HPU PAS-UMNO dan pengumuman piagamnya Sabtu lepas telah menyebabkan peningkatan berita palsu dan ucapan kebencian yang memanipulasi isu-isu kaum dan agama untuk memecah belahkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini

Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) PAS-UMNO dan piagam yang ditandatangani mereka pada Sabtu lalu telah menyebabkan peningkatan berita palsu dan ucapan kebencian yang memanipulasi isu kaum dan agama sejak lima hari lalu, yang dilakukan semata-mata untuk mewujudkan perpecahan antara kaum dan agama di negara ini.

Pertama, Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri, Datuk Ismail Sabri menyebarkan berita palsu bahawa Jakim dan proses pengeluaran sijil halal telah diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, ia direka pemimpin UMNO itu semata-mata untuk menimbulkan ketakutan dan kebencian dalam kalangan orang Islam bahawa kononnya orang bukan Islam kini telah mengambil alih proses pensijilan halal.

Kemudian, pada Hari Malaysia Isnin lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menyebarkan berita palsu dalam majlis sambutan Hari Malaysia di Bintulu bahawa DAP kononnya mahu orang Cina mengawal Sarawak dan segala hasil kekayaannya, malah menyebarkan berita palsu kononnya DAP adalah “pemimpin terbesar” dalam kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya yang mahu “mahu mengumpul kekayaan untuk orang Cina sahaja, bukan untuk semua”!

Ketiga, sejak HPU PAS-UMNO dan piagam mereka, terdapat peningkatan berita palsu dan ucapan kebencian di media sosial yang menggunakan unsur 3R untuk memberi gambaran palsu bahawa DAP kononnya anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja.

Keempat, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man semalam menyerang DAP dengan menuduh DAP kononnya ingin membawa “agenda Kristianiti”, dengan memetik ucapan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan dan MP DAP Bukit Mertajam, Steven Sim, dalam forum “New Malaysia Narrative” bertajuk “Anak Malaysia? Our Story of Past, Present and Future Malaysia” di Mega Chinese Methodist Church dekat Kota Damansara.

Saya terkejut dengan tuduhan Tuan Ibrahim semasa kali pertama saya membacanya di media, tetapi Steven Sim telah tampil menjelaskan bahawa beliau berucap di hadapan penganut Kristian di dalam sebuah gereja dan mereka membincangkan mengenai tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, beliau membangkitkan dalam ucapannya tentang nilai-nilai yang dikutip daripada kitab Injil sebagai panduan untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang baik, sebagai contoh, keadilan, ketelusan membantu orang lemah dan miskin; dan menolak rasuah, penindasan dan rasisme.

Beliau tidak menyentuh atau mengkritik agama lain, sebaliknya menggesa rakyat Malaysia beragama Kristian untuk menjadi warganegara yang baik yang mengamalkan nilai-nilai seumpama itu.

Bolehkah Tuan Ibrahim tunjukkan di mana salahnya dalam ucapan Steven Sim di sebuah forum yang dianjurkan di sebuah gereja, yang menasihati penganut Kristian agar menjadi warganegara yang baik?

Adakah Tuan Ibrahim ingin mencadangkan supaya semua ahli politik harus dilarang daripada berucap di rumah-rumah ibadat, tak kira masjid, gereja, atau kuil, bermula dengan pemimpin-pemimpin PAS?

Saya bersetuju dengan Steven Sim bahawa Tuan Ibrahim harus menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan harus berhenti menyebarkan kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tuan Ibrahim perlu membaca kenyataan oleh Herman Shastri, Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) yang menegur Naib Presiden PAS itu agar tidak memberi gambaran bahawa forum berkenaan digunakan untuk tujuan propaganda politik, dan berhenti mengatakan bahawa gereja mempromosikannya.

Saya memuji Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman kerana mempertahankan timbalannya daripada berita palsu dan ucapan kebencian yang ditimbulkan Tuan Ibrahim, malah menggesa agar politik kebencian dihentikan dan menyeru agar “bersama kita bina lebih banyak jambatan sebagai sebuah negara yang bersatu”

Untuk pengetahuan Tuan Ibrahim, dan pemimpin PAS dan UMNO yang berfikiran seperti beliau, DAP tidak mempenyuai sebarang agenda Kristianiti dan mereka harus berhenti membuat tuduhan tidak berasas dan melulu terhadap DAP. Saya seorang yang beragama Buddha bukan seorang Kristian.

Pun begitu, saya menjangkakan lebih banyak berita palsu dan ucapan kebencian akan tersebar di hari-hari, minggu-minggu malam bulan-bulan mendatang. Berita palsu dan ucapan kebencian ini ditimbulkan di media sosial untuk membangkitkan ketakutan dan kebencian bagi memecah belahkan perpaduan antara kaum dan agama di negara dan inilah yang diharapkan HPU PAS-UMNO selepas mereka menandatangi piagam bersama yang sebenarnya hanyalah satu Piagam Berita Palsu dan Ucapan Kebencian.

Pemimpin PAS membuat cubaan lemah untuk menafikan bahawa gabungan antara mereka dan UMNO adalah gabungan klepto-teokrasi. Mengapa nafikan sedangkan PAS tidak mengutuk kleptokrat global, Datuk Seri Najib Razak dan skandal mega 1MDB, malah meletakkan Najib dalam tempat yang begitu terhormat dalam HPU PAS-UMNO.

DAP sebelum ini membentuk gabungan dengan PAS dan menubuhkan Pakatan Rakyat bersama-sama PKR, namun gabungan itu mempunyai agenda yang jelas berdasarkan prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam Kenyataan Bersama pemimpin-pemimpin DAP, PKR dan PAS pada 12 April 2018 seperti berikut:

“Dasar Pakatan Rakyat tertumpu terhadap objektif yang telah dipersejui dan diterima oleh pemimpin ketiga-tiga parti iaitu KeADILan, DAP dan PAS. Antaranya adalah untuk membangunkan negara ini berdasarkan keadilan, mencipta peluang kepada semua rakyat untuk menikmati kemakmuran negara dan memberikan keutamaan kepada mereka yang miskin dan terpinggir.”

Namun, semasa Hadi sebagai Presiden PAS memutuskan untuk melaksanakan Hudud tanpa persetujuan daripada parti komponen lain iaitu DAP, ia menandakan kematian kepada kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

DAP tidak akan menyokong HPU PAS-UMNO, sepertimana MCA dan MIC, kerana mereka telah mengkhianati Piagam mereka sendiri - dengan melanggar Perlembagaan Persekutuan apabila pemimpin PAS tidak mahu menerima bukan orang Melayu sebagai Perdana Menteri Malaysia, seperti dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Saya telah katakan sebelum ini, saya tidak meramalkan bahawa akan ada Perdana Menteri Malaysia dari kalangan bukan Melayu sepanjang hayat saya, tetapi kepimpinan PAS menolak terus sebarang kemungkinan untuk perkara itu berlaku di Malaysia seperti mana berlaku di Amerika Syarikat apabila rakyat negara itu memilih seorang kulit hitam, Obama, untuk menerajui Rumah Putih, meskipun ia akan mengambil masa 100 tahun!

Pun begitu, pemimpin PAS boleh pula menerima seorang kleptokrat sebagai seorang Perdana Menteri, sekaligus membuktikan kerjasama PAS-UMNO ini adalah gabungan klepto-teokrasi dan Piagam Muafakat Nasional itu tidak lebih sekadar Piagam untuk pemimpin PAS dan UMNO menunggang berita palsu dan ucapan kebencian bagi memecah belahkan hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Teramatlah ironi, apabila pemimpin PAS bercakap tentang kebangkitan “Zaman Emas” Islam menerusi HPU PAS-UMNO dan Piagam mereka, sedangkan tidak ada suatu pun sejarah ketamadunan manusia yang mampu membina “Zaman Emas” berdasarkan kleptokrasi, berita palsu dan ucapan kebencian!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri