Muhyiddin perlu memulakan rundingan dengan pihak berkepentingan berhubung strategi jalan keluar yang perlu diambil oleh negara, kerana ini merupakan situasi yang amat luar biasa bukan sahaja buat Malaysia, malah seluruh dunia

Ketika pandemik Covid-19 masih terus tersebar dengan meluas di seluruh dunia, merekodkan 1,339,214 kes dan mencatatkan 74,371 kematian dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom menjadi pusat pandemik baharu terburuk, muncul sinar harapan buat Malaysia yang kini sudah melepasi puncak gelombang kedua penularan Covid-19 dan justeru itu sudah tiba masanya untuk kita sama-sama memikirkan strategi jalan keluar untuk perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebenarnya, di Eropah misalnya, negara-negara seperti Itali, Sepanyol dan Perancis yang dilihat paling terjejas teruk akibat virus tersebut kini mula menampakkan tanda-tanda semakin pulih.

Angka kematian di Sepanyol semakin menurun untuk hari keempat berturut-turut, Itali pula mencatatkan angka kematian terendah dalam tempoh dua minggu sementara Perancis mencatatkan penurunan jumlah kes positif Covid-19 -- berita-berita baik ini memberikan sinar harapan kepada seluruh warga Eropah tentang keberkesanan penguatkuasaan perintah berkurung.

Sejak tengah hari semalam, terdapat 3,793 kes Covid-19 dicatatkan di Malaysia, dengan 131 kes baharu dan 62 kematian direkodkan.

Kira-kira tiga minggu lalu, pada 19 Mac, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba dalam satu rancangan Berita Perdana RTM1 -- di mana beliau mengatakan "air suam boleh membunuh koronavirus", -- berkata sudah terdapat tanda-tanda statistik kes jangkitan Covid-19 di Malaysia sudah mula menunjukkan keluk mendatar. Namun kenyataan Adham itu ternyata indah khabar dari rupa.

Adham secara jelas merujuk 15 Mac sebagai puncak penularan Covid-19 yang menyaksikan peningkatan 180 kes. Namun, dalam tempoh tiga minggu selepas itu, tidak terdapat tanda-tanda keluk semakin mendatar, berikutan berlaku peningkatan jumlah kes Covid-19 pada 23 Mac iaitu sebanyak 212 kes sementara 235 kes lagi pada 26 Mac, 208 kes pada 2 April dan 217 kes pada 3 April.

Meskipun kes positif Covid-19 kini sudah meningkat hampir lima kali ganda sejak 18 Mac (tarikh pelaksanaan PKP) puncak gelombang kedua penularan Covid-19 sebenarnya bermula pada 3 April, yang menyaksikan jumlah kes positif Covid-19 mencecah 3,333 kes selepas mengalami peningkatan kes harian sebanyak 217 kes.

Dalam tempoh tiga hari yang lalu, terdapat keluk mendatar dalam peningkatan kes, dengan kes baharu dicatatkan berjumlah 150, 179 dan 131 untuk ketiga-ketiga hari tersebut.

Jika prognosis ini tepat, maka pelaksanaan PKP dan lanjutannya terbukti berkesan kerana ternyata unjuran JP Morgan bahawa Malaysia akan mencapai puncak jangkitan pertengahan April dengan 6,300 kes adalah salah, memandangkan puncaknya dicapai pada 3 April dengan 3,333 kes.

PKP ternyata efektif dalam membendung penyebaran Covid-19.

Saya menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memulakan rundingan secara meluas dengan pihak berkepentingan berhubung strategi jalan keluar yang perlu diambil Malaysia kerana ini merupakan situasi yang amat luar biasa bukan sahaja buat Malaysia, malah seluruh dunia

Tidak mustahil pandemik Covid-19 akan muncul semula seperti sewaktu awal-awal virus berkenaan mula merebak, kecuali jika vaksin Covid-19 dapat dibangunkan secepat mungkin -- meskipun terdapat pakar-pakar vaksin yang mengatakan penghasilan vaksin tersebut memerlukan tempoh lebih 18 bulan.

Jawapan kepada persoalan “bilakah tempoh berkurung akan berakhir” bergantung kepada persoalan-persoalan yang masih belum terjawab berhubung virus berkenaan, sebagai contoh, adakah seseorang yang pernah dijangkiti virus ini berisiko untuk dijangkiti semula dan seberapa cepat saintis-saintis dunia dapat menghasilkan vaksin. Kos dan faedah daripada lanjutan perintah berkurung dan kemampuan negara-negara lain menghadapinya, baik dari segi ekonomi atau sudut pandang politik, merupakan antara faktor-faktor yang juga memainkan peranan dalam situasi ini.

Terdapat satu konsensus yang mengatakan pandemik ini hanya akan berakhir dengan wujudnya imuniti kelompok (herd immunity), yang melindungi seluruh komuniti daripada patogen, iaitu ejen yang menyebabkan penyakit disebabkan oleh virus atau kuman tertentu.

Terdapat dua cara untuk mencapai matlamat ini.

Pertama, imunisasi. Saintis perlu membangunkan vaksin yang dijamin selamat serta efektif bagi melawan coronavirus, dan pihak kesihatan perlu memberikan vaksin tersebut kepada pesakit.

Kedua, adalah mewujudkan imuniti kelompok yang lebih ngeri sifatnya: Ia akan berfungsi selepas sebahagian besar komuniti telah dijangkiti dan membina ketahanan diri daripada serangan patogen ini pada masa akan datang.

Kebanyakan negara menggunakan strategi perintah berkurung bagi membendung penularan virus, menutup perniagaan dan sekolah, mengharamkan perhimpunan ramai dan memaksa semua rakyatnya untuk tinggal di rumah.

Ia adalah untuk mengelakkan terjadinya peningkatan jangkitan yang akan menambah beban kepada sistem kesihatan, sekali gus menyebabkan kematian ekoran rawatan terpaksa dicatu. Strategi meratakan lengkungan dapat mengawal peningkatan kes dan petugas kesihatan mempunyai masa yang mencukupi untuk menggerakkan sumber bagi meningkatkan kapasiti ujian dan saringan, mengesan kontak rapat individu yang disahkan positif Covid-19, dan merawat pesakit, dengan memperluaskan kemudahan hospital, termasuk pembekalan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyediakan unit rawatan rapi.

Menamatkan sekatan pergerakan terlalu awal berisiko mengundang peningkatkan kes baharu. Menerusi “strategi jalan keluar”, pakar kesihatan menyeru pelaksanaan peringkat perantaraan di mana sekolah dan perniagaan dibenarkan untuk beroperasi tetapi perhimpunan ramai masih perlu dihadkan.

Orang ramai masih perlu digalakkan untuk mengamalkan penjarakkan sosial, dan mereka yang berisiko tinggi dijangkiti virus disarankan supaya mengurangkan aktiviti di luar. Jika kes kembali meningkat, sekatan akan diperketatkan.

Ujian saringan secara meluas penting kerana wabak Covid-19, yang menyebabkan huru-hara ini bukan sahaja kerana ia boleh membawa maut, tetapi juga tersembunyi dan amat berbahaya, dengan kebanyakan daripada mereka yang dijangkiti virus tersebut nampak seakan-seakan sihat, dan secara tidak sedar menyebarkan virus itu kepada orang lain.

Itu sebabnya penting untuk melakukan ujian secara besar-besaran, dan melakukan ujian ke atas setiap orang yang menunjukkan tanda-tanda dan simptom. Dengan cara itu, mereka yang dijangkiti boleh diletakkan dalam pengasingan dan mereka yang mempunyai kontrak rapat boleh dikesan, diuji dan jika perlu, diletakkan dalam pengasingan, bagi mengurangkan penyebaran virus.

Pihak berkepentingan di Malaysia harus memainkan peranannya dalam merangka strategi jalan keluar ini. Siapa tahu kita mampu membina sebuah model yang akan menjadi contoh yang terbaik kepada negara-negara lain dalam menangani penularan wabak.

Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia perlu cakna dengan perkembangan Covid-19 di negara-negara lain.

Berikut merupakan data 12 negara yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia (termasuk jumlah serta peratus kematian) termasuk Malaysia:

  • Amerika Syarikat 362,573 kes; 362,573 kematian (2.96%)
  • Sepanyol 136,675 kes; 13,341 kematian (9.76%)
  • Itali 132,547 kes; 16,523 kematian (12.5% )
  • Jerman 102,179 kes; 1,712 kematian (1.67%)
  • Perancis 98,010 kes; 8,911 kematian (9.1%)
  • China 81,708 kes; 3,331 kematian (4.07%)
  • Iran 60,500 kes; 3,739 kematian (6.2%)
  • UK 51,608 kes; 5,373 kematian (10.4%)
  • Turki 30,217 kes; 649 kematian (2.15%)
  • Switzerland 21,657 kes; 765 kematian (3.5%)
  • Belgium 20,814 kes; 1,632 kematian (7.8%)
  • Belanda 18,803 kes; 1,867 kematian (9.9%)
  • Malaysia 3,793 kes; 62 kematian (1.63%)

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri