Mengulangi semula seruan untuk diadakan sidang Parlimen khas minggu depan untuk memastikan pelaksanaan PKP yang kreatif dan fleksibel bagi mengukuhkan infrastruktur kesihatan awam Malaysia untuk melindungi petugas barisan hadapan, meningkatkan kebolehan ujian saringan negara, melindungi golongan dan sektor terpinggir, dan untuk menyediakan satu strategi keluar untuk negara

Berikut adalah peristiwa-peristiwa suram yang direkodkan di seluruh dunia dalam peperangan melawan Covid-19:

Pertama, Amerika Syarikat kini telah melepasi paras setengah juta kes Covid-19 yang disahkan, dengan jumlah kes positif keseluruhan sebanyak 502,876 kes dan 18,747 kematian.

Kedua, selepas melepasi paras seratus hari, tiga kawasan, Amerika Utara, Eropah, dan Timur Tengah telah mempunyai jumlah kes disahkan melebihi daripada keseluruhan Asia, dengan Amerika Utara melebihi setengah juta kes dan Eropah menghampiri paras setengah juta kes.

Ketiga, jumlah kes di Amerika Syarikat telah mengatasi Korea Selatan, walaupun kes pertama ditemui di kedua negara tersebut pada hari yang sama, 19 Januari. Dua belas minggu kemudian, Amerika Syarikat telah menjadi pusat utama dunia penularan wabak ini sedangkan Korea Selatan (sehingga awal Mac, negara ini berada di tempat kedua selepas China) pula kini dilihat sebagai sebuah negara model yang berjaya membendung wabak ini. Korea Selatan mempunyai 10,423 kes yang disahkan, dengan 204 kematian.

Keempat, jumlah kes keseluruhan global hanya kekurangan 400 kes untuk melepasi paras 1.7 juta kes disahkan. Wabak ini mengambil 12 minggu daripada kes dilaporkan yang pertama untuk sampai ke paras setengah juta kes, satu minggu untuk mencapai setengah juta kedua, dan dalam enam hari yang lepas, jumlah kes positif meningkat pada kadar 100,000 kes sehari. Pada kadar ini, jumlah kes keseluruhan global akan melepasi paras 2 juta kes awal minggu depan.

Kelima, Turki yang merupakan beberapa negara yang cuba untuk tidak mengenakan sebarang sekatan pergerakan dalam melawan wabak Covid-19 ini telah menguatkuasakan perintah berkurung selama dua hari di 31 daerah, termasuk Istanbul, Ankara, dan beberapa bandar besar yang lain susulan 98 kematian baharu dan 4,747 kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lepas, membawa jumlah kes disahkan kepada 47,029 dengan 1,006 korban nyawa.

Malaysia harus mempelajari pengajaran -- daripada kejayaan dan kegagalan -- daripada negara-negara lain ini, terutamanya Korea Selatan, China, Singapura, Hong Kong, Itali, Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat, Iran, dan Turki. Tetapi kita mesti membangunkan strategi lawan sendiri dalam melawan wabak Covid-19 ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata yang kadar jangkitan Covid-19 di Malaysia telah menurun ke paras yang stabil selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Beliau menyatakan yang kadar reproduksi asas (R0) wabak ini adalah 3.55 sebelum pelaksanaan PKP pada 18 Mac. Angka tersebut telah jatuh kepada satu.

“R0 sebelum pelaksanaan PKP adalah 3.55, di mana jika seseorang itu dijangkiti, dia akan menjangkiti 3.55 orang yang lain. Sekarang kita telah berjaya menurunkan angka tersebut, ini bermakna PKP adalah berkesan untuk menurun kadar R0.”

Seorang rakan doktor telah memberitahu saya yang R0 di China dijangkakan berada pada tahap 2.6 (di mana setiap kes akan merebak menjadi 2.6 kes yang baharu), tetapi kerana kadar ujian saringan yang masih rendah di Malaysia, agak sukar untuk kita ramalkan kadar sebenar R0. Beliau mengatakan yang Malaysia perlu menguji hampir 300,000 orang, berbanding dengan 70,000 seperti yang dilakukan sekarang.

Satu kelemahan sistem kesihatan awam negara kita adalah kapasiti ujian saringan, penjejakan, dan rawatan Covid-19, dan kita perlukan polisi untuk meningkatkan kapasiti bagi membolehkan ujian saringan secara meluas dan percuma diberikan kepada semua rakyat Malaysia.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia, Marimuthu Nadason telah menyeru supaya kerajaan memberikan bantuan wang tunai bulanan kepada golongan berpendapatan rendah memandangkan PKP dilanjutkan selama dua minggu lagi.

Golongan berpendapatan rendah dan pekerja gaji harian, termasuklah buruh asing, adalah golongan yang terkesan paling teruk dengan pelanjutan PKP ini.

Singapura memberikan geran sokongan sebanyak S$800 (RM2,438) untuk tempoh tiga bulan berturut-turut untuk pekerja sepenuh masa dan kontrak, dan United Kingdom pula memberikan “80% jaminan pendapatan” yang bernilai £29 (RM156) sehari kepada pekerja yang kini mempunyai sifar ataupun dikurang tempoh bekerja mereka sepanjang krisis Covid-19 ini.

Jelas sekali, berjuta rakyat Malaysia tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung keperluan harian untuk diri sendiri dan anak-anak mereka.

Atas sebab ini, saya mengulangi sekali lagi, seruan saya supaya diadakan satu persidangan khas Parlimen pada minggu hadapan, untuk memastikan satu pelaksanaan fleksibel dan kreatif PKP yang kini telah dilanjutkan dua kali, untuk memperkukuhkan infrastruktur kesihatan awam negara bagi melindungi petugas barisan hadapan; untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan, penjejakan, dan rawatan Covid-19; untuk melindungi golongan dan sektor terpinggir dalam negara dan untuk menyediakan satu strategi keluar untuk Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri