Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) PAS-UMNO bukan tentang orang Melayu atau Islam, sebaliknya tentang menyelamatkan UMNO daripada dilupakan dan untuk mengelakkan pemimpin UMNO daripada meringkuk di dalam penjara dan memberikan PAS peluang untuk merasa menjadi Abang Besar dalam gabungan PAS-UMNO dan untuk Presiden PAS mencuba nasib untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia

Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) PAS-UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra UMNO Sabtu lalu, bukanlah tentang Melayu, Islam atau Raja-raja Melayu tetapi untuk menyelamatkan UMNO daripada dilupakan, malah untuk mengelakkan pemimpin UMNO daripada meringkuk di dalam penjara sepanjang hayat mereka dek kerana amalan rasuah dan salah guna kuasa semasa mereka berada di dalam kerajaan, dan memberikan peluang untuk PAS merasa jadi “Abang Besar” dalam gabungan PAS-UMNO dan menjadi penyelamat kepada UMNO yang kleptokratik -- inilah sebab mengapa ia digelar sebagai klepto-teokrasi -- dan untuk memberikan peluang yang julung-julung kalinya buat Presiden PAS untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia setelah dinafikan peluang berkenaan semasa berada di dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Untuk mencapai objektif-objektif berkenaan, gabungan PAS-UMNO perlu mencipta suasana yang dipenuhi rasa ketakutan, cemas dan kebencian yang tidak berasas dan diada-adakan di kalangan orang Melayu dan Islam, yang merupakan majoriti pengundi di Semenanjung Malaysia, dan untuk pertama kalinya setelah merdeka, kaum Melayu dan agama Islam kononnya berdepan krisis eksistensial, menepikan tiga fakta asas berikut:

Pertama, siapa yang berada di dalam kerajaan sejak enam dekad yang lalu dan bagaimana mungkin untuk kerajaan Pakatan Harapan memperbetulkan masalah yang diciptakan UMNO dalam tempoh masa satu, dua atau lima tahun sedangkan hegemoni UMNO dalam kerajaan telah bersarang selama enam dekad lamanya, yang agenda sebenarnya bukan untuk mengangkat taraf kehidupan bumiputera tetapi sebaliknya untuk mewujudkan UMNO-putra yang hari ini telah menciptakan kleptokrat global Malaysia pertama yang menjadi watak penting dalam skandal rasuah membabitkan 1MDB. Pakatan Harapan tidak akan menghapuskan apa yang baik untuk negara, tetapi akan melaksanakan pembaharuan terhadap apa yang buruk dan menjejaskan negara;

Kedua, fitnah terbesar bahawa DAP kononnya anti-Melayu, anti-Islam dan anti- Raja-raja Melayu, sedangkan DAP telah berulang kali menegaskan, di dalam Parlimen dan di dalam dokumen dasar sejak lima dekad lalu, dan di dalam pengumuman dasar asas gabungan politik DAP, sama ada Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan terbaharu Pakatan Harapan, menegaskan dan menegaskan semula sokongan dan komitmen DAP terhadap perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya berhubung bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam sebagai agama rasmi dan sistem raja berpelembagaan di Malaysia.

Ketiga, realiti demografi di Malaysia yang memberi jaminan bahawa orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik, tak kira apa jua yang akan berlaku terhadap UMNO atau PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada tahun 1957, semasa kemerdekaan Tanah Melayu, jumlah penduduk mengikut peratusan adalah 53% Melayu, 35% Cina, 11% India dan 1% Lain-lain.

Pada tahun 1970, jumlah peratusan penduduk adalah seperti berikut; 44.32% Melayu, 34.34% Cina, 8.99% India, 11.89% Bumiputera bukan Melayu, dan 0.67% Lain-lain.

Pada tahun 2010, peratusan penduduk Melayu di Malaysia bertambah kepada 55.07%, Cina berkurangan kepada 24.34%, India berkurangan kepada 7.35%, Bumiputera bukan Melayu kekal 11.94% dan 1.3% Lain-lain.

Pada tahun 2040, dijangkakan peratusan penduduk Bumiputera akan meningkat kepada 72.1%, jumlah peratusan penduduk Cina akan turun kepada 20% dan India turun 6.4% sementara Lain-lain 1.5%.

Tidak terhalang oleh usaha pemomokkan berterusan terhadap DAP dengan tuduhan anti-Melayu dan anti-Islam, kami tetap tabah dan meneruskan perjuangan politik kami untuk berkhidmat demi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, malah kami hari ini mempunyai mempunyai wakil daripada setiap kaum; Melayu, Cina, India, Kadazan dan Dayak sama ada di dalam kerajaan Persekutuan atau negeri, tidak seperti parti-parti politik yang lain.

Ada yang mengatakan bahawa dalam politik, kombinasi 1+1 tidak akan menjadikan ia 2, ia mungkin akan menghasilkan pertambahan kepada 3 atau pengurangan kepada 1.

Pemimpin PAS-UMNO berharap bahawa gabungan mereka yang dimeterai Sabtu lalu akan menghasilkan nilai 3, tetapi ia mungkin akan hanya menghasilkan nilai 1 jika Pakatan Harapan berjaya membersihkan segala kekotoran hasil peninggalan selama enam dekad dan mula menunaikan janji Buku Harapan dalam tiga tahun terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Baru-baru ini, bekas pemimpin dan menteri UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata Datuk Seri Najib Razak hanya menunaikan 21 daripada 60 janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 - atau kadar peratusan pencapaian berjumlah 35%.

Saya yakin Pakatan Harapan mampu mencipta kadar peratusan pencapaian yang lebih tinggi dalam manifesto Malaysia Baharu semasa PRU15 diadakan pada tahun 2023, namun kerajaan Pakatan Harapan harus komited untuk memenuhi janji pilihan raya yang lain meskipun ia mengambil masa lebih daripada satu kitaran pilihan raya.

Semboyan perang persepsi telah ditiup dan gabungan PAS-UMNO melancarkan kempen berita palsu dan ucapan kebencian secara berterusan semata-mata untuk mewujudkan suasana cemas, ketakutan dan kebencian di kalangan orang Melayu dan Islam bahawa kononnya hak dan kepentingan mereka sedang diserang oleh kerajaan Pakatan Harapan yang dikuasai DAP di Putrajaya dan kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadi boneka kepada DAP.

Teramatlah ironi dan tidak munasabah, ketika DAP diserang oleh gabungan PAS-UMNO dengan tuduhan mahu menghapuskan hak orang Melayu dan Islam, DAP dalam masa sama diserang oleh MCA, Gerakan, MIC dan SUPP kononnya menjual hak dan kepentingan orang bukan Melayu, khususnya Cina, kepada “tuan Melayu” dan tunduk kepada kehendak Mahathir.

Tidak ada seorang pun pemimpin pembangkang berhenti sejenak untuk memikirkan semula betapa kontradik dan mengarutnya kedua-dua serangan berkenaan.

Ini terjadi kerana tidak seorang pun daripada mereka sebenar-benarnya mempunyai niat yang murni terhadap masa depan orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban atau prihatin terhadap budaya dan agama di negara ini, sebaliknya mereka hanya memikirkan tentang kelangsungan hidup mereka, ingin meredakan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan akan dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan bercita-cita mahu kembali berkuasa dengan menunggang dan memanipulasi isu-isu 3R!

Ahli strategi gabungan PAS-UMNO akan berjaya sekiranya mereka boleh menanamkan dalam minda orang Melayu dan Islam bahawa DAP anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-raja Melayu dan mahu menghapuskan mereka dari muka bumi ini.

Semua ini adalah fitnah dan dongeng besar belaka yang diciptakan PAS-UMNO, kerana sudah terbukti bahawa DAP adalah lebih berwajah Malaysia daripada pemimpin UMNO dan PAS.

Kita tidak harus membenarkan politik ketakutan terus merebak, di mana menerusi penipuan, pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian, mereka menyebabkan setiap masyarakat menjadi tidak rasional dan takut malah benci terhadap masyarakat lain - yang mana akan memusnahkan Malaysia dan menyebabkan Malaysia berpecah belah, gagal, malah menjadi negara penyangak dan kleptokratik sekaligus semakin menjauh daripada matlamat untuk menjadi negara bertaraf dunia berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.

Semoga Malaysia menjadi sebuah contoh di mata dunia dengan kejayaan Perikatan Ketamadunan dan bukannya menjadi gagal menerusi Konflik Peradaban.

Justeru itu penting untuk setiap rakyat Malaysia mempersiapkan diri dengan ilmu sosial media dengan menerapkan elemen pemikiran kritis bagi membolehkan mereka mengenal pasti berita palsu dan ucapan kebencian, dan membezakan antara kaca dan permata, salah dan benar.

Atas dasar ini, DAP akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mempromosikan literasi sosial media dan melawan berita palsu serta ucapan kebencian, yang mana akan diketuai oleh Ahli Majlis Petaling Jaya dan Ketua DAPSY Subang, Farhan Haziq Mohamad.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri