Jemaah Menteri perlu berhenti bersikap acuh tak acuh dan tidak endah, sekali gus mengguna pakai moto “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” bagi menangani wabak Covid-19
Lebih seminggu yang lalu, saya telah mencadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengguna pakai cogan kata atau moto “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” bagi menangani pandemik Covid-19.
Atas semangat “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” bagi mengatasi cabaran-cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini pada waktu yang luar biasa ekoran wabak Covid-19, saya telah mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk membuat siaran langsung setiap hari bagi memaklumkan kepada rakyat berhubung perkembangan usaha melawan Covid-19 selain menyarankan Kabinet untuk bermesyuarat setiap hari sehingga peperangan melawan Covid-19 dimenangi.
Oleh itu, saya terkejut apabila membaca laporan berita oleh Bernama yang memetik kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz sebagai berkata bahawa Kementerian Kewangan sedang dalam fasa memperhalusi sebuah pakej rangsangan khas bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meringankan kesukaran yang dialami oleh industri tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa perkara itu akan dibawa ke peringkat Kabinet pada minggu hadapan.
Sikap acuh tak acuh dan tidak endah yang ditunjukkan Menteri Kabinet dalam hal ini sangat bertentangan dengan semangat “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” bagi menangani cabaran yang terjadi ekoran pandemik Covid-19 -- mereka bertindak seolah-olah negara tidak berdepan sebarang krisis!
Sejak Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion pada 27 Mac lalu, pengusaha PKS yang terjejas ekoran krisis wabak ini mengharapkan dan ternanti-nanti bilakah kerajaan akan mengumumkan pakej ekonomi bagi membantu mereka.
Mengapa Menteri Kabinet tidak boleh bermesyuarat hari ini atau esok bagi meluluskan pakej rangsangan ekonomi untuk PKS tersebut?
Saya justeru menggesa semua Menteri Kabinet agar tidak bersikap acuh tak acuh dan tidak endah, sekali gus sedar bahawa situasi luar biasa dan genting seperti ini memerlukan penyelesaian yang luar biasa. Mereka harus mengguna pakai moto “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja” untuk menangani sebarang cabaran yang timbul ekoran pandemik Covid-19.
Kehidupan majoriti rakyat biasa berubah sama sekali ekoran pandemik Covid-19. Mengapa Menteri Kabinet bertindak seolah-olah tidak endah dan acuh tak acuh sebegitu sekali?
Situasi cemas masih menyelubungi persoalan tentang sama ada Malaysia mampu mengharungi gelombang kedua pandemik Covid-19, yang mana tidak akan terjadi sekiranya setiap daripada kita mengguna pakai moto “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja”.
Sekalipun kita mampu mengharungi gelombang kedua pandemik Covid-19, kita perlulah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kemunculan semula wabak tersebut.
Saya berasa amat bimbang apabila mendengar pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan Dr. Noor Hisham Abdullah pada Khamis lalu, bahawa terdapat peningkatan kes positif Covid-19 sebanyak 208 kes dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 3,116 kes, dan terdapat tiga lagi kematian membawa jumlah kematian kini kepada 50.
Ini merupakan kali ketiga jumlah kes baharu melebihi angka 200, dengan kadar kematian mencapai tahap tertinggi iaitu 1.6%.
Data Covid-19 di Malaysia untuk 24 jam yang lepas yang telah diumumkan semalam -- dengan pertambahan kes positif Covid-19 iaitu sebanyak 217 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 3,333 kes dengan satu kematian -- masih lagi tinggi meskipun kadar kematian telah berkurang sedikit kepada 1.59%.
Di seluruh dunia, pandemik Covid-19 masih terus mencanak -- angka kes di seluruh dunia mencapai angka 1,096,593 dengan 58,645 kematian, dengan UK dan Amerika Syarikat menjadi pusat terbaharu pandemik dunia. Semalam sahaja, Amerika Syarikat mencipta rekod peningkatan kes positif Covid-19 sebanyak 32,352 kes dalam tempoh sehari -- menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 272,760 kes.
Itali pula merekodkan 119,827 kes positif Covid-19 dengan 14,682 kematian. Bagaimanapun, terdapat kajian yang mengatakan jumlah sebenar rakyat Itali yang dijangkiti Covid-19 mungkin sudah mencapai hampir 5 juta orang dengan jumlah kematian dianggarkan sekitar 60,000.
Sehubungan itu, tidak ada sebab lagi untuk Menteri Kabinet tidak bertindak serius dalam menghadapi wabak ini. Mereka juga harus segera mengguna pakai sikap “Bertindak Pantas dan Lakukan Apa Sahaja”, sekali gus membuang sikap acuh tak acuh dalam berdepan Covid-19.