Sokongan kepada cadangan Ketua Pengarah Penjara supaya pesalah PKP tidak dipenjarakan kerana wabak Covid-19 -- dan supaya para banduan diberikan pelepasan awal untuk mengurangkan kesesakan di penjara dan mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam penjara

Peningkatan kes positif Covid-19 pada kadar lebih daripada 100,000 dalam tempoh 24 jam yang lepas merupakan satu peringatan bahawa ekonomi negara tidak boleh berkembang dalam era pasca-Covid-19 jika negara lain juga tidak berkembang.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 kini berada di paras 1,200,372, meningkat daripada 1,091,215 kes semalam.

Amerika Syarikat mendahului dalam penularan wabak ini, dengan dua rekod baharu setakat semalam; peningkatan lebih daripada 30,000 kes sehari (32,125 kes) yang membawa jumlah keseluruhan di negara tersebut kepada 310,266 kes dan merekodkan lebih daripada seribu kematian (1,037 kematian) yang membawa kepada 8,441 kematian sejak permulaan penularan wabak ini.

Amerika Syarikat berada di tempat ketiga di peringkat global dari segi jumlah kematian, ia kini berada di belakang Itali dan Sepanyol yang masing-masing mempunyai 15,362 dan 11,947 kematian. Jumlah kematian daripada tiga negara ini sahaja mencapai paras 35,750 kematian -- hampir sebelas kali ganda kematian yang dilaporkan di negara China.

Berikut adalah data untuk 12 negara dengan kes Covid-19 tertinggi (yang juga merupakan 12 negara dengan kematian tertinggi) dan Malaysia:

  • AS 310,284 kes; 8,452 kematian (2.7%)
  • Sepanyol 126,168 kes; 11,947 kematian (9.47%)
  • Itali 124,632 kes; 15,362 kematian (12.3%)
  • Jerman 96,092 kes; 1,444 kematian (1.5%)
  • Perancis 89,953 kes; 7,560 kematian (8.4%)
  • China 81,639 kes; 3,326 kematian (4.07%)
  • Iran 55,743 kes; 3,452 kematian (6.2%)
  • UK 41,903 kes; 4,313 kematian (10.3%)
  • Turki 23,934 kes; 501 kematian (2.09%)
  • Switzerland 20,505 kes; 666 kematian (3.25%)
  • Belgium 18,431 kes; 1,283 kematian (6.96%)
  • Belanda 16,627 kes; 1,651 kematian (9.9%)
  • Malaysia 3,483 kes; 57 kematian (1.64%)

Covid-19 memberikan dunia satu gambaran yang suram, tetapi kita perlu melakukan apa sahaja yang boleh dilakukan untuk belajar daripada amalan terbaik dari negara-negara lain untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 ini dan juga memenangi perjuangan mengharungi ekonomi yang dilanda bencana wabak.

Saya menyokong cadangan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Penjara Zulkifli Omar supaya pihak mahkamah berhenti memenjarakan mereka yang ingkar dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana wabak Covid-19 ini jugalah yang telah menyebabkan PKP dikuat kuasakan.

Pihak mahkamah perlu bertindak tegas terhadap mereka yang ingkar dengan PKP tetapi dalam pada masa yang sama patut menggunakan hukuman yang tidak berbentuk pemenjaraan kerana pemenjaraan pesalah ini akan membantutkan tujuan asal PKP iaitu untuk memutuskan rantaian jangkitan dan mendatarkan lengkungan penyebaran virus ini.

Selain itu, perbuatan memenjarakan mereka membawa risiko penularan wabak Covid-19 ini ke dalam penjara, terutamanya memandangkan sistem penjara dalam negara kita sekarang ini terlalu sesak, dengan hampir 73,000 banduan ditempatkan di dalam penjara yang hanya mempunyai ruang untuk 52,000 banduan di sekitar 50 kompleks penjara di seluruh negara.

Dalam situasi penjara yang sesak sebegini, pembatasan sosial adalah mustahil untuk diamalkan.

Oleh sebab itu, hukuman kepada hampir 400 orang pesalah yang ingkar dengan PKP ini harus diubah kepada hukuman yang tidak berbentuk pemenjaraan.

Perkara ini juga penting untuk melindungi para petugas di Jabatan Penjara, yang tidak diberikan alat pelindungan diri (PPE) dan terdedah kepada risiko dijangkiti wabak ini.

Malah, saya percaya kerajaan harus bergerak selangkah ke hadapan.

Banyak negara di seluruh dunia telah melepaskan banduan mereka yang ditempatkan di penjara yang sesak memandangkan kepayahan untuk mengamalkan pembatasan sosial di tempat sebegini, dengan keadaan kebersihan yang tidak memuaskan dan kekurangan sumber dalam usaha penjagaan kesihatan, yang semuanya meletakkan risiko yang amat tinggi kepada para banduan ini.

Pada hari Jumaat, seramai 22,158 banduan di Indonesia yang telah menjalani lebih daripada dua pertiga daripada hukuman penjara mereka telah dibebaskan untuk mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 di dalam sistem penjara yang sesak di negara tersebut.

Kerajaan Indonesia dijangkakan akan membebaskan hampir 30,000 banduan tetapi mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah, keganasan, dan kesalahan berkaitan dadah akan dikecualikan.

Di India minggu lepas, Mahkamah Tertinggi telah meminta kerajaan untuk mempertimbangkan pemberian pembebasan bersyarat kepada mereka yang berhadapan dengan hukuman penjara kurang daripada tujuh tahun sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kesesakan di dalam sistem penjara mereka.

Di United Kingdom pula, kerajaan mereka telah mengumumkan yang para banduan berisiko rendah yang berada di penghujung hukuman penjara mereka akan dipertimbangkan untuk diberikan pembebasan awal, untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 di dalam penjara yang boleh melumpuhkan hospital setempat.

Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan yang sama untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 memandangkan keadaan sesak penjara-penjara di Malaysia, dengan membenarkan pelepasan awal banduan, terutamanya di kalangan banduan warga emas, banduan yang dijadualkan untuk dibebaskan dalam tempoh beberapa bulan lagi, banduan yang dipenjarakan atas kesalahan kecil dan kesalahan-kesalahan yang tidak melibatkan keganasan, individu yang mempunyai keadaan kesihatan yang memberikan risiko tinggi kepada mereka, dan banduan yang telah melakukan jenayah yang tidak membawa sebarang bahaya kepada orang lain.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri