Pembohongan dan ucapan kebencian daripada Asyraf adalah satu ancaman terhadap maruah orang Melayu dan rakyat Malaysia dan menjadi satu sebab perlunya untuk satu tindakan yang tegas untuk mengekang berita palsu dan ucapan kebencian -- yang menghasut polarisasi antara kaum dan agama -- daripada terus memusnahkan Malaysia
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan telah mendedahkan bahawa kenyataan Ketua Pemuda UMNO berkenaan “10 alasan kenapa Perdana Menteri Dr Mahathir wajar singkirkan DAP dan PKR” gagal untuk melepasi ujian fakta kerana tidak dapat disokong dengan sebarang bukti sokongan. Namun begitu, perkara ini tidak menghentikan penyebaran berterusan berita palsu dan ucapan kebencian yang bertujuan untuk menghasut polarisasi antara kaum dan agama dalam Malaysia pasca PRU-14.
Ambiga berkata beliau mempunyai 50 alasan mengapa UMNO tidak perlu kembali berkuasa. Kini alasan itu bertambah kepada 51.
Penyebaran penipuan, berita palsu dan ucapan kebencian untuk menghasut polarisasi dan konflik antara kaum dan agama kelihatan seperti sudah menjadi satu-satunya strategi pihak Pembangkang untuk melawan usaha Pakatan Harapan untuk dalam menjayakan sebuah Malaysia Baharu yang menjadi negara terulung berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan dan integriti.
Saya pernah berharap Kongres Maruah Melayu dapat menjadi perintis untuk satu kempen yang melibatkan semua rakyat Malaysia untuk mencapai Zaman Kegemilangan Malaysia sebagai negara terulung berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan dan integriti serta membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia adalah kisah kejayaan pertemuan empat tamadun besar dunia - Melayu / Islam, Cina, India dan Barat - bukannya menjadi gagal kerana Konflik Peradaban.
Harapan ini ternyata silap.
Pun begitu, mereka yang berharap bahawa Kongres Maruah Melayu akan membantu memusnahkan kerajaan Pakatan Harapan pasti berasa kecewa, dan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, mesti terus bersatu, setia kepada prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara, patriotik, matang, berwawasan terhadap sebuah Malaysia menjadi negara terulung dan tidak pernah putus harapan dalam menetapkan semula dasar pembangunan negara untuk mencapai Malaysia Baharu.
Satu contoh yang baik adalah cadangan oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Mohamad Hasan kepada Mahathir untuk membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan dan bekerjasama dengan Umno dan PAS demi perpaduan Melayu selepas Kongres Maruah Melayu dan penolakan segera Mahathir terhadap cadangan itu.
Kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum dan tidak sesuai untuk kerajaan terdiri daripada ahli-ahli satu kaum sahaja sangat tepat sekali.
Beliau menambah: "Kami tidak berminat untuk membentuk kerajaan baru. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan sejak merdeka kita mempunyai kerajaan dengan semua kaum di dalamnya.
"Ini adalah realiti negara ini dan semua kaum mempunyai hak di negara kita."
Amat malang dan menyedihkan apabila Kongres Maruah Melayu ini telah mengeluarkan resolusi sepertimana "10 Alasan" Asyraf, yang tidak berpandukan fakta dan kebenaran.
Bagaimana maruah sesuatu kaum atau bangsa boleh dipulihkan jika agendanya didasari dengan pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian?
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, harus merenung cabaran masa depan dan bukannya disesatkan oleh gambaran masa lepas yang mengelirukan diasaskan berita palsu dan ucapan kebencian.
Berikut adalah ulasan Bank Dunia mengenai pembangunan ekonomi China sempena ulang tahun ke-70 Republik Rakyat China:
"Sejak memulakan pembaharuan pasaran pada tahun 1978, China telah beralih dari satu perancangan ke arah ekonomi yang lebih berpusatkan pasaran dan telah mengalami perkembangan ekonomi dan sosial yang pesat. Pertumbuhan purata KDNK adalah sekitar 10% setahun -- pengembangan yang paling pesat oleh ekonomi utama dalam sejarah -- dan lebih daripada 850 juta orang telah berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan. China mencapai semua Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) menjelang 2015 dan memberi sumbangan besar kepada pencapaian MDGs di seluruh dunia. Walaupun pertumbuhan KDNK China secara beransur-ansur perlahan sejak 2012, seperti yang diperlukan untuk peralihan kepada pertumbuhan yang lebih seimbang dan mampan, ia masih agak tinggi berdasarkan piawaian global semasa.
Dengan populasi seramai 1.4 bilion, China adalah kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Ia telah menyumbang sekitar 30% pertumbuhan global dalam lapan tahun yang lalu.
"Walaupun China telah mengalami pembangunan ekonomi dan sosial yang mengagumkan, pembaharuan pasarannya tidak lengkap, dan pendapatan per kapitanya kekal seperti negara sedang membangun dan hanya kira-kira satu perempat daripada purata untuk negara berpendapatan tinggi. Negara ini berada di landasan untuk menghapuskan kemiskinan mutlak menjelang 2020 mengikut piawai kemiskinan semasa China (pendapatan isi rumah luar bandar per kapita bersih RMB 2,300 per tahun setakat 2010). Pun begitu, masih terdapat kira-kira 372.8 juta orang berada di bawah pendapatan garis kemiskinan “menengah keatas” antarabangsa $5.50 sehari.
"Kemajuan ekonomi yang pesat juga membawa banyak cabaran, termasuk kesenjangan yang tinggi (terutamanya di antara kawasan luar bandar dan bandar), cabaran terhadap kelestarian alam sekitar, dan ketidakseimbangan luar. China juga menghadapi tekanan demografi yang berkaitan dengan populasi yang semakin tua dan penghijrahan buruh dalaman.
"Pertumbuhan ekonomi China berkembang pesat melebihi kadar pembangunan institusi, dan terdapat jurang antara institusi penting dan pembaharuan yang perlu ditangani bagi memastikan laluan pertumbuhan yang mampan. Pelarasan dasar yang ketara diperlukan untuk pertumbuhan China yang mampan. Menguruskan pembaharuan struktur dan risiko yang berkaitan tidak akan memberi kesan langsung berikutan kekompleksan, saiz, dan kepentingan ekonomi global China."
Empat puluh tahun yang lalu pada tahun 1978, KDNK per kapita Malaysia adalah lebih sepuluh kali ganda daripada China. Kini, China hampir memintas KDNK per kapita Malaysia - seperti yang dinyatakan dalam kedudukan negara-negara berasaskan KDNK per kapita (IMF) 2018, China diletakkan di kedudukan ke-67 daripada 156 negara dengan KDNK per kapita US$9,608 berbanding dengan kedudukan ke-63 bagi Malaysia dengan KDNK per kapita US$10,942.
Bukankah ini sepatutnya menjadi salah satu agenda utama Kongres Maruah Melayu tentang mengapa Malaysia tewas dalam persaingan pembangunan ekonomi, tewas bukan hanya kepada China, tetapi kepada negara-negara lain termasuk India, Bangladesh, Indonesia, Thailand, Vietnam, malahan Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan - dan apakah rupa bentuk masa depan Malaysia jika rakyat Malaysia sendiri tidak bersedia untuk membantu diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan luar untuk berjaya?
Harapan untuk mengembalikan maruah Melayu tersasar, sebaliknya, Kongres Maruah Melayu telah membawa penghinaan, keaiban dan malu yang lebih besar kepada orang Melayu dan Malaysia apabila tidak ada seorang pun dalam kongres berkenaan membangkitkan tentang keabaiban besar yang dialami Malaysia selama berdekad lamanya ekoran digelar sebagai kleptokrasi global.
Pembohongan, kepalsuan, berita palsu dan ucapan kebencian tidak boleh mengembalikan maruah mana-mana kaum.
"10 Sebab" yang diberikan Asyraf telah membenihkan berita palsu dan ucapanan kebencian yang baru yang direka untuk menghasut polarisasi dan konflik antara kaum dan agama - menyalahkan DAP tentang isu ICERD dan Statute Rom, ketika para pemimpin DAP sendiri terkejut dengan perkembangan kedua-dua isu berkenaan.
Pembohongan Asyraf, berita palsu dan ucapan kebencian adalah ancaman nyata terhadap maruah Melayu dan Malaysia serta menjadi sebab mengapa tindakan pembetulan yang tegas diperlukan dan penting bagi mengelakkan berita palsu dan ucapan kebencian -- yang menghasut polarisasi antara kaum dan agama -- daripada terus memusnahkan Malaysia.