Kenapa kerajaan begitu lembab dan lambat mengumumkan pakej komprehensif bagi menyelamatkan PKS ketika krisis pandemik Covid-19, berbanding negara-negara lain seperti United Kingdom, Jerman, Perancis, Denmark, Australia dan Singapura?
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam satu kenyataan semalam menggesa Putrajaya supaya menjadikan kepentingan untuk memelihara kebajikan pekerja sebagai salah satu daripada syarat wajib untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan bantuan daripada kerajaan.
Kenyataan itu turut membangkitkan persoalan; mengapa kerajaan begitu lembab dan lambat untuk mengumumkan pakej komprehensif bagi menyelamatkan PKS yang terkesan dari segi ekonomi ekoran pandemik Covid-19, berbanding negara-negara lain seperti United Kingdom, Jerman, Perancis, Denmark, Australia dan Singapura?
Dalam keadaan ekonomi mengalami kelembapan ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP), kegagalan kerajaan untuk bertindak pantas dalam menangani masalah ekonomi dan perubatan akan dilihat sebagai suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta cuai.
Di Amerika Syarikat, tindakan tidak bertanggungjawab serta cuai dalam menangani Covid-19 seperti ini dipertanggungjawab terhadap Presidennya, Donald Trump, di mana beliau dikatakan akan berdepan prosiding pendakwaan (impeachment).
Di United Kingdom, kerajaannya telah mengumumkan tiga pakej rangsangan ekonomi sejak 11 Mac lalu, antaranya:
- 11 Mac; pakej rangsangan khas Covid-19 berjumlah £30 bilion; termasuk bantuan kebajikan dan sokongan perniagaan, perubahan bayaran cuti sakit dan bantuan tempatan; termasuk £7 bilion untuk perniagaan dan keluarga serta £5 bilion untuk National Health Service (NHS);
- 17 Mac, langkah-langkah termasuk menyuntik dana berjumlah £330 bilion – bersamaan dengan 15% KDNK UK – dalam bentuk jaminan pinjaman perniagaan dan £20 bilion untuk sokongan perniagaan serta pemberian dana untuk membantu firma yang mengalami masalah aliran tunai sepanjang tempoh krisis ini, termasuk perniagaan runcit dan perhotelan;
- Pada 20 Mac, menyuntik sejumlah £78 bilion untuk pelbagai program termasuk mengeluarkan geran kepada syarikat-syarikat bagi menampung sehingga 80% gaji pekerja dengan syarat syarikat tidak membuang pekerja (sehingga £2,500 sebulan setiap seorang); dan meningkatkan kredit cukai bersih untuk individu yang dibuang kerja iaitu sebanyak £1,000 setahun, bagi membantu lebih daripada empat juta isi rumah yang terjejas di seluruh negara, dalam satu pakej bernilai £7 bilion.
Ahli Parlimen DAP yang juga mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming telah menyenaraikan sepuluh contoh PKS di Malaysia yang amat memerlukan bantuan daripada kerajaan.
Saya justeru menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak berlengah lagi dan segera mengumumkan pakej penyelamatan ekonomi terutamanya untuk PKS.
Perdana Menteri juga perlu menggunakan peluang daripada pakej baharu ini untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib golongan yang paling terjejas teruk akibat arahan PKP, termasuk mereka yang kehilangan sumber rezeki kerana terbatas pergerakkannya.
Pandemik Covid-19 bukanlah semata-mata tentang krisis kesihatan – ia juga tentang krisis ekonomi, justeru pembuat dasar harus menyesuaikan pendekatan mereka setiap hari selaras dengan kesan yang dibawa pandemik ini terhadap tahap kesihatan dan ekonomi di negara kita.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Sabtu lalu, berkata pakej bantuan untuk PKS sedang dalam penelitian pihak kerajaan.
Tengku Zafrul dan pembuat dasar dalam kerajaan seharusnya menggunakan pakai semangat “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” bagi menangani masalah ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Inilah sebabnya mengapa Malaysia harus mengambil iktibar daripada amalan terbaik dari negara-negara lain, baik dari segi ekonomi mahupun kesihatan, dalam melawan dan membendung pandemik Covid-19, supaya Malaysia terhindar daripada mimpi ngeri yang dialami negara-negara lain.
Kita tidak mahu jadi seperti Itali, Sepanyol, Perancis, apatah lagi United Kingdom dan Amerika Syarikat di mana pandemik Covid-19 masih bermaharajalela dan semakin memuncak.
Di Sepanyol, rakyatnya mampu menarik nafas lega kerana negara itu mencatatkan angka kematian terendah iaitu sebanyak 674 dalam tempoh sembilan hari.
Di Itali pula, negara itu mencatatkan angka kematian terendah iaitu seramai 525 orang pada Ahad lalu.
Itali, Sepanyol dan Perancis mungkin telah meratakan lengkungan pandemik Covid-19, bagaimanapun ini semua bergantung kepada situasi pada dua atau tiga hari akan datang.
Namun berlainan pula di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Pandemik Covid-19 masih menggila dan kes jangkitan meningkat dengan mendadak di kedua-dua negara terbabit.
Perdana Menteri United Kingdom, Boris Johnson turut dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan, selepas 10 hari disahkan positif Covid-19. Sementara di negara jirannya, Ketua Pakar Bedah Amerika Syarikat, Jerome Adam memberi amaran bahawa minggu hadapan akan berlaku apa yang digambarkannya sebagai detik “Pearl Harbour” — “Detik paling sukar bagi kebanyakan rakyat Amerika”.
2,403 rakyat Amerika telah terkorban dalam serangan Pearl Harbour. Sehingga kini, virus Covid-19 telah meragut empat kali ganda nyawa rakyat Amerika Syarikat berbanding jumlah korban perang tersebut – dengan jumlah kematian dicatatkan sebanyak 9,557, mengalami peningkatan sebanyak 1,106 sejak 24 jam yang lalu.
Malaysia harus bertindak pantas dan melakukan “apa sahaja” bagi memenangi perang terhadap Covid-19 dan seterusnya memenangani peperangan dalam memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk, namun kita harus mengikuti segala perkembangan pandemik Covid-19 di seluruh dunia kerana ekonomi global juga turut ikut terjejas.
Senario global menunjukkan kes Covid-19 sudah mencapai 1,272,737 kes sementara angka kematian sudah mencapai 69,491.
Data 12 negara yang mencatatkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia (termasuk jumlah serta peratus kematian) dan Malaysia adalah seperti berikut:
- Amerika Syarikat: 334,232 kes; 9,557 kematian (2.86%)
- Sepanyol: 131,646 kes; 12,641 kematian (9.6%)
- Itali: 128,948 kes; 15,887 kematian (12.3%)
- Jerman: 100,123 kes; 1,584 kematian (1.58%)
- Perancis: 92,839 kes; 8,078 kematian (8.7%)
- China: 81,669 kes; 3,329 kematian (4.07%)
- Iran: 58,226 kes; 3,603 kematian (6.2%)
- UK: 47,806 kes; 4,934 kematian (10.3%)
- Turki: 27,069 kes; 574 kematian (2.1%)
- Switzerland: 21,100 kes; 715 kematian (3.4%)
- Belgium: 19,691 kes; 1,447 kematian (7.35%)
- Belanda: 17,851 kes; 1,766 kematian (9.9%)
- Malaysia: 3,662 kes; 61 kematian (1.66%)
Kerajaan harus belajar daripada kejayaan Korea Selatan dalam memerangi Covid-19.
Seperti yang ditegaskan Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha, adalah penting untuk kerajaan mendapatkan kepercayaan rakyat dan bersikap telus dengan orang awam.
Seperti yang dijelaskan Kang:
“Kunci kejayaan kami adalah bersikap telus dengan orang awam – berkongsi secara terperinci bagaimana virus ini berkembang, bagaimana ia tersebar dan apa yang kerajaan lakukan untuk menanganinya.”
Muhyiddin perlu menjelaskan mengapa kerajaan masih berlengah untuk mengadakan persidangan khas Parlimen, meskipun menerusi saluran maya, bagi membahaskan mengenai pandemik Covid-19.