Gesaan supaya Naib Canselor UM menarik semula laporan polis yang dibuat pihak universiti dan berhenti menyasarkan aktivis pelajar yang melakukan protes, sebaliknya mengambil langkah untuk menanganinya

Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Abdul Rahim Hashim patut menarik semula laporan polis yang dibuat pihak universiti dan berhenti menyasarkan aktivis pelajar yang melakukan protes, sebaliknya beliau sepatutnya mengambil langkah-langkah yang bersesuaian untuk menangani isu yang berbangkit.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan hak pelajar untuk berdemonstrasi, namun berpandangan bahawa majlis konvokesyen bukanlah tempat yang sesuai untuk melakukan protes berkenaan. Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak berniat untuk masuk campur dalam hal berkenaan.

Maka, sebarang protes yang berlaku dalam majlis konvokesyen universiti atau hal yang berkaitan sepatutnya ditangani selari dengan semangat ini -- bukan dengan cara yang keras yang akan memburukkan nama baik Universiti Malaya.

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dalam kenyataannya berhubung kejadian tersebut -- di mana graduan kejuruteraan, Wong Yan Ke telah melakukan protes semasa majlis konvokesyen universiti dan “tindakan yang tidak adil” terhadap Edan Kon Hua En yang dinafikan haknya daripada menghadiri majlis konvokesyennya -- mengaitkan protes oleh aktivis pelajar tersebut dengan rasa tidak puas hati yang terpendam lama berhubung beberapa dakwaan “kesalahan dan salah tindakan” Naib Canselor Abdul Rahim Hashim.

“Protes berkenaan berkemungkinan didorong oleh perasaan tidak puas hati komuniti pelajar berikutan banyak kesalahan dan salah tindakan naib canselor UM,” kata Setiausaha PKAUM, Noraishah Mydin Haji Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Tegas PKAUM, mereka menyokong hak untuk Wong menyuarakan rasa tidak puas hati, tetapi tidak bersetuju dengan platform graduan itu gunakan untuk berbuat demikian kerana ia mencemarkan majlis konvokesyen yang dihadiri graduan lain dan ahli keluarga mereka.

Kegagalan Abdul Rahim untuk mempromosikan toleransi dan perpaduan kaum di kalangan warga UM yang berbilang kaum dengan melibatkan diri dalam Kongres Maruah Melayu telah mencemarkan kepimpinannya di universiti berkenaan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri