Kaukus Reformasi Institusi dan Tadbir Urus Parlimen patut menjadi perintis pemikiran baharu isu-isu penting negara -- bagaimana untuk memastikan langkah tindakan afirmatif berasaskan kepada keperluan dan bukan berasaskan kaum; untuk menjadikan Malaysia negara berintegriti terulung dan menjadi contoh kejayaan Perikatan Peradaban kepada dunia

Saya ucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana menganjurkan seminar ini dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Kaukus Reformasi Institusi dan Tadbir Urus Parlimen. Penubuhan kaukus ini merupakan salah satu elemen terpenting dalam proses reformasi parlimen sejak kerajaan Pakatan Harapan dibentuk selepas Pilihan Raya ke-14 yang bersejarah. Selain daripada pembentukan kaukus ini, enam jawatankuasa khas parlimen juga telah ditubuhkan bagi memberikan lebih banyak ruang kepada backbenchers di Parlimen untuk memastikan kerajaan tindakan kerajaan disemak oleh Parlimen.

Kewujudan struktur dan proses akauntabiliti baharu ini tidak mungkin berlaku di bawah pentadbiran yang lepas di mana parlimen dilihat sebagai sebuah cop (“rubber stamp”) yang digunakan oleh kerajaan untuk memaksa kelulusan keputusan secara tidak demokratik seperti yang dapat kita lihat dalam pembentangan Rang Undang-undang Akta Berita Tidak Benar yang bertujuan untuk menutup keburukan berkenaan skandal 1MDB.

Acara hari ini adalah contoh yang kuat di mana Ahli Parlimen, melalui kaukus ini yang terdiri daripada semua parti yang diwakili di Parlimen, dapat memberikan input mengenai isu-isu penting polisi untuk dipertimbangkan secara serius oleh pihak eksekutif.

Isu yang dibincangkan hari ini -- pemahaman kita mengenai bagaimana kemiskinan didefiniskan dan ditangani melalui polisi kerajaan -- telah diperkatakan dalam berita di kebelakangan ini setelah satu laporan dikeluarkan oleh Pelapor Khas PBB berkenaan Kemiskinan Ekstrem dan Hak Asasi Manusia Profesor Philip Alston, pada 23 Ogos 2019 yang menyatakan Malaysia mengurangkira (“undercounts”) jumlah rakyat miskinnya.

Ramai individu telah menyeru supaya pihak kerajaan memandang serius laporan ini, termasuklah Pengerusi Kaukus ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Akademik, penyelidik, dan pertubuhan sivil. Pelbagai sebab-sebab yang kukuh untuk mempertimbangkan laporan ini secara serius telah dibangkitkan.

Saya tidak berhasrat untuk mengulang semula semua sebab-sebab yang dibangkitkan ini. Tetapi saya ingin menyatakan yang di dalam era di mana berita palsu dan penipuan disebarkan secara meluas kini, sebarang penambahbaikan dalam ukuran kemiskinan, yang akan membawa kita kepada peningkatan jumlah rakyat yang akan dikira sebagai miskin, pasti akan “dipusing” oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab. Jika, sebagai contoh, jumlah isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan dikirakan sebagai 19% daripada kesemua isi rumah melalui ukuran baru kemiskinan multi-dimensi, saya pasti pihak pembangkang dan tentera siber mereka akan menuduh yang jumlah isi rumah miskin telah meningkat secara drastik di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Dan sudah tentu sekali DAP, yang selama ini menjadi momokan tentera siber ini akan dituduh menjadi punca “kenaikan” ini.

Walaupun kerisauan ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas, kita tidak boleh takut untuk memberikan gambaran masyarakat Malaysia yang tepat hanya kerana fakta ini boleh dimanipulasi dan disalah tafsir oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggung jawab. Saya percaya yang kebenaran akan sentiasa menang terutamanya jika penerangan diberikan kepada pihak awam, bukan sahaja daripada kerajaan, tetapi juga daripada pakar-pakar dalam bidang ini, termasuklah daripada sesetengah penyelidik dan ahli akademik yang hadir hari ini di dalam seminar ini.

Satu contoh baik penerangan ini adalah pendedahan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengenai jumlah tanggung jawab hutang negara yang telah melebihi nilai RM1 trilion di bawah pentadbiran yang lalu kerana liabiliti dan komitmen luar jangka yang tersembunyi. Terdapat sesetengah pihak yang mengkritik tindakan mendedahkan angka ini. Tetapi setelah menerangkan secara telus kepada rakyat dan pihak-pihak lain yang berkepentingan, termasuklah agensi penarafan bon, Malaysia berjaya mengekalkan taraf kreditnya.

Hampir lima sudah berlalu sejak kita sebagai sebuah negara menerima pakai Dasar Ekonomi Baharu (DEB). DEB mempunyai dua tujuan utama dan satunya adalah pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum sebagai wadah perpaduan negara. Rancangan Malaysia yang mendatang telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk program dan projek untuk mencapai matlamat ini. Angka rasmi pentadbiran sebelum ini menyatakan hanya ada 0.4 peratus isi rumah, yang berjumlah lebih kurang 27,000 isi rumah berada di bawah paras kemiskinan kebangsaan. Anggaran ini telah dipersoalkan secara serius sebagai cubaan untuk mengurang-kira jumlah isi rumah miskin dan telah terdapat pelbagai seruan supaya anggaran ini dikaji semula. Anggaran 0.4 peratus ini adalah delusional dan tidak boleh dijadikan asas untuk perancangan dan pengagihan sumber negara. Metodologi sedia ada perlulah digantikan setaraf dengan amalan terbaik antarabangsa. Tindakan segera diperlukan dan saya berhasrat untuk memberikan cadangan seperti berikut:

  1. Tubuhkan satu Kumpulan Pakar Teknikal untuk mengira semula garis pendapatan kemiskinan (GPK) yang mengguna pakai amalan terbaik antarabangsa untuk mendapatkan anggaran yang lebih berkredibiliti. Langkah ini banyak digunakan di negara maju apabila berhadapan dengan isu ukuran statistik yang penting dan sensitif. Masanya sudah tiba untuk Malaysia maju ke hadapan dengan mengguna pakai kaedah yang lebih telus dan meninggalkan kaedah lama yang hanya bertujuan untuk memberikan anggaran yang membuatkan kita berasa selesa.
  2. Mengarahkan EPU dan Jabatan Statistik untuk menerbitkan data terpecah (selepas memadamkan maklumat peribadi individu) daripada Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah yang terbaru bagi membolehkan ahli akademik membuat kaji selidik bebas. Penerbitan ini adalah sebahagian daripada komitmen terhadap keterbukaan dan ketelusan data yang konsisten dengan Manifesto PH.
  3. Mempertimbangkan satu kaji selidik yang meluas untuk mengkaji punca kegagalan polisi-polisi yang dilaksanakan sebelum ini dalam mencapai matlamat DEB. Termasuklah mengkaji punca kebocoran polisi sebelum ini. Kaji selidik ini juga patut diberikan tugas untuk memberikan cadangan penambahbaikan program jaringan keselamatan untuk membantu golongan miskin. Satu lagi isu yang sesuai diberikan perhatian adalah bagaimana untuk mengubah “gaji minima” kepada “gaji kehidupan”.

Jurang pendapatan - Walaupun kadar kemiskinan telah menjadi topik perbincangan awam, satu lagi isu yang berkait rapat, jurang pendapatan, tidak menerima perhatian yang sewajarnya. Anggaran koefisien Gini negara kita telah menunjukkan terdapat pengagihan pendapatan yang tidak adil. Sesetengah kajian telah menunjukkan pembesaran jurang pendapatan di antara yang kaya dan miskin, terdapat juga sesetengah kajian yang menunjukkan sebaliknya.

Satu kajian yang baru diterbitkan oleh Muhammed Abdul Khalid (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Li Yang (Paris School of Economics) yang bertajuk INCOME INEQUALITY AND ETHNIC CLEAVAGES IN MALAYSIA EVIDENCE FROM DISTRIBUTIONAL NATIONAL ACCOUNTS (1984-2014) mengisi ruang yang penting dalam pengetahuan kita. Kajian ini mendedahkan beberapa mitos mengenai corak pengagihan pendapatan.

Penulis kajian ini telah menggabungkan maklumat yang diperoleh daripada akaun nasional, kaji selidik isi rumah, data fiskal, dan statistik demografi. Kajian ini dilihat sebagai cubaan pertama untuk mendapatkan ukuran ketidaksamaan pendapatan yang konsisten dengan akaun nasional. Penulis kajian ini membentangkan dapatan mereka seperti berikut:

Bagi tempoh 2002-2014, pertumbuhan pendapatan sebenar bagi kumpulan pendapatan 50% terbawah adalah yang tertinggi (5.2%), diikuti kumpulan pertengahan 40% (4.1%), kumpulan 10% teratas (2.7%), dan kumpulan 1% teratas (1.6%). Walaupun kadar pertumbuhan pendapatan purata positif di kalangan semua kumpulan etnik (Bumiputera 4.9%, India 4.8%, dan Cina 2.7%), pertumbuhan terbesar pendapatan sebenar berada di kumpulan 1% teratas Bumiputera (8.3%), yang sangat berbeza dengan pertumbuhan pendapatan kumpulan etnik India (3.4%) dan pertumbuhan negatif kumpulan etnik Cina (0.6%). Walaupun dengan kadar negatif, kumpulan etnik Cina masih merupakan kumpulan terbesar dalam kumpulan 1% teratas. Dalam tahun 2014, 60% individu dalam kumpulan 1% teratas adalah daripada kumpulan etnik Cina, sementara 33% adalah Bumiputera dan 6% daripada etnik India (berbanding dengan 2002, di mana kumpulan 1% teratas terdiri daripada 72% etnik Cina, 24% Bumiputera, dan 3% etnik India). Kami simpulkan dalam tempoh ini, pertumbuhan pendapatan Malaysia menunjukkan sifat pengagihan yang inklusif di antara kumpulan pendapatan tetapi dengan sedikit putaran di antara kumpulan etnik.

Kaukus Parlimen ini mungkin boleh menganjurkan satu seminar untuk menjemput kedua penulis kajian ini untuk memberikan pembentangan penuh kajian mereka.

Penulis kajian ini juga memberikan amaran untuk berhati-hati dengan anggaran mereka yang agak rapuh kerana kekurangan ketelusan dan keterbukaan data pendapatan dan kekayaan di Malaysia. Ini merupakan satu lagi rayuan kepada agensi kerajaan untuk bersifat lebih terbuka dan telus dalam menerbitkan data. Manifesto Pakatan Harapan telah menjanjikan reformasi dalam perkara ini.

Tiba masanya untuk EPU dan Jabatan Statistik diarahkan untuk menerbitkan data terpecah (selepas memadamkan maklumat peribadi individu) daripada Tinjauan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah yang terbaru bagi membolehkan ahli akademik membuat kajiselidik bebas. Penerbitan ini menjadi bukti komitmen kerajaan Pakatan Harapan terhadap ketelusan dan keterbukaan dalam berkongsi maklumat, selari dengan manifesto PH. Reformasi ini telahpun dijanjikan dan ia mestilah dipenuhi. Penting untuk kita ingat kembali yang penerbitan maklumat-maklumat ini adalah satu perkara yang biasa dilakukan dan selari dengan Prinsip Statistik PBB. Tidak ada mana-mana negara yang matang dari segi statistik di dalam dunia ini yang menyorokkan datanya seperti Malaysia.

Tidak ada sebab untuk kita bersifat defensif ataupun mempertahankan polisi pentadbiran yang lepas terutamanya dalam bidang di mana terdapat konsensus yang besar untuk perubahan. Keperluan untuk pengemaskinian definisi dan pemahaman topik kemiskinan adalah salah satu contoh bidang tersebut dan kita tidak patut lari daripada cabaran sebegitu. Ini termasuklah memberikan akses kepada terma-terma dan definisi teknikal dan meningkatkan pemahaman di kalangan rakyat, menambahbaik polisi sedia ada dan membentangkan polisi baharu bagi mengurangkan jumlah isi rumah -- yang telah bertambah dibawah definisi baharu ini -- yang dikategorikan sebagai miskin. Saya yakin ramai ahli akademik dan penyelidik yang hadir hari ini akan dapat membantu kita dalam hal ini.

Tambahan lagi, kita tidak boleh takut untuk menyemak rekod DEB dalam mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia di kalangan berbagai kumpulan etnik. Walaupun kita harus mengakui yang DEB telah berjaya mengangkat keluar rakyat Malaysia daripada kemiskinan, terutamanya di kalangan komuniti Bumiputera, terdapat juga kumpulan terpinggir di kalangan kita, terutamanya komuniti Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan pedalaman. Kita perlukan satu definisi kemiskinan multidimensi yang lebih meluas untuk memahami nasib komuniti terpinggir ini. Dengan pengiktirafan ini, bolehlah kita letakkan dan laksanakan polisi yang disasarkan dengan lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup komuniti ini, terutamanya untuk mengurangkan kemiskinan antara generasi.

Perbincangan mengenai isu ini haruslah diteruskan selepas seminar hari ini. Perbincangan ini haruslah melibatkan lebih banyak NGO, ahli akademik, penyelidik, dan pihak berkepentingan yang lain yang berkerja di garis hadapan dalam perjuangan membasmi kemiskinan.

Malah, saya sanggup untuk bergerak lebih jauh. Kaukus Parlimen ini mestilah mendahului dalam menyeru reformasi institusi dan tadbir urus. Perdana Menteri dalam ucapan beliau di majlis sambutan ulang tahun pertama Kerajaan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2019 telah berkata mengenai Visi Kemakmuran Bersama di mana Malaysia akan secara terus menerus dibangunkan secara mampan, selari dengan dengan pembangunan yang saksama pada setiap tahap sama ada kelas, kaum, mahupun geografi dan mewujudkan satu situasi yang harmoni dan stabil di kalangan rakyat menjelang 2030. Kaukus Parlimen ini tidak sepatutnya terhad menjadi perintis pemikiran baharu untuk isu kemiskinan sahaja tetapi juga isu-isu lain seperti:

  1. bagaimana untuk memastikan tindakan afirmatif di Malaysia berasaskan keperluan dan bukan kaum;
  2. bagaimana untuk membina perpaduan negara terutamanya dalam melawan peningkatan berita palsu dan ucapan kebencian yang cuba untuk menghasut polarisasi antara kaum dan agama;
  3. bagaimana untuk melaksanakan reformasi institusi dan tadbir urus;
  4. bagaimana untuk menjadikan Malaysia negara berintegriti yang terulung; dan
  5. bagaimana Malaysia boleh menjadi contoh kejayaan Perikatan Peradaban di mata dunia dan bukan kegagalan kerana konflik peradaban.

Sekian terima kasih.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri