Seruan kepada Kerajaan untuk meningkatkan jumlah ujian Covid-19 di Malaysia dengan menyediakan ujian besar-besaran secara percuma dan meluas kepada semua rakyat Malaysia sebagai sebahagian daripada strategi pasca-PKP untuk melonjakkan semula ekonomi negara

Malaysia perlu mempelajari amalan terbaik daripada negara lain seperti Korea Selatan, Singapura, dan China dalam usaha memerangi wabak Covid-19 untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini yang sedang melanda negara-negara seperti Itali, Sepanyol, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat daripada berlaku di negara kita.

Terdapat banyak perjuangan yang perlu dimenangi dalam usaha melawan wabak ini. Pertama sekali, peperangan maklumat -- untuk memastikan rakyat Malaysia memahami mengapa perlunya ekonomi dan kehidupan negara dihentikan sementara untuk mengekang penyebaran wabak ini dengan memutuskan rantaian penyebaran.

Penting untuk disedari yang Nepal menguat kuasakan perintah berkurung pada 24 Mac, apabila mereka merekodkan kes kedua Covid-19 mereka. Sebelas hari kemudian, setakat 3 April, Nepal mempunyai enam kes dengan kosong kematian.

Situasinya berbeza di beberapa negara lain, walaupun dengan pelbagai bentuk perintah berkurung, kes-kes Covid-19 naik dengan mendadak bermula 24 Mac -- Itali (dengan 63,927 kes dan 6,077 kematian pada 24 Mac, kepada 119,827 kes dan 14,681 kematian setakat ini), Sepanyol (35,136 kes dan 2,311 kematian pada 24 Mac, kepada 117,710 kes dan 11,009 kematian setakat ini), Perancis (19,856 kes dan 860 kematian pada 24 Mac, kepada 64,338 kes dan 6,507 kematian, United Kingdom (6,650 kes dan 335 kematian pada 24 Mac, kepada 38,168 kes dengan 3,605 kematian), dan Amerika Syarikat (42,187 kes dengan 554 kematian kepada 272,760 kes dan 6,991 kematian setakat ini).

Semalam, Singapura mengumumkan perintah kawalan pergerakan apabila kes Covid-19 di negara tersebut meningkat daripada 1,049 kes kepada 1,114 kes dan daripada 4 kematian kepada 5 kematian dalam tempoh 24 jam.

Perang melawan Covid-19 adalah satu siri beberapa peperangan, baik di peringkat dalam negara mahupun global.

Pertama, kita mesti memenangi peperangan maklumat, bukan sahaja untuk menewaskan kebanjiran berita palsu mengenai Covid-19, tetapi yang lebih penting lagi, untuk memastikan rakyat Malaysia memahami bahawa wabak ini bukanlah wabak yang biasa tetapi satu ancaman besar terhadap kesihatan, kehidupan, dan sistem kesihatan awam negara dan pada dalam masa yang sama, memberikan ancaman terhadap kelangsungan ekonomi negara kita.

Kedua, kita perlu memenangi peperangan perang kesihatan awam melawan Covid-19 untuk membendung penyebaran virus ini. Sehingga vaksin berjaya dicipta, yang mungkin akan mengambil masa selama 12 sehingga 18 bulan, pembatasan sosial melalui perintah berkurung adalah satu-satunya untuk memutuskan rantaian jangkitan dan mendatarkan lengkungan taburan jangkitan.

Kita perlu meningkatkan keupayaan fasiliti ujian Covid-19 untuk mengenal pasti mereka yang mempunyai simptom, menjejaki semua orang yang mempunyai kontak dengannya, dan mengasingkan mereka sehingga mereka tidak lagi mempunyai risiko penyebaran, di samping pada masa yang sama meningkatkan jumlah alat bantuan pernafasan dan katil hospital.

Korea Selatan adalah antara negara yang paling agresif dari segi menguji dan menyaring penyebaran wabak ini. Negara tersebut memberikan keutamaan kepada saringan dan pengasingan individu yang disahkan positif dan membangunkan kapasiti untuk hampir 15,000 ujian sehari. Setakat ini Korea Selatan telah menjalankan lebih daripada 300,000 ujian, tanpa sebarang bayaran dikenakan, termasuklah melalui ujian saringan pandu-lalu yang kini sedang ditiru di negara lain.

Keupayaan ujian saringan di Malaysia kini telah ditingkatkan kepada 11,500 ujian sehari dan kita sedang berusaha untuk membolehkan sehingga 16,500 ujian sehari. Pada permulaan penularan wabak ini, keupayaan ujian saringan harian kita hanyalah 3,500 ujian sehari.

Sebagai sebahagian daripada strategi “melakukan apa sahaja” untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19 ini, kerajaan haruslah meningkatkan keupayaan ujian saringan harian dalam negara untuk melakukan ujian saringan besar-besaran secara percuma dengan meluas kepada semua rakyat Malaysia supaya ujian besar-besaran ini menjadi sebahagian daripada strategi pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita untuk menghidupkan semula ekonomi negara.

Perang ketiga yang kita perlu hadapi adalah untuk mengharungi ekonomi wabak pasca-PKP.

Di Jerman, ekonomi wabak Covid-19 telah menyebabkan hampir setengah juta syarikat di negara tersebut meletakkan pekerja mereka di bawah skim pekerjaan pendek tempoh -- yang dikenali sebagai “Kurzarbeit” -- untuk mengurangkan kos penggajian mereka.

Skim pekerjaan pendek tempoh ini berfungsi dengan baik bagi mengurangkan pemberhentian besar-besaran semasa krisis kewangan 2008. Di bawah skim ini, waktu bekerja dikurangkan secara drastik tetapi para pekerja masih secara rasminya dikira sebagai bekerja dengan hampir dua pertiga daripada gaji mereka dibiaya oleh kerajaan.

Para pekerja akan terus mendapat hampir dua pertiga daripada pendapatan mereka sekalipun jika mereka tidak bekerja, dan syarikat yang menggajikan mereka dapat menjimatkan kos penggajian disaat kesukaran ekonomi.

Kerajaan Jerman mengjangkakan sehingga 2.35 juta rakyat mereka akan memohon “Kurzarbeitergeld” dalam wabak Covid-19 ini, yang mungkin akan memerlukan lebih daripada 10 bilion Euro daripada Pejabat Buruh Persekutuan Jerman.

Dalam sistem ekonomi wabak di United Kingdom pula, kerajaan mereka akan menanggung sehingga 80% kos penggajian pekerja sehingga ke had 2500 pound sebulan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mempertimbangkan dasar-dasar yang baik seperti ini sebagai sebahagian daripada bahagian kedua pakej penyelamatan ekonomi beliau, yang perlu memberikan keutamaan kepada penyelamatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak diberikan perhatian dalam pakej penyelamatan pertama beliau.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri