Parlimen haruslah memainkan peranan dalam memenuhi janji-janji Pakatan Harapan untuk menyusun semula polisi pembangunan negara selari dengan Pemahsyuran Kemerdekaan di mana Malaysia “kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya”

Parlimen haruslah memainkan peranannya dalam memenuhi janji-janji Pakatan Harapan untuk menyusun semula polisi pembangunan negara selari dengan Pemahsyuran Kemerdekaan di mana Malaysia “kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya”

Mari saya bacakan satu petikan daripada Buku Harapan yang berbunyi:

“Kami akan menghentikan kerosakan institusi-institusi penting negara, dan akan mengembalikan kedaulatan undang-undang, lantas menjamin kebebasan agensi-agensi penting dalam kerajaan.

“Kami akan melaksanakan strategi serampang dua mata, iaitu membersihkan Malaysia daripada rasuah dan kleptokrasi serta memacu pertumbuhan ekonomi mapan yang manfaatnya dikongsi oleh semua dan bukan dibolot oleh mereka yang berkuasa sahaja.

“Kami menjanjikan pemimpin yang bersih iaitu pemimpin yang komited dalam membersihkan negara ini dan yang bertekad untuk membantu golongan yang memerlukan.”

Buku Harapan telah menekankan lima teras utama, iaitu:

  1. Meringankan bebanan kehidupan rakyat;
  2. Mereformasi institusi pentadbiran dan politik;
  3. Merancakkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama;
  4. Mengembalikan status Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963;
  5. Membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Dalam agenda reformasi institusi dan politik, Buku Harapan menekankan bahawa “sistem semak imbang yang diwujudkan oleh para pejuang kemerdekaan terdahulu kini semakin sukar untuk berfungsi secara efektif” dan berjanji untuk memulihkan kepercayaan kepada institusi negara dan menebus maruah sistem pentadbiran melalui beberapa siri reformasi institusi dan politik.

Antara perkara utama di dalam senarai reformasi institusi dan politik ini adalah untuk mengembalikan kewibawaan institusi Parlimen.

Selain daripada Kaukus Reformasi Institusi dan Urus Tadbir Parlimen, kita telah berjaya menubuhkan enam jawatankuasa pilihan khas bipartisan untuk menjalankan reformasi institusi dan politik, iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Belanjawan, Hubungan Negeri dan Persekutuan, Pertimbangan Rang Undang-undang, Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Pelantikan Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam, dan akhir sekali, Hak dan Kesaksamaan Gender.

Kita haruslah memastikan kesemua enam Jawatankuasa Pilihan Khas ini oleh menjalankan tugas dan fungsi mereka dalam satu cara yang bermakna dan efektif, memandangkan mereka adalah langkah pertama kepada reformasi meluas Parlimen yang membayangkan satu masa hadapan di mana terdapatnya Jawatankuasa Pilihan Khas untuk setiap kementerian, dengan kuasa untuk memanggil Menteri dan Penjawat Awam Kanan untuk memberikan kenyataan.

Baru-baru ini, negara telah dikejutkan dengan beberapa penahanan yang dikaitkan dengan aktiviti terorisme yang berkaitan dengan LTTE, termasuklah penahanan dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri daripada DAP.

Kita mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri untuk memastikan tidak ada sebarang penyalahgunaan kuasa seperti yang telah berlaku di bawah pentadbiran yang lepas, di mana doktrin pemisahan kuasa tidak dihormati dan parlimen dihalang daripada menjalankan fungsinya seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, sebagai contoh di mana usul debat berkenaan skandal 1MDB disekat di Parlimen sedangkan seluruh dunia sedang menuduh Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global.

Saya mahu menjelaskan di sini yang DAP tidak pernah mencadangkan supaya pihak Polis menghentikan siasatan ke atas LTTE hanya kerana dua ADUN DAP, P Gunasekaran daripada Negri Sembilan dan G Saminathan daripada Melaka disyaki terlibat.

Era di mana isu keselamatan dalam negara menjadi tanggungjawab mutlak pihak Polis sudah pun tamat. Kini, isu keselamatan dalam negara sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia yang patriotik.

Walaupun pihak Polis mempunyai tanggungjawab profesional dan khusus untuk melindungi keselamatan dalam negara, mereka tidak boleh bertindak seperti di bawah pemerintahan yang lepas di mana frasa “keselamatan negara” disalah guna bukan untuk melindungi keselamatan dalam negara, tetapi untuk tujuan yang lain.

Oleh itu, pihak Polis mestilah bertindak dengan telus dan bertanggungjawab.

Kerana ini jugalah, kita mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, kerana isu keselamatan dalam negara adalah tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia.

Pihak Polis haruslah sentiasa sedar akan latar belakang janji Manifesto PRU14 Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang yang menindas, terutamanya peruntukan zalim di dalam Akta SOSMA 2012.

Sehingga peruntukan seperti ini dimansuhkan, perlulah ada satu mekanisma semakan untuk memastikan semangat janji Malaysia Baharu Pakatan Harapan dihormati dan untuk memastikan tidak ada sebarang penyalahgunaan kuasa di bawah peruntukan zalim SOSMA.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri