DAP mengutuk keras sebarang bentuk keganasan dan pada masa yang sama mahu melihat pihak Polis menghormati semangat “kerajaan yang bertanggungjawab dan telus” dan tidak mewarisi mentaliti lama pemerintahan lepas
Saya baharu sahaja melawat keluarga dua ADUN DAP — ADUN Seremban Jaya P Gunasekaran dan ADUN Gadek G Saminathan yang juga merupakan seorang Exco — yang ditahan untuk siasatan pada hari Khamis lepas dibawah SOSMA atas dakwaan kaitan dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di Seremban dan Durian Tunggal pagi ini.
DAP mengutuk keras sebarang bentuk keganasan dan pada masa yang sama mahu melihat pihak Polis menghormati semangat “kerajaan yang bertanggungjawab dan telus” seperti yang ditekankan oleh Kerajaan Pakatan Harapan selepas keputusan bersejarah 9 Mei 2018 dan tidak mewarisi mentaliti lama pemerintahan kleptokratik yang lepas.
Di bawah pemerintahan yang lepas, definisi ancaman kepada keselamatan negara bermaksud sebarang ancaman terhadap Perdana Menteri semasa atau pun parti politik yang sedang berkuasa yang tidak berkaitan sama sekali dengan keselamatan dalam negara, seperti cubaan untuk memulihkan nama baik dan maruah negara dengan pendedahan skandal 1MDB yang telah mencemarkan nama negara di peringkat dunia sebagai sebuah kleptokrasi global.
Kerana inilah bekas Timbalan Pengerusi UMNO Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan ditahan di bawah SOSMA pada tahun 2015 dan SOSMA digunakan pada tahun 2016 untuk menahan 15 orang pemimpin pembangkang dan aktivis sivil di masa itu — termasuklah Maria Chin Abdullah yang merupakan Pengerusi Bersih ketika itu dan kini Ahli Parlimen untuk Petaling Jaya — atas hubungan himpunan Bersih 5 pada 19 November 2016.
Era di mana isu keselamatan dalam negara menjadi tanggungjawab mutlak pihak Polis sudah pun tamat, kini, isu keselamatan dalam negara sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia yang patriotik.
Walaupun pihak Polis mempunyai tanggungjawab profesional dan khusus untuk melindungi keselamatan dalam negara, mereka tidak boleh bertindak seperti di bawah pemerintahan yang lepas di mana frasa “keselamatan negara” disalah guna bukan untuk melindungi keselamatan dalam negara, tetapi untuk tujuan yang lain.
Oleh itu, pihak Polis mestilah bertindak telus dan bertanggungjawab.
Gunasekaran dan Saminathan adalah merupakan ahli veteran DAP yang telah terdidik dengan prinsip asas parti untuk mewujudkan perubahan politik melalui cara yang aman, tidak berasaskan keganasan, dan demokratik, dan menolak sebarang bentuk keganasan atau terorisme.
Gunasekaran sudah menjadi ahli parti selama 37 tahun dan sentiasa menyokong komitmen 53 tahun parti untuk membawa perubahan dengan cara yang aman dan demokratik dan menolak keganasan dalam sebarang bentuk sekalipun.
Malahan, Gunasekaran sudah bertanding dalam enam pilihan raya dan menang sebanyak tiga kali.
Saya percaya yang kedua Gunasekaran dan Saminathan tidak bersalah keatas sebarang pertuduhan berkaitan keganasan. Jika pihak Polis mempunyai bukti yang sebaliknya, mereka haruslah didakwa di mahkamah bagi memberikan ruang untuk kedua mereka untuk membela diri mereka.
Pihak Polis haruslah sentiasa sedar akan latar belakang janji Manifesto PRU14 Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang yang menindas, terutamanya peruntukan zalim di dalam Akta SOSMA 2012.
Sehingga peruntukan seperti ini dimansuhkan, perlulah ada satu mekanisma semakan untuk memastikan semangat janji Malaysia Baharu Pakatan Harapan dihormati dan untuk memastikan tidak ada sebarang penyalahgunaan kuasa di bawah peruntukan zalim SOSMA.
Perkara ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab Kerajaan Pakatan Harapan, tetapi juga tanggungjawab pihak Polis juga.