Bangkitlah rakyat Malaysia, bersatulah kita semua demi mencapai kejayaan di mana Malaysia menjadi salah satu negara terunggul di mata dunia, berteraskan keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti, dan membasmi masalah kemiskinan dan kesenjangan di dalam negara kita
Dengan empat ahli DAP, seorang Exco negeri DAP, dan seorang ADUN DAP masih dalam tahanan di bawah SOSMA atas tuduhan berkaitan dengan LTTE, ditambah pula dengan komen seorang ahli akademik yang mengatakan 17 bulan pentadbiran Pakatan Harapan yang lepas adalah satu bencana, tidak banyak perkara yang dapat diraikan sempena dengan sambutan Deepavali tahun ini.
Namun begitu, mesej sambutan Deepavali kekal relevan -- meraikan kemenangan pencerahan melawan kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, dan ilmu pengetahuan mengatasi kejahilan.
Kita tidak boleh berhenti berharap ataupun berputus asa.
Walaupun 17 bulan pentadbiran Pakatan Harapan yang lepas telah tidak mencapai tahap kepuasan yang diharapkan, ia jelas sekali bukanlah satu bencana seperti yang dikata-katakan.
Pakatan Harapan haruslah tekad dan komited dengan janji kita untuk melaksanakan reformasi seperti yang dijanjikan dalam Buku Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyemak semula manifesto PRU14 seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Kerajaan Pakatan Harapan tidak menjangkakan keadaan dan betapa mendalamnya kerosakan ekonomi dan kewangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Barisan Nasional, bukan sahaja dengan skandal kleptokrasi gergasi 1MDB, tetapi juga kerosakan dan penyalahgunaan kuasa di dalam institusi-institusi lain negara, sama ada Tabung Haji, FELDA, Felcra, mahupun MARA.
Walaupun kerosakan mendalam legasi peninggalan Kerajaan Barisan Nasional telah menghalang Pakatan Harapan daripada terus memenuhi semua janji pilihan rayanya, trajektori reformasi institusi kini berada di haluan yang tepat dan kita tidak boleh sama sekali berpatah kembali ke arah zaman kegelapan kleptokrasi, kezaliman, dan penindasan.
Sepanjang beberapa bulan yang lepas, negara kita telah menyaksikan penyebaran meluas berita palsu dan ucapan kebencian yang bertujuan untuk menghasut kebencian di antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, seakan-akan mencuba untuk menghasut supaya terjadinya satu lagi rusuhan kaum seperti insiden 13 Mei.
Tenaga dan waktu telah dibazirkan untuk mereka-reka dan menyebarkan penipuan, berita palsu, dan ucapan kebencian di media sosial.
Dalam tiga hari yang lepas, saya telah memerhatikan peningkatan dalam kadar penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian di mana banyak video-video lama, mesej Whatsapp, dan pelbagai perkara disebarkan selari dengan serangan terhadap DAP dengan naratif yang kononnya DAP adalah “komunis moden di Malaysia”.
Saya terjumpa penipuan yang mengatakan kononnya saya datang daripada Funan, China ketika saya berumur 16 tahun yang muncul di laman Facebook “Hanya di Kelate” yang berbunyi seperti berikut:
“FAKTA SEBENAR BIODATA LIM KIT SIANG..
“Lim Kit Siang yg lahir di Funan negara China datang ke Tanah Melayu dgn bapak dia ditahun 1957. Mereka dapat ehsan dari org-org Melayu di Batu Pahat Johor. Umur Lim Kit Siang masa tu 16 tahun. Mula-mula bapak Lim Kit Siang cuma ternak ayam je, tapi kemudian ternak babi pula. Lee Kuan Yew bersekolah di Batu Pahat. Lee Kuan Yew guru Lim Kit Siang didalam fahaman Komunis & Yahudi. Dharurat di Malaya bermula dari tahun 1948 & berakhir pada 1960. Selepas tentera British meninggalkan Malaya (sebelum merdeka) kominis semakin bermaharajalela selama 12 hari. Batu Pahat pada masa tu jadi pusat pengganas kominis. Rumah bapak Lim Kit Siang jadi pusat komunis & mereka banyak bunuh org-org Melayu bunuh askar-askar Melayu. Masa umur Lim Kit Kat 18 tahun ditahun 1960 dia dah pakai uniform kominis.
“Selepas PRU ditahun 1969, masa Lim Kit Siang jadi Ketua Pemuda DAP dia lah yg mula-mula cetuskan api kemarahan hasut org-org Cina halau keluar org-org Melayu lalu berlaku pergaduhan antara kaum pada 10 Mei 1969. Tarikh 13 Mei kemuncak peristiwa berdarah 1969 tu.”
Dua perenggan pertama pos Facebook ini, seperti selebihnya, penuh dengan penipuan.
Adalah penipuan untuk mengatakan saya datang ke Malaya pada tahun 1957 daripada Funan. Pertama sekali, Funan terletak di Kemboja walaupun terdapat satu daerah bernama Funan di Wilayah Anhui di Timur China.
Saya dilahirkan di Batu Pahat. Lee Kuan Yew tidak pernah bersekolah di Batu Pahat ataupun menjadi cikgu di Batu Pahat. Saya juga tidak pernah memakai uniform komunis.
Laman Facebook tersebut juga menuduh kononnya selepas perang dunia kedua, “Rumah bapak Lim Kit Siang jadi pusat komunis & mereka banyak bunuh org-org Melayu bunuh askar-askar Melayu.”
Dimanakah logiknya untuk rumah bapa saya menjadi pusat komunis selepas perang dunia kedua pada tahun 1945 apabila kami pada masa yang sama dituduh datang daripada “Funan, China” pada tahun 1957?
Tetapi, dalam satu kempen yang berasaskan penipuan, kelihatan seperti tidak ada sebarang keperluan untuk menjadi konsisten, apa yang penting adalah penipuan dan lebih banyak penipuan, lagi bagus.
Daripada membazirkan tenaga kita semua menghadapi penipuan, berita palsu, dan ucapan kebencian ini, marilah kita semua rakyat Malaysia bersatu sebagai satu masyarakat yang bersatu padu untuk menunjukkan kepada dunia komitmen dan iltizam kita untuk mengubah Malaysia kearah menjadi sebuah negara yang terunggul di mata dunia yang berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti, yang menjadi contoh kejayaan pertemuan empat peradaban Melayu-Islam, Cina, India, dan Barat dan bukan satu kegagalan konflik peradaban.
Tambahan lagi, marilah kita bersatu untuk menyelesaikan masalah besar yang dihadapi negara kita iaitu kemiskinan dan kesenjangan kritikal di Malaysia yang sepatutnya tidak lagi wujud selepas Dasar Ekonomi Baharu diwujudkan.
Ramalan Konsensus Antarabangsa yang dikumpulkan daripada lebih dari 1,000 sumber telah menyusunkan satu senarai 15 ekonomi terpesat membangun dalam tahun 2019. Lima negara telah tersenarai daripada sekitar ASEAN, empat daripada Asia dan enam daripada Afrika, malangnya Malaysia tidak tersenarai.
Rakyat Malaysia harus bersedia untuk satu permulaan baharu -- untuk menyatukan tenaga dan sumber semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, mahupun wilayah, untuk saling membantu sesama kita dalam melonjakkan Malaysia ke dalam kalangan negara terulung di dalam semua bidang yang diceburi manusia dan menewaskan rancangan mereka yang cuba untuk menarik negara ini ke arah satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei.