Tiga perkara yang berlaku pada saya semasa penahanan pertama saya di bawah ISA di Muar di antara tahun 1969 hingga tahun 1970
Tiga perkara yang telah berlaku sepanjang 17 bulan saya ditahan buat kali pertama di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Pusat Tahanan Muar dalam tahun 1969-1970.
Pertamanya, saya memulakan pengajian ijazah sarjana muda perundangan dengan program luaran University of London dan kemudiannya saya terbang ke London sebanyak tiga kali dengan penerbangan termurah yang ada pada masa tersebut (Aeroflot), untuk majlis makan malam di Lincoln’s Inn bagi mendapatkan kelayakan untuk dipanggil ke bar di London. Tetapi saya memutuskan untuk tidak menjadi seorang peguam.
Kedua, saya belajar untuk membaca dan menulis dalam jawi dengan sendiri.
Tetapi, perkara ketigalah yang mengubah hidup saya, berkenaan dengan integriti dan kesetiaan kepada prinsip -- kata-kata seorang patriot-penyair-ahli politik China Wen Tianxiang yang berbunyi:
“Siapakah yang dapat mengelakkan kematiannya sejak permulaan zaman?
“Biarlah hati saya cekal murni untuk kekal bersinar dalam sejarah.”
Biarpun hujan ataupun panas, kita mesti bersedia untuk berdiri megah dengan cabaran Wen Tianxiang, untuk “berhati cekal supaya kekal bersinar dalam sejarah”.
Seperti yang saya katakan sebentar tadi dalam majlis pelancaran Cawangan DAP di Kampung Baru Bentong, yang dahulunya saya buka, 45 tahun yang lepas pada tahun 1974, lawatan ke Bentong dan Karak hari ini adalah satu lawatan mengimbau kenangan.
Saya melihat dan berjumpa veteran seperti Lip Tuck Chee, yang memimpin kemasukan DAP ke negeri Pahang dengan memenangi PRK Raub 36 tahun yang lalu pada bulan Jun 1983, dan rakyat Malaysia yang telah menyumbang “darah, keringat, dan air mata” kepada pembangunan negara dan dedikasi mereka kepada prinsip serta perjuangan DAP kearah membentuk sebuah negara Malaysia yang demokratik, adil, dan bersatu padu.
Saya amat terharu apabila seorang gadis muda yang telah menyampaikan saya sejambak bunga semasa pelancaran Cawangan DAP Karak 20 tahun lalu hadir hari ini, menghulurkan pen kepada saya untuk upacara perasmian pelancaran Pusat Khidmat DAP Cawangan Karak.
Saya masih ingat, terutamanya PRK Bentong pada tahun 1989, yang saya sertai serta-merta selepas dibebaskan daripada tahanan ISA kali kedua saya di bawah Operasi Lalang pada 19 April 1989. PRK Bentong yang dijalankan pada 13 Mei 1989 merupakan satu perlawanan lima penjuru. Calon DAP Lip Tuck Chee mendapat 31% undian dengan 8,895 undian berbanding dengan 17,401 undian yang terima oleh calon MCA, Lim Ah Lek.
Bentong, yang ditandingi DAP pertama kalinya pada tahun 1974, kelihatan mustahil untuk dimenangi selama empat dekad. Seorang bekas Menteri Besar Pahang pernah bercakap dengan bongkaknya “ anda potong telinga saya dan saya terjun ke dalam sungai Pahang” jika DAP boleh menang di Bentong.
Tetapi, perjuangan “darah, keringat, dan air mata” ahli dan penyokong DAP akhirnya membuahkan hasil, di mana kita telah menang di dalam Pilihan Raya Umum ke-14, dengan Sdr Wong Tack menjadi ahli parlimen DAP yang pertama untuk kawasan Bentong.
Jauh sudah perjalanan perjuangan politik DAP selama 53 tahun yang lepas, daripada kemenangan pertama di Pahang dengan kerusi DUN Raub pada PRK Raub 1983, kepada kerusi parlimen pertama pada tahun 2013 dengan kawasan Raub.
Setakat hari ini, DAP mempunyai dua ahli parlimen dan tujuh ahli dewan undangan negeri daripada Pahang iaitu, Tengku Zulpuri Syah bin Raja Puji (Ahli Parlimen Raub dan Timbalan Menteri Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli), Wong Tack (Ahli Parlimen Bentong), Chow Yu Hui (ADUN Tras), Young Syefura binti Othman (ADUN Ketari), Chiong Yoke Kong (ADUN Tanah Rata), Lee Chin Chen (ADUN Bilut), Kamache A/P Doray Rajoo (ADUN Sabai), Woo Chee Wan (ADUN Mentakab), dan Leong Yu Man (ADUN Triang).
Kita telah membuat perubahan yang kritikal dan penting dalam PRU14 pada 9 Mei tahun lepas terhadap arah masa depan negara, daripada trajektori ke arah sebuah negara yang gagal dan kleptokratik ke arah yang baharu, menetapkan semula polisi pembinaan negara untuk membina sebuah Malaysia yang baharu yang berteraskan perpaduan, kecemerlangan, keadilan, kebebasan, dan integriti.
Tetapi, kita tidak dapat menjamin kejayaan dalam mencapai cita-cita Malaysia Baharu ini, kerana tugas ini akan mengambil masa yang bergenerasi lamanya dan perjuangan ini boleh dirampas pada bila-bila masa dan diubah hala tujunya.
Tidak mungkin cita-cita Malaysia Baharu akan dapat dicapai menjelang 2023 dalam satu kitaran pilihan raya.
Saya mesti menekankan kepentingan untuk kita menyedari yang misi Malaysia Baharu ini boleh disekat, dipesong, atau disabotaj sebelum kita mencapainya. Misalnya, jika Pakatan Harapan kalah dalam PRU ke-15, tamatlah misi ini dan cita-cita Malaysia sebagai negara bertaraf dunia.
Apa yang kita sedang cuba untuk capai bukanlah satu “revolusi”, di mana kita kepala mereka yang berada di dalam regim lama dipenggal dan satu pentadbiran baharu ditubuhkan daripada kalangan ahli revolusi.
Ini bukan cara demokrasi, yang mana terdapat satu garis pembahagi di antara pimpinan politik dan pentadbiran kerajaan yang memerlukan kerajaan baharu untuk berkerjasama dengan pentadbiran terdahulu untuk melaksanakan reformasi dan perubahan dalam negara.
Untuk memberikan analogi yang lain, bayangkan kita sedang cuba mendaki sebuah gunung Malaysia Baharu, tak kiralah Gunung Kinabalu ataupun Everest sekalipun, yang merupakan puncak gunung yang tertinggi di dunia. Dan kita berhasrat untuk mencapai puncak gunung Malaysia Baharu ini dan pada masa yang sama terdapat penyokong klepto-teokrasi yang cuba untuk menggulingkan kita semua ke dalam gaung kegagalan dan kleptokrasi.
Perjalanan politik yang menanti kita adalah satu perjuangan yang mencabar, tetapi kita mestilah mempunyai stamina, kecekalan, komitmen dan keyakinan yang kita sekarang berada di haluan yang tepat untuk mencapai cita-cita Malaysia Baharu di mana kita berjaya sebagai sebuah negara yang terunggul di mata dunia berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti, selari dengan prinsip dan matlamat politik kita.