Pembahagian kawasan kepada empat zon berwarna mengikut kadar jangkitan Covid-19 boleh digunakan sebagai asas kepada strategi pelonggaran perintah kawalan pergerakan, tetapi zon empat warna ini haruslah dikemaskini setiap hari untuk tidak melebih nyata keseriusan jangkitan Covid-19 di pelbagai kawasan dalam negara

Hari ini adalah hari yang istimewa sepanjang penularan wabak Covid-19 yang sedang merebak pantas di seluruh dunia dengan 1.4 juta kes yang disahkan dan 81,695 kematian.

Wabak ini bermula di Wuhan, China pada awal Disember lepas dan diumumkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 11 Mac 2020.

Ia telah menjangkiti 209 negara dan kawasan, dan dalam tiga bulan yang lepas telah melepasi satu demi satu rekod yang buruk dalam peperangannya melawan umat manusia.

Sebagai contoh, virus ini mengambil 67 hari untuk mencapai 100,000 kes yang pertama, 11 hari untuk mencapai 100,000 kes kedua, empat hari untuk mencapai 100,000 kes ketiga, tiga hari untuk mencapai 100,000 kes keempat, dua hari untuk mencapai 100,000 kes kelima, sehari untuk mencapai 100,000 kes keenam, dua hari untuk mencapai 100,000 kes ketujuh, dan sehari untuk mencapai setiap 100,000 kes kelapan dan kesembilan (sejumlah sejuta kes). Virus ini kemudiannya mengambil masa dua hari untuk mencapai 100,000 kes kesepuluh dan sehari untuk mencapai setiap 100,000 kes ke-sebelas, kedua belas, dan ketiga belas. Jumlah keseluruhan kes yang disahkan di peringkat dunia adalah 1,421,665 kes!

Walaupun wabak ini bermula di Asia, Amerika Utara akan tidak lama lagi melepasi negara-negara Eropah seperti Itali, Sepanyol, dan Perancis yang telah menghadapi mimpi ngeri dengan peningkatan harian daripada seribu hingga ke lebih daripada sembilan ribu kes sehari dan dengan kadar kematian harian yang meningkat daripada tiga ke empat angka. Kerosakan wabak ini kini sedang menghala ke arah United Kingdom (di mana Perdana Menteri UK Boris Johnson kini ditempatkan di unit rawatan rapi) dan Amerika Syarikat, di mana Presidennya kini bercakap mengenai jumlah kematian sehingga 100,000 ke 200,000 orang sedangkan dua minggu yang lepas beliau merancang untuk “membuka semula” ekonomi AS pada hari Ahad Easter 12 April.

Data terkini 12 negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi (yang juga mengandungi 12 negara dengan jumlah kematian tertinggi) dan Malaysia adalah seperti berikut:

  • AS 393,798 kes; 12,697 kematian (3.2%)
  • Sepanyol 140,618 kes; 13,912 kematian (9.89%)
  • Itali 135,586 kes; 17,127 kematian (12.6%)
  • Perancis 109,069 kes 10,328 kematian (9.47%)
  • Jerman 107,591 kes; 2,012 kematian (1.87%)
  • China 81,740 kes; 3,331 kematian (4.07%)
  • Iran 62,589 kes; 3,872 kematian (6.2%)
  • UK 55,242 kes; 6,159 kematian (12.15%)
  • Turki 34,109 kes; 725 kematian (2.1%)
  • Switzerland 22,253 kes; 821 kematian (3.7%)
  • Belgium 22,194 kes; 2,035 kematian (9.2%)
  • Belanda 19,580 kes; 2,101 kematian (10.7%)
  • Malaysia 3,963 kes; 63 kematian (1.59%)

Pembukaan bandar Wuhan hari ini menjadi bukti kepada ketahanan, tekad, dan solidariti kemanusiaan dalam memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 ini.

Perkara ini menjadi pengajaran bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi kepada seluruh dunia yang peperangan ini boleh dimenangi.

Data terkini penularan Covid-19 memberikan semangat kepada optimisme berhati-hati saya sebelum ini bahawa kita telah melepasi puncak gelombang kedua wabak ini. Tetapi kita harus bersedia untuk kedatangan semula virus ini pada bila-bila masa sahaja, sehinggalah virus untuk virus ini diciptakan dalam tempoh 12 ke 18 bulan.

Sekarang adalah waktunya untuk mempertimbangkan dan membincangkan strategi keluar daripada perintah kawalan pergerakan oleh semua pihak, memandangkan Covid-19 ini bukan sahaja menjadi bencana kesihatan awam tetapi juga bencana terhadap sistem ekonomi negara yang disebabkan oleh penghentian aktiviti perniagaan dalam negara bagi menyelamatkan nyawa dalam melawan virus ini.

Kerana ini jugalah satu persidangan khas parlimen, biarpun secara “maya”, sangat penting dan patut menjadi keutamaan buat masa ini.

Apakah strategi keluar yang berpatutan?

Tidak ada jawapan bagi persoalan ini memandangkan ini adalah kali pertama seluruh dunia menghadapi masalah ini.

Pelbagai negara di sekitar dunia menggunakan berbagai strategi kawalan pergerakan dan tidak satu cara yang boleh dilaksanakan oleh semua negara tanpa pengubahsuaian.

Malaysia perlu membangunkan strateginya sendiri, yang haruslah memenuhi tujuan pembendungan wabak Covid-19 sehingga adanya vaksin untuk virus ini bagi membolehkan enjin ekonomi negara dimulakan semula dan bagi membolehkan kehidupan untuk pulang kepada keadaan normal semula.

Pembahagian kawasan kepada empat zon berwarna oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengikut kadar jangkitan Covid-19 boleh digunakan sebagai asas kepada perumusan strategi keluar negara kita bagi melonggarkan perintah kawalan pergerakan sedia ada. Tetapi zon-zon ini haruslah dikemaskini setiap hari untuk mengelakkan penyataan berlebihan keseriusan wabak ini di bahagian-bahagian dalam negara.

Zon merah merujuk kepada kawasan dengan lebih daripada 40 kes positif, zon oren pula untuk kawasan dengan 21 hingga 40 kes positif, zon kuning untuk kawasan dengan satu hingga 20 kes positif, dan zon hijau untuk kawasan dengan sifar kes positif Covid-19.

Infografik terkini kawasan-kawasan dalam negara menunjukkan Pulau Pinang sebagai mempunyai lima daerah, dua di dalam zon oren dan tiga di dalam zon kuning.

Jika perkembangan terkini Covid-19 diambil kira, sebagai contoh, jumlah pemulihan dan discaj pesakit daripada hospital, kesemua lima daerah di Pulau Pinang akan termasuk dalam zon kuning -- malah daerah Seberang Perai Selatan akan menjadi hampir kepada zon hijau dengan hanya satu kes aktif Covid-19.

Dalam ekonomi pandemik pasca-PKP, Malaysia harus merumuskan satu strategi keluar yang boleh mencapai keseimbangan di antara pembendungan wabak Covid-19 sehingga vaksin ditemui dan pelonjakan semula ekonomi negara dan pengembalian kehidupan rakyat kepada situasi normal.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri