Pesanan khas buat anak muda Sarawak berhubung tiga cabaran yang perlu ditempuhi mereka - menjadi perintis gerakan perubahan anak muda Malaysia bagi menyelamatkan Malaysia daripada (1) sikap tidak toleransi kaum dan agama serta ekstremisme (2) rasuah (3) untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah wadah kejayaan Perikatan Peradaban dan bukannya gagal dek kerana Konflik Peradaban
Saya ada pesanan khas buat anak muda Sarawak, khususnya buat anak muda yang berusia antara 16 hingga 25 tahun, berhubung tiga cabaran yang akan ditempuhi mereka, pada penghujung kunjungan saya ke Kapit dan Sibu.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dijangka akan dilaksanakan tahun depan atau pada tahun 2021, dan PRN ini akan menjadi pilihan raya pertama yang akan terkesan dengan pindaan perlembagaan menurunkan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun.
Presiden Indonesia, Sukarno pernah berkata: “Berikan aku 10 pemuda, maka akan kugoncang dunia”. Bolehkah anak muda Sarawak “menggoncang” Malaysia?
Benar, anak muda Sarawak, khususnya yang berusia 16 hingga 25 tahun yang layak untuk mengundi pada PRN Sarawak ke-12 nanti harus “mengoncang” Malaysia dengan menunjukkan jalan kepada seluruh anak muda di Malaysia -- sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) -- sebuah daya positif yang mampu menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus menjadi sebuah negara penyangak, kleptokratik dan gagal.
Mungkin akan timbul persoalan, bukankah Malaysia sudah diselamatkan daripada nasib sedemikian dalam PRU-14 yang penuh bersejarah dan menakjubkan pada 9 Mei tahun lalu? Mengapa perlu diselamatkan sebuah negara yang bernama Malaysia ini sekali lagi?
Benar, Malaysia sudah diselamatkan daripada menjadi negara penyangak, gagal, berpecah belah dan kleptokratik pada 9 Mei 2018, namun misi Malaysia Baharu untuk menjadi negara bertaraf dunia yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti, tidak akan tercapai dalam satu kitaran pilihan raya, sebaliknya merupakan satu perjuangan jangka panjang yang memerlukan tempoh sedekad atau lebih, lebih-lebih lagi setelah Malaysia diberikan gelaran sebagai sebuah kleptokrasi global.
Ada dari kalangan mereka yang mahu memadamkan keputusan bersejarah dan menakjubkan pada 9 Mei 2018 ini dan mengembalikan semula negara ke tangan mereka yang membentuk gabungan klepto-teokrasi, menerusi penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian yang mengapi-apikan sentimen perkauman, keagamaan, perpecahan dan konflik, dan dengan berani mengatakan secara terbuka yang mereka “rindu 13 Mei”!
Malaysia tidak mampu diselamatkan oleh usaha individu berusia 95 tahun, 78 tahun dan 72 tahun. Jika Malaysia mahu diselamatkan, kita memerlukan tenaga dan idealisme anak muda Malaysia, dengan anak muda di Sarawak menjadi perintis, menjadi daya pemacu untuk merealisasikan impian murni buat Malaysia.
Ini sebabnya mengapa saya memberikan pesanan khas kepada anak muda Sarawak untuk menjadi perintis gerakan anak muda Malaysia -- khususnya mereka yang berusia antara 16 hingga 25 tahun -- yang mempersiapkan diri untuk menghadapi tiga cabaran iaitu menjadi agen dan penggerak perubahan untuk menyelamatkan negara daripada (1) sikap tidak toleransi kaum dan agama serta ekstremisme, (2) rasuah dan (3) untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah wadah kejayaan Perikatan Peradaban dan bukannya menjadi gagal dek kerana Konflik Peradaban.
1. Daya untuk melawan sikap tidak toleransi kaum dan agama serta ekstremisme
Malaysia kini berada di dalam suasana di mana setiap etnik, masyarakat, tak kira Melayu, Cina atau India, disuap dengan perasaan ketakutan, sangsi dan kebencian, malah percaya yang mereka kini berdepan ancaman eksistensial berhubung hak, kedudukan dan masa depan mereka di negara ini. Ini berlaku akibat daripada penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian di sosial media -- sebuah platform yang menyebarkan maklumat sepantas kilat -- bagi mengapi-apikan sentimen perkauman, keagamaan, perpecahan dan konflik.
Bom jangka terhadap pembinaan negara ini harus dinyahaktifkan dengan setiap rakyat Malaysia menimba pengetahuan tentang sosial media dan menerapkan elemen pemikiran kritis dalam kehidupan seharian bagi membolehkan kita membezakan antara kaca dan permata, salah dan benar.
Saya mencabar anak muda Sarawak untuk memikul tugas ini bagi merintis gerakan anak muda Malaysia dalam memacu dan mengangkat kempen Selamatkan Malaysia daripada berita palsu dan ucapan kebencian yang menimbulkan perpecahan antara kaum dan agama serta konflik.
Sarawak adalah model masyarakat plural yang harmoni dan bertoleransi yang lebih berbanding Semenanjung Malaysia. Ini adalah pengajaran yang Sarawak harus sebarkan dan sampaikan dalam PRN Sarawak bagi mewujudkan perpaduan, persefahaman, keharmonian dan inklusiviti dalam masyarakat yang dilihat semakin berpecah belah.
2. Menjadi negara pendahulu dalam soal integriti
Kedua, anak muda Sarawak harus merintis gerakan anak muda yang memacu dan mengangkat kempen tadbir urus yang baik dan untuk Malaysia menjadikan negara pendahulu dalam soal integriti.
Hakikat bahawa bekas Perdana Menteri, Najib Razak masih membuat lawak bodoh tentang kleptokrasi global 1MDB dan berkata bahawa semua rakyat Malaysia adalah “kroninya” yang harus dipenjarakan seperti dirinya adalah amat menjijikkan dan tidak masuk akal sama sekali.
Bagaimanapun, beliau secara tidak sedar sebenarnya telah membuat pengakuan bahawa apa yang dilakukannya itu adalah salah dan tempat selayaknya untuk beliau adalah di penjara. Secara bergurau, Najib mendakwa skandal 1MDB kononnya berita palsu, tetapi beliau tidak melakukan apa-apa sewaktu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan litigasi rampasan aset berkaitan 1MDB pada Julai 2016 yang menamakan beliau sebagai “MO1” - “Malaysian Official 1”.
Jika Najib masih menjadi perdana menteri selepas 9 Mei 2018, sebarang perbincangan berkaitan skandal 1MDB akan dianggap sebagai tindakan menyebarkan “berita palsu” dan boleh dikenakan tuduhan jenayah mengikut Akta Antiberita Tidak Benar yang diluluskan kerajaan Najib sejurus sebelum pembubaran Parlimen.
Rakyat Malaysia yang patriotik sudah tentu mahu melihat Najib meringkuk di balik tirai besi secepat yang mungkin, namun kerajaan Pakatan Harapan tetap komited terhadap usaha mengembalikan kedaulatan undang-undang dan harus menerima bahawa sesuatu perbicaraan jenayah itu mengambil masa yang panjang dan prosesnya berjalan perlahan.
Najib dan juak-juaknya sudah tentu akan menganggap kedudukan Malaysia yang rendah dalam Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International (TI) sebagai “berita palsu”.
Misi untuk malaysia menjadi negara pendahulu dalam soal integriti baharu sahaja bermula, dan anak muda Sarawak harus merintis gerakan anak muda Malaysia dalam kempen jangka panjang bagi memastikan tadbir urus baik dan integriti.
3. Wadah kepada dunia sebagai Perikatan Perdaban yang berjaya dan bukannya menjadi gagal dek kerana Konflik Peradaban
Malaysia adalah tempat pertemuan empat tamadun hebat di dunia -- Melayu/Islam, Cina, India dan Barat,
Marilah sama-sama kita memanfaatkan nilai terbaik dan pengajaran daripada tamadun-tamadun hebat ini untuk membina tamadun Malaysia yang inklusif dan menyeluruh, daripada terus berfikiran sempit, regresif dan eksklusif!
Anak muda di Sarawak dan Malaysia harus berusaha menjadikan negara ini berjaya atas dasar Perikatan Peradaban dan tidak membiarkan negara ini gagal dek kerana Konflik Peradaban.
Semoga anak muda Sarawak dapat merintis gerakan anak muda Malaysia yang mampu memacu dan mengangkat kempen ini untuk memastikan Malaysia mampu menjadi wadah kepada dunia atas kejayaan Perikatan Peradaban dan bukannya gagal dek kerana Konflik Peradaban.