Jangan batalkan pendaftaran UMNO -- biarlah ia musnah dengan sendiri!
Saya bersetuju dengan Ahli Parlimen DAP Kepong Lim Lip Eng yang mana kerajaan tidak sepatutnya membatalkan pendaftaran UMNO kerana kesalahan para pemimpinnya. Namun begitu, politik kotor parti tersebut haruslah dibendung.
Saya percaya bahawa kerajaan Pakatan Harapan harus mengambil kedudukan yang lebih tinggi dan berikan ruang dan masa untuk UMNO memperbetulkan salahlakunya.
Sepanjang lima tahun di antara 2013 sehingga 2018, DAP pernah menghadapi situasi yang sama di mana Kabinet Najib mempertimbangkan pembubaran secara haram parti ini berdasarkan pelbagai tuduhan yang dibuat-buat.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013 yang lalu, rejim Najib hanya berubah fikiran pada saat terakhir daripada keputusan untuk mengharamkan penggunaan simbol roket DAP pada PRU tersebut.
Sebelum PRU14, rejim Najib merasakan sangat yakin dengan kebolehan mereka untuk memenangi sehingga ⅔ kerusi Parlimen sehingga mereka memutuskan untuk tidak menggantung pendaftaran DAP -- yang berasaskan tuduhan kononnya pilihan raya dalaman parti pada Disember 2012 dilaksanakan dengan cara yang tidak demokratik dan melanggar undang-undang -- dan sebaliknya memilih untuk mengharamkan Parti Bersatu yang baru ditubuhkan.
Ugutan penggantungan pendaftaran selama lima tahun tersebut merupakan satu penyalahgunaan kuasa yang sangat jelas sekali dan tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, urus tadbir yang baik dan kedaulatan undang-undang.
Tidak ada negara dalam dunia ini di mana Pendaftar Pertubuhannya memaklumkan sebuah parti politik bahawa pilihan raya parti peringkat kebangsaannya yang dijalankan lebih daripada empat tahun yang lepas itu tidak sah lalu memaksa parti tersebut untuk mengadakan satu pilihan raya parti yang baru.
Terdapat juga cadangan daripada mereka yang rapat dengan Najib yang mencadangkan supaya saya bersara daripada politik bagi menghentikan segala malapetaka ini.
Saya percaya bahawa dendam tidak mempunyai tempat dalam politik dan saya berharap ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak perlu menghadapi seksaan “hukuman mati” yang dihadapi oleh ahli-ahli dan pemimpin DAP selama lima tahun sebelum PRU14.
Di dalam sebuah demokrasi, biarlah pengundi yang memilih sama ada mereka berhasrat untuk menghumban sesebuah parti politik itu ke dalam tong sampah.
Kerana inilah saya bersetuju dengan Lim Lip Eng -- jangan batalkan pendaftaran UMNO tapi biarlah ia musnah dengan sendirinya memandangkan UMNO kini berada dalam peringkat lanjut proses memusnahkan dirinya apabila ia melancarkan kempen klepto-teokrasi bersama dengan PAS.
UMNO telah hilang kegemilangannya, di mana ia dilihat sebagai juara golongan Bumiputera, kini UMNO telah hilang arah tujuannya apabila ia mengabaikan perjuangan untuk menaikkan taraf hidup orang Melayu dan memilih untuk hanya mengkayakan kroni UMNOPutera dan menjadikan Malaysia sebuah negara model kleptokrasi global.
Inilah sebabnya kenapa Presiden UMNO sedang menghadapi 87 tuduhan rasuah dan digelar sebagai Raja Tuduhan Rasuah, dan bekas Presiden UMNO sendiri menghadapi 42 tuduhan rasuah, dengan Setiausaha Agung parti tersebut juga bakal menghadapi perbicaraan rasuahnya yang tersendiri -- bersama dengan ramai lagi pimpinan UMNO yang menghadapi tuduhan masing-masing.
Dengan segala pertuduhan ini, mereka melancarkan kempen “MALU APA BOSSKU” tanpa sekelumit rasa malu sekalipun!
Semasa saya sedang menunggu penerbangan saya di Lapangan Terbang Subang pada hari Ahad, saya terserempak dengan seorang pemimpin UMNO yang bersetuju dengan saya mengenai semua isu rasuah tersebut tetapi beliau tidak bersetuju dengan saya mengenai perkara lain.
Saya berfikir sejenak mengenai komen beliau memandangkan beliau merupakan seorang Menteri di dalam Kabinet Pertama Najib di antara tahun 2009 sehingga 2013.
Walaupun beliau boleh untuk mengaku tidak mengetahui mengenai skandal 1MDB memandangkan skandal tersebut hanya muncul secara besar-besaran mulai tahun 2015, UMNO tidak ada melakukan apa-apa langsung sepanjang 18 bulan yang sudah berlalu sejak PRU14 untuk mengutuk dan menjauhkan dirinya daripada skandal 1MDB dan memohon maaf kepada negara kerana menjatuhkan maruah negara kepada sebuah kleptokrasi global.
Jika beliau terpilih untuk menyertai Kabinet kedua Najib, adakah beliau akan menjadi seperti Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang baru-baru ini menyatakan kepada mahkamah yang beliau telah menyembunyikan kebenaran mengenai skandal 1MDB semasa peletakan jawatan Menteri beliau pada bulan Jun 2016 demi menjaga reputasi Perdana Menteri semasa itu, atau adakah beliau akan menjadi seperti Muhyiddin Yassin yang dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri beliau pada bulan Julai 2015 kerana menolak untuk mengikut arahan Najib mengenai skandal 1MDB?
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telah menimbulkan beberapa persoalan mengenai soal kewangan UMNO, selepas UMNO dilaporkan menjual saham-sahamnya di dalam syarikat media dan UMNO kini kembali kaya sehingga dilaporkan oleh sesetengah media sebagai mempunyai lebih daripada RM2 bilion.
Adakah perkara ini berkait dengan kenaikan kadar aktiviti media sosial dalam dua bulan yang lepas yang cuba untuk mewujudkan satu persepsi di mana Malaysia kini menghadapi satu krisis dalam pembinaan negara dengan hubungan antara kaum dan agama yang semakin tegang, sehingga wujudnya satu kempen untuk memboikot produk bukan bumiputera.
Di sebalik latar belakang perbicaraan bekas Perdana Menteri negara, kita dapat lihat kerja-kerja jutaan wang ringgit yang dibelanjakan untuk menguasai ruang media sosial.
Tanpa sebarang ragu-ragu lagi, ini adalah satu perkara yang berkepentingan awam, terutamanya dengan pemimpin UMNO yang dahulunya pemimpin kerajaan secara terang-terangan melawan titah nasihat diraja mengenai berita palsu dan hasutan jahat dan cubaan merosakkan perpaduan negara.
Malah, seorang bekas Mentri Besar juga telah mempersoalkan dakwaan ketegangan antara kaum di dalam negara, dengan mengatakan yang situasi di peringkat akar umbi sedang aman harmoni, tanpa berlakunya situasi di mana “orang Melayu menindas orang Cina dan sebaliknya”.
Mungkin beliau tidak memahami apa yang saya cuba sampaikan apabila saya katakan Malaysia dalam “dunia sebenar” kelihatan amat berbeza dengan Malaysia dalam “media sosial” yang digambarkan sebagai berada di dalam polarisasi yang terburuk yang pernah dilihat dalam sejarah negara.
Jika dilihat di Malaysia “media sosial”, negara ini kelihatan seakan-akan menunggu masa sahaja sebelum menjunam ke dalam kancah keganasan antara kaum dan agama yang dijana oleh bergunung berita palsu dan hasutan jahat yang disebarkan sepanjang dua bulan yang lepas untuk menghasut syak wasangka, kebencian dan ketakutan.
Saya telah katakan berkali-kali yang ini adalah satu gambaran yang tidak benar mengenai Malaysia, turun ke peringkat akar umbi dan kita dapat lihat yang rakyat Malaysia hidup dalam aman damai dan harmoni tanpa sebarang syak wasangka, kebencian, mahupun ketakutan antara satu kaum dengan yang lain.
Jadi siapakah yang mencipta gambaran palsu Malaysia “media sosial” ini?
Mereka adalah orang yang sama berkaitan dengan kempen untuk memboikot produk bukan bumiputera.
Saya nasihatkan kepada bekas Mentri Besar tersebut, yang kini menghampiri dekad ketujuh untuk menyedari yang rakyat Malaysia tidaklah terlalu naif untuk mempercayai penafiannya, dan beliau bersama-sama dengan sekutunya di dalam UMNO dan PAS sepatutnya cuba untuk memahami dan bermuhasabah diri dengan apa yang telah dititahkan oleh baginda Yang di Pertuan Agong, Sultan Perak, dan Sultan Selangor baru-baru ini mengenai isu perpaduan negara, berita palsu, dan hasutan jahat.
Sultan Perak Sultan Nazrin Syah bertitah baru-baru ini bahawa selepas 62 tahun mencapai kemerdekaan, perbuatan untuk menghasut kebencian di antara kaum dan agama masih berlaku dengan kerap.
Baginda berkata, pelbagai provokasi yang bersifat ekstrem telah dibuat, termasuklah melalui penyebaran fitnah melalui media sosial dan penghinaan Islam dan agama-agama lain di dalam negara ini, baginda memberikan amaran bahawa perbuatan seperti ini adalah seperti memasang suatu bom yang hanya menunggu masa untuk meletup.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah memperingatkan rakyat Malaysia untuk tidak mudah mempercayai berita palsu dan fitnah yang disebarkan di media sosial yang boleh merosakkan keamanan dan keselamatan negara.
Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah bertitah bahawa Islam menggalakkan keamanan dan hubungan yang baik di dalam masyarakat, yang sepatutnya ditekankan di kalangan rakyat untuk memupuk perpaduan.
Baginda berharap untuk melihat negara ini mencapai satu penghijrahan kepada semangat toleransi dan kerjasama yang lebih baik di antara rakyat yang pelbagai kaum yang merupakan kekuatan negara ini.
Sudah tentu sekali, segala kempen boikot, berita palsu, dan fitnah yang belegaran di media sosial ini berlawanan dengan penghijarahan kepada semangat toleransi, kerjasama, dan perpaduan yang dikatakan oleh baginda.
Adakah bekas Mentri Besar ini mendengar titah Yang di Pertuan Agong dan Sultan Negeri Perak dan Selangor ini?