Muhyiddin tidak boleh berlengah dalam mengumumkan satu pakej penyelamatan ekonomi untuk PKS memandangkan keutamaan harus diberikan kepada usaha melonjakkan ekonomi negara selepas kemenangan melawan wabak Covid-19

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh berlengah lagi dan perlu mengumumkan satu pakej penyelamatan ekonomi untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana memandangkan mereka kini menghadapi kesukaran dengan aliran tunai dan menjangkakan gangguan aliran tunai untuk sekurang-kurangnya tiga bulan yang akan datang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakej penyelamatan ekonomi untuk PKS adalah teramat penting sekarang kerana kerajaan harus memberikan keutamaan kepada keberterusan dan keselamatan pekerjaan -- yang merupakan punca pendapatan utama sebahagian besar rakyat Malaysia -- dan juga dalam menghadapi cabaran besar untuk melonjakkan semula ekonomi negara pasca-PKP.

Keberterusan perniagaan adalah penting untuk daya tahan ekonomi dan kelestarian pekerjaan, sebab inilah kerajaan perlu memastikan perniagaan yang merupakan enjin kepada ekonomi negara boleh mengharungi wabak Covid-19 ini dengan selamat.

Muhyiddin tidak boleh berlengah dalam mengumumkan satu pakej penyelamatan ekonomi untuk PKS memandangkan keutamaan harus diberikan kepada usaha melonjakkan ekonomi negara selepas kemenangan melawan wabak Covid-19

Seluruh dunia sedang memerangi wabak ini dan cabaran yang dihadapi kita bukan sahaja untuk memenangi peperangan melawan Covid-19 tetapi untuk melonjakkan semula ekonomi negara selepas penularan wabak ini.

Saya berkongsi optimisme yang ditunjukkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mengatakan data yang dikutip oleh pihak Kementerian Kesihatan menunjukkan tanda-tanda awal yang mungkin PKP ini berjaya mengurangkan penularan Covid-19 dengan memutuskan rantaian penyebaran.

Seperti yang saya katakan semalam: “Selain daripada 23 dan 26 Mac di mana jumlah kes disahkan merekodkan peningkatan harian 212 dan 235 kes, kebanyakan jumlah peningkatan harian kekal berada di bawah paras 200 kes sehari.

“Kita juga mempunyai kadar penyembuhan yang agak baik, dengan 58 lagi pesakit Covid-19 dibenarkan pulang dari hospital dalam 24 jam yang lepas, membawa jumlah pemulihan kepada 537.

“Satu kematian yang boleh dielakkan sekalipun adalah terlalu tinggi adalah tinggi untuk kita, namun penting untuk kita sedar yang kita berjaya mengekalkan kadar kematian akibat ini di paras yang rendah, walaupun ia telah meningkat sedikit ke paras 1.55%; 43 kematian daripada sejumlah 2,766 kes positif.

“Kita perlu berusaha untuk mengekalkan kadar kematian akibat Covid-19 di bawah satu peratus, yang akan melihatkan kadar kematian keseluruhan kekal di bawah 100 kematian.”

Jika tidak ada sebarang peningkatan mendadak dalam jumlah harian kes positif baharu dan pendataran dalam jumlah peningkatan kes harian boleh dikekalkan pada tahap sedia ada, situasi terburuk Covid-19 mungkin telah berlalu untuk kita.

Dalam situasi ini, Malaysia akhirnya berjaya mengelakkan mimpi ngeri Covid-19 yang berlaku di tempat lain, terutamanya seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.

Namun begitu, kita masih perlu memasuki fasa kemenangan dalam menentang wabak ini, memandangkan suatu hari kelak, jumlah kes positif global mungkin akan mencecah melepasi paras sejuta kes.

Data global terkini mengenai jumlah kes positif, kematian, dan kadar peratusan kematian daripada jumlah kes positif untuk 12 negara tertinggi dan Malaysia adalah seperti berikut:

  • Global: 934,464 kes; 47,175 kematian (5%)
  • AS: 214,482 kes, 5,093 kematian (2.4%)
  • Itali: 110,574 kes, 13,155 kematian (11.9%)
  • Sepanyol: 104,118 kes, 9,387 kematian (9%)
  • China: 81,554 kes, 3,312 kematian (4%)
  • Jerman 77,981 kes, 931 kematian (1.2%)
  • Perancis: 56,989 kes, 4,032 kematian (7.1%)
  • Iran: 47,593 kes, 3,036 kematian (6.4%)
  • UK: 29,474 kes, 2,352 kematian (7.97%)
  • Switzerland 17,768 kes; 488 kematian (2.75%)
  • Turki 15,679 kes, 277 kematian (1.77%)
  • Belgium 13,964 kes, 828 kematian (5.9%)
  • Belanda: 13.614 kes, 1,173 kematian (8.6)
  • Malaysia 2,908 kes, 45 kematian (1.55%)

Sumber: https://www.worldometers.info/coronavirus/

Sejumlah 27,635 kematian akibat Covid-19 di tiga negara teratas, Amerika Syarikat, Itali, dan Sepanyol adalah lebih daripada lapan kali lebih tinggi daripada 3,312 kematian di China.

Dengan Presiden Amerika Donald Trump -- yang baru sahaja sebulan lepas mengatakan “virus ini sangat terkawal” -- yang kini mengatakan hampir 200,000 rakyat Amerika mungkin akan terkorban akibat Covid-19 dan pihak berkuasa di UK yang menjangkakan 10,000 hingga 20,000 korban nyawa, situasi terburuk Covid-19 di peringkat global masih belum tiba.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri