya saya seorang sahaja yang boleh bercakap tentang DAP 50 tahun lalu, ketika tidak ada siapa pun di kalangan kita yang terfikir boleh terpilih menjadi Ahli Parlimen atau Adun, malah untuk berazam membentuk kerajaan. Kita percaya kepada nilai-nilai demokrasi sosial, demi keadilan, kebebasan, tatakelola yang baik, dan supaya semua kaum boleh bersatu padu, dan pastinya proses pilihan raya yang kita tempuhi untuk tiba ke hari ini selama 50 tahun lalu. Quo vadis? Ke mana kita mahu pergi?

Kita bermula sebagai sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia. Kita tidak berjuang sebagai parti untuk orang Cina sahaja atau India sahaja. Pada waktu itu tentunya kita memberi tumpuan kepada Semenanjung, tetapi sebagai rakyat Malaysia kita menjadi parti SeMalaysia pertama yang beroperasi di Sabah dan Sarawak. Saya fikir itu sebabnya, dalam empat pilihan raya kecil (PRK) terawal yang kita tandingi sebelum PRU 1969, kita masuk ke kubu-kubu kuat UMNO. Kalau kita parti Cina, tentu kita tidak akan bertanding dalam PRK itu.

PRK pertama yang kita tandingi ialah di Kampung Baru. Bayangkan, Kampung Baru, Kuala Lumpur (pada masa itu Kuala Lumpur masih dalam negeri Selangor); kita bertanding di situ. Calon UMNO, Ahmad Razali yang kemudian menjadi Menteri Besar Selangor pada 1982, adalah juga ipar kepada Dr Mahathir Mohamad. PRK kedua yang kita tandingi ialah di Tampoi, Johor di mana Daeng Ibrahim menjadi calon DAP. PRK ketiga di Segamat Utara, juga di Johor. Calon UMNO ialah Musa Hitam, yang kemudiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri. Jadi kita tidak pernah takut untuk bertanding di kerusi-kerusi UMNO kerana kita kita percaya dengan perjuangan untuk memenangi hati dan minda seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Itulah permulaan PRU 1969 yang kita tandingi dengan calon-calon Melayu di kerusi Parlimen dan DUN, dan kita menang satu di Perak oleh Ibrahim Singgeh, dan satu lagi di kerusi Si Rusa, Negeri Sembilan. Itulah pegangan dan kepercayaan kita; bahawa DAP adalah parti untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tetapi jalannya sukar dan kita berdepan banyak cabaran, kita dimomok, diserang; namun semua masalah ini telah kita hadapi. Di Malaysia, politik perkauman menguasai kita; selain persoalan berpolitik atas garis perkauman, diikuti politik keagamaan, dan politik kelas mengambil tempat ketiga. Itu sebabnya Parti Rakyat Malaysia gagal membawa sebarang impak serius walaupun ia dipimpin oleh cerdik pandai Melayu, dan dalam tempoh 50 tahun lampau ia masih belum berhasil membawa sebarang kesan.

Itu cerita awal 1960-an, dan itu sebabnya kenapa saya memulakan ucapan tadi dengan menyebut jika waktu 1960-an dahulu sudah ada badan kaji selidik, apakah hasilnya? Contohnya di kalangan pengundi Cina, saya tidak rasa hasilnya tinggi, bukankah begitu? Hari ini sokongan pengundi Cina kepada kita berada pada tahap 89 peratus, tetapi pada tahun 1960-an ia sekitar 20 peratus sahaja, malah mungkin setakat 15 peratus sahaja. Tetapi kita percaya dengan perjuangan dan kita terus berjuang; kita berusaha untuk menyampaikan mesej parti kerana kita percaya bahawa kita mahu menjadi parti untuk seluruh rakyat Malaysia.

Sudah cukup puas hati?

Hari ini kita berada di persimpangan yang amat kritikal. Ke mana kita mahu pergi dari sini? Adakah kita puas hati dengan kedudukan sekarang? Tidak dinafikan, di beberapa tempat kita adalah parti yang dikenali kerana kita dalah parti kedua terbesar dari segi bilangan kerusi. Kita menjadi parti pilihan masyarakat bandar, tidak kira di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tetapi itu sahajakah yang kita mahu? Adakah kita puas hati? Itu sahajakah tujuan utama kita? Itu sahajakah fungsi DAP?

Kita berjuang untuk Malaysia, untuk semua rakyat Malaysia. Itu sebabnya kita mesti berupaya untuk mencapai lebih jauh, meraih sokongan bukan sahaja daripada orang Cina dan India tetapi juga orang Melayu, Iban dan Kadazan; itu tanggungjawab dan tugas kita. Jika tidak, kenapa kita bersama dengan DAP? Untuk menjadi wira orang Cina? Atau India? Tidak! Kita percaya bahawa ini adalah negara untuk rakyat Malaysia, kita mahu Malaysia yang lebih baik dan kita mempunyai tanggungjawab demi semua rakyat Malaysia.

Jadi bagaimana untuk kita bergerak menuju langkah seterusnya? Saya bersetuju dengan beberapa pembahas yang berpendapat bahawa kita tidak boleh berjuang sendirian. Kita mesti menerima hakikat. Suka atau tidak, kita mempunyai had untuk berfungsi, bukan dari segi ideologi dan kepercayaan. Iktikad kita adalah untuk semua rakyat Malaysia. Tetapi secara praktikal, kita terbatas di kawasan bandar, terutamanya kawasan bukan-Melayu. Kita mesti mendekati orang Melayu, Kadazan, Dayak dan Orang Asli. Ini yang kita tidak laksanakannya sekarang.

Sebab utama saya berpindah ke Parlimen Gelang Patah (untuk bertanding dalam PRU13 pada 2013) dari kerusi Ipoh Timur, adalah kerana keperluan itu. Kita mesti bergerak dan meraih sokongan seluruh rakyat Malaysia. Ia memang satu risiko. Saya pun tidak tahu sama ada saya akan menang. Ramai yang berpendapat ia satu langkah yang dangkal. Tetapi saya berpendapat itulah sebabnya mengapa kita menyertai DAP dan politik Malaysia. Mujurlah saya menang. Tetapi itu bukan penghujungnya. Ia hanyalah permulaan perjalanan seterusnya untuk kelahiran sebuah Impian Malaysia: Impian Sabah, Impian Sarawak, Impian Kelantan, Impian Kedah, Impian Perak dan Impian Johor. Inilah peringkat seterusnya.

Proses Impian ini adalah usaha pasca-2013. Tentunya ia adalah harapan rakyat untuk menyaksikan perubahan. Ia gagal dicapai dalam PRU 2013 kerana proses pilihan raya berlangsung secara tidak adil. Walaupun Najib Razak hanya memperolehi 47% undi, Barisan Nasional berjaya meraih 60% kerusi Parlimen dan menjadi perdana menteri minoriti.

Kemudian Pakatan Rakyat dibubarkan, dan kita berada di sini hari ini. Akhirnya Amanah lahir, dan diikuti Pakatan Harapan. Kita dapat memberi harapan baharu. Tetapi itu cerita Pakatan Harapan secara am.

Bagaimana pula dengan DAP? Memikirkan bahawa misi kita ialah untuk menjadi parti buat semua rakyat Malaysia, kita mahu menjadi parti yang menjadi inspirasi rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, agama dan daerah. Itu akan terus menjadi impian dan matlamat kita sebagai sebuah parti.

Namun realitinya, untuk jangka masa terdekat ini, DAP tidak boleh membentuk Kerajaan Persekutuan secara bersendirian; malah menubuhkan kerajaan negeri sendiri pun tak boleh. Tetapi ia boleh dijayakan dalam sebuah gabungan seperti yang kita ada sekarang ini untuk melawan gabungan BN pimpinan UMNO.

Bukan soal ‘Melayu lawan Cina’

Dari satu sudut, ia mungkin bersangkut-paut kerana saya rasa apa yang disebut oleh Dr Wong Chin Huat adalah sangat penting; kita tidak boleh terjerat dan membiarkan propagandis UMNO membingkai perlawanan ini sebagai ‘UMNO lawan DAP’ kerana adalah mudah untuk mereka mengatakan bahawa ia justeru perlawanan di antara Melayu dan Cina. Ia bukan soal perlawanan di antara Melayu dan Cina walaupun ramai yang bercakap tentang sekiranya UMNO tewas, Najib akan hilang kedudukan, maka Melayu akan kehilangan kuasa politik. Justeru itu mereka kata DAP dan orang Cina akan merampas kuasa politik. Ini tentunya tidak betul, tidak berasas, namun ia merupakan propaganda politik yang hebat. Kita mesti memusnahkan penipuan dan fitnah ini. Soalnya bagaimana?

Bagaimana kita boleh menghalang Najib daripada menepis serangan terhadapnya berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, kegagalan dasar dalam membina negara dengan menukar seluruh isu menjadi sebuah pertempuran kaum dan agama di antara orang Islam dan bukan-Islam, Melayu lawan Cina? Inilah juga sebabnya kenapa penting untuk DAP meneruskan misi perubahan menjadi sebuah parti untuk rakyat Malaysia yang diterima kesemua kaum dalam negara ini. Soal kononnya kita kompromi pegangan dan nilai langsung tidak timbul. Tetapi kita perlu mengubah modus operandi parti.

Kita telah mencuba projek-projek Impian tetapi ia belum cukup baik. Kita mesti berusaha dengan lebih kuat, bekerja lebih keras dan mengubah modus operandi parti secara drastik.

Kita cenderung terperangkap dengan mereka yang cuba memperosok kita ke sudut-sudut pinggir. Saya mahu jujur dan mungkin sedikit kritis. Kita terjerat dalam perangkap ini di Perak. Untuk dua PRU lalu, kita terhalang daripada meletakkan calon Melayu kerana ada orang kata ini akan mengguris hati rakan kita ketika itu, PAS. Mereka rasa kita akan merebut jawatan Menteri Besar. Jadi kita berundur untuk memberi ruang kepada mereka. Tetapi saya rasa itu adalah satu kesilapan.

Perlunya membentuk gabungan

Kita mesti bekerjasama dengan Amanah, PKR dan menjadi faktor kejayaan Pakatan Harapan. Inilah masa depan politik Malaysia. Ia harus melalui jalan gabungan. Kita mesti mampu meneruskan misi yang telah kita tetapkan, untuk menjadi parti yang benar-benar untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kita mesti bekerjasama dengan dua lagi anggota Pakatan Harapan. Kita bekerjasama dengan PKR dan Amanah, tetapi kita juga mesti menjadi parti untuk rakyat Malaysia. Ini penting.

Cabaran pertama kita adalah dalam pilihan raya negeri di Sarawak dalam tempoh dua bulan lagi. Sama ada kita mampu berpegang kepada janji Pakatan Harapan untuk rakyat Malaysia: supaya hanya ada pertandingan satu lawan satu, ia memang sukar, namun sedang diuruskan oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Tetapi untuk gambaran yang lebih besar, kita mesti bekerja keras untuk meyakinkan rakyat Sarawak serta rakyat Malaysia bahawa gabungan Pakatan Harapan ada di sini untuk mereka. Bagaimana ia boleh dilakukan, bolehkah ia dicapai; saya rasa kita perlu cuba, kemudian tunggu dan lihat.

Jika tidak, rakyat Malaysia akan kecewa dan saya rasa selepas pengalaman mengejutkan pasca-2013 ketika orang ramai kecewa dengan terkuburnya Pakatan Rakyat, saya rasa rakyat tidak bersedia untuk menerima satu lagi kejutan tentang kemungkinan matinya Pakatan Harapan. Ini adalah kerana Pakatan Harapan diperlukan untuk menewaskan Najib dan kerajaan BN pimpinan UMNO.

Saya rasa apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana kita bekerja dari detik ini. Ke mana kita dari sini? Bagaimana kita mahu mengubah modus operandi secara drastik? Ini adalah sesuatu yang perlu dibincangkan seluruh pimpinan negeri dan pertimbangkan cara-cara yang tidak pernah kita lakukan sebelum ini, untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun setengah akan datang.

Siri jelajah saya akibat digantung enam bulan dari Parlimen kerana bertanya ‘mana RM2.6 bilion’ boleh digunakan sebagai peluang untuk masuk ke kawasan-kawasan yang belum kita dekati sebelum ini. Apabila saya kembali ke Parlimen pada Jun nanti, saya berharap saya sudah pun menjelajah ke lebih 150 daripada keseluruhan 222 kawasan Parlimen. Dan saya harap anda semua boleh membantu, semua negeri boleh membantu merangka program dan ikut serta, kerana itu adalah cara yang baik untuk masuk ke kawasan-kawasan yang kita belum lawati.

Melawan fitnah dan propaganda keji

Kita mesti awasi dan peka terhadap serangan yang bakal menjelang tiba, kita juga harus waspada terhadap serangan yang menuduh kita sebagai “parti untuk orang Cina sahaja”, dan kononnya kita parti “evangelis Kristian”. Ada cakap-cakap kononnya berlangsung mesyuarat di Pulau Pinang untuk merencana bagaimana menjadikan Malaysia negara Kristian. Ada pihak yang berkongsi grafik DAP sebagai sebuah parti evangelis. Sebuah buku bertajuk ‘Sang Nila Utama and the Lion of Judah’ yang merupakan satu serangan jahat dan serius telah diterbitkan, kononnya ada konspirasi untuk mengkristiankan Malaysia, dan DAP kononnya terlibat. Nama Lim Guan Eng, Hannah Yeoh dan Teresa Kok juga disebut; dan pastinya ini bohong dan palsu belaka.

Tetapi ini adalah peluru buat propagandis UMNO untuk memomokkan DAP, mengancam orang Melayu supaya membayangkan bahawa ini adalah pertembungan di antara Melayu dan Cina, kononnya orang Islam melawan Kristian evangelis. Ini memang fitnah tetapi bagaimana kita patahkan pembohongan ini?

Saya telah menjadi mangsa tipu-daya ini sepanjang 50 tahun lalu. Bermula dengan rusuhan 13 Mei 1969 di mana saya dituduh bertanggungjawab mencetuskan rusuhan itu, kononnya mengetuai demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur, membuat kenyataan anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur pun ketika itu. Kerana saya berada di Sabah pada masa itu.

Selepas itu wujudlah semua tuduhan ini, yang terbaru kononnya pihak Israel telah membuat tawaran bernilai RM1.2 bilion, dengan balasan Israel diberi tapak pangkalan tentera laut di Port Dickson. Apa tujuan Israel mahu pangkalan di Port Dickson pun saya tidak faham. Tetapi pembohongan sedemikian adalah sangat berkesan. Ada orang percaya pembohongan itu. Bagaimana kita boleh patahkannya?

Ada satu istilah baharu dalam politik, ‘disintermediation’; membuang orang tengah. Pada zaman internet ini, membuang orang tengah, dalam urusniaga, industri, malahan dalam politik. Siapakah orang tengah ini? Mereka termasuklah parti politik, pengamal media, badan kaji selidik; dan kita berhubung terus dengan rakyat. Kerana kita tidak mahu bergantung semata-mata kepada media, kaji selidik pendapat, dan kerana itulah kita perlu menjangkau kepada lebih 3 juta ahli UMNO. Kita mahu menyampaikan maklumat yang benar kepada mereka.

Bukan senang tetapi mesti kena buat

Anda mesti mencuba untuk berhubung dengan 1 juta ahli PAS. Kita perlu menyampaikan maklumat sebenar kepada mereka. Bagaimana ini boleh dilakukan? Kerana saya percaya bahawa tidak semua 3 juta ahli UMNO menyokong apa yang dilakukan oleh Najib dalam skandal berkembar 1MDB dan derma RM2.6 bilion. Saya juga tidak percaya kesemua 1 juta ahli PAS menyokong Hadi Awang dalam kerjasamanya dengan Najib atas alasan perpaduan Melayu dan Islam bagi menjustifikasi rasuah dan salahguna kuasa.

Jadi bagaimana kita membawa proses menolak orang tengah di Malaysia, dalam era internet ini? Inilah cabaran yang mesti kita hadapi, turun ke lapangan dan bertemu orang Melayu di kawasan luar bandar, orang Iban dan Kadazan di pedalaman Sarawak dan Sabah. Soalnya sekarang adalah perincian modus operandi ini.

Memanglah kita boleh kata semua ini adalah kerja yang susah lagi menyusahkan. Ada antara kita mungkin berkata: “Orang ramai boleh menerima atau menolak kita. Kita adalah kita. Kita mahu Malaysia yang sosial demokratik, kita percaya kepada keadilan dan demokrasi, prinsip kita jelas. Melayu, Iban atau Kadazan boleh terima atau boleh tolak.” Tetapi saya tidak fikir begitu. Saya tidak rasa kita boleh bersikap sedemikian kerana ia menunjukkan bahawa kita enggan berhadapan dengan realiti, malah kita dilihat mahu lari daripada tanggungjawab.

Kita harus ingat bahawa dalam negara kita hari ini, dalam sebuah masyarakat majmuk, memang ada orang Cina yang hidup dalam lingkungan Cina sepenuhnya, begitu juga Melayu yang hidup dalam lingkungan Melayu, India sesama India. Sama juga halnya dengan Kadazan dan Iban. Jadi, ia merupakan tugas kita untuk menghulurkan tangan kepada mereka, supaya mereka melihat gambaran Malaysia yang lebih besar. Anda mesti berani untuk melaksanakan misi yang sedemikian.

Katakanlah sokongan Cina sekitar 80-90% dan mereka yakin dengan DAP, ia bermakna 80-90% masyarakat Cina ini berkongsi impian Malaysia. Tetapi pada masa yang sama ia juga mungkin bermakna ada sikap oportunisme di kalangan pengundi Cina. Mungkin mereka tiada gambaran visi Malaysia yang lebih luas. Jadi ia merupakan tanggungjawab kita sebagai pemimpin politik untuk menarik keluar mereka daripada dunia keCinaan yang tebal untuk melihat sudut pandang Malaysia yang lebih luas dan inklusif. Ini juga terpakai ke atas orang India, Melayu, Kadazan dan Iban yang hidup dalam kepompong masing-masing. Bukankah begitu? Adakah kita bersedia untuk cabaran ini, untuk menghulurkan tangan kepada mereka?

Ini tidak mudah. Malah memang sukar, dan anda mungkin gagal. Tapi jika kita tidak buat apa-apa, adakah kita akan berjaya? Jika kita selesa dengan apa yang ada sekarang, adakah kita akan berjaya? Di kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, adakah kita akan boleh menang? Adakah kita akan terus menerus dapat mengekalkan sokongan pengundi bandar?

Jangan lupa, mereka menyokong kita kerana mereka percaya kita boleh memimpin mereka ke arah Malaysia yang lebih baik. Dan kita tidak boleh memimpin ke arah Malaysia yang lebih baik kecuali kita menjadi sebahagian daripada gabungan yang boleh mentadbir, merangka dan melaksana polisi untuk seluruh negara.

Kita akan terus menjadi pembangkang. Tidak ada jaminan bahawa pada PRU15 nanti kita dapat mengekalkan tapak sokongan. Mungkin pada PRU14, tetapi tidak pada PRU15.

Jadi saya nyatakan kepada anda bahawa kita perlu berubah, kita perlu menjangkau lebih jauh, kita mesti untuk mengubah DAP bukan sahaja dari segi visi dan nilai tetapi juga realiti, sebagai sebuah parti yang mendapat sokongan semua rakyat Malaysia, termasuk Melayu, Iban dan Kadazan.

Tiada siapa yang mahu kita menggadaikan prinsip, nilai dan matlamat. Semua itu kekal. Dan sekiranya diterima, maka saya fikir usul bahawa ‘perubahan drastik’ sesuai dipinda dalam erti kata perubahan modus operandi, kerana ia penting untuk negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP