Hentikan teori konspirasi yang mendakwa kononnya Kerajaan Pakatan Harapan akan berpecah semasa pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2020 di Parlimen yang akan berlangsung dari Oktober hingga Disember ini kerana Pakatan Harapan memenuhi mandat penggal ini
Tiga sidang Parlimen sebelum ini iaitu pada Oktober tahun lalu dan pada Mac serta Julai tahun ini dibayangi dengan laporan media yang bersifat spekulatif berkenaan khabar angin yang mengatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal berdepan dengan penyingkiran menerusi undi tidak percaya di Parlimen, yang didakwa akan melibatkan sekumpulan ahli Parlimen Pakatan Harapan.
Sesi Persidangan Parlimen yang berlangsung selama 36 hari bermula hari ini sehingga Disember terlepas daripada gangguan “usul tidak percaya” terhadap Mahathir seperti yang digambarkan dalam laporan media bersifat spekulif berkenaan, bukan kerana tidak ada mereka yang “gatal-gatal” mahu merancang atau mereka-reka teori konspirasi berkenaan, tetapi kerana teori konspirasi “usul undi tidak percaya” khayalan ini telah gagal dibuktikan sepanjang tiga sidang Parlimen yang lepas, membuatkan pihak yang menyebarkannya kelihatan mengarut dan bodoh.
Ini tidak bermakna bahawa Pembangkang tidak berharap untuk melihat kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya berpecah, dan melakukan bermacam-macam cara untuk merealisasikan impian mereka itu.
Melihat kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya menjadi lemah dan berpecah selepas hanya beberapa bulan adalah perkara yang sentiasa diimpikan oleh UMNO dan PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2019, namun ia tidak berlaku dan kerajaan gabungan DAP, PKR, Bersatu dan Amanah tidak berpecah, Pembangkang terus mencari-cari keretakan dan kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan, malah membesar-besarkan keretakan dan kelemahan yang sebenarnya tidak wujud dalam kerajaan gabungan ini.
Pun begitu, empat parti gabungan Pakatan Harapan bukan sahaja telah terselamat daripada pelbagai serangan sepanjang beberapa bulan pertama mentadbir Putrajaya. Dua hari daripada hari ini, kerajaan PH akan menandakan 17 bulan kejayaan mentadbir secara lancar dan PH berhasrat untuk memenuhi mandatnya sehingga ke akhir penggal ini selama lima tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2023.
Apabila rancangan keji untuk mencetuskan perpecahan dalam kerajaan Pakatan Harapan gagal, parti-parti pembangkang akhirnya menerima hakikat bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan mentadbir sehingga habis penggal ini, -- di mana mereka sepatutnya mempersiapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 -- mereka kembali menyusun gerak dengan harapan dapat menyaksikan perpecahan kerajaan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan kembali berkuasa di Putrajaya.
Perkara ini mencetuskan penyebaran secara berleluasa ucapan kebencian dan berita palsu sejak beberapa bulan lalu untuk mencetuskan perpecahan antara kaum dan agama dengan mempergunakan isu yang membabitkan 3R secara maksimum -- dengan politik toksik yang cuba menciptakan ilusi bahawa kerajaan Pakatan Harapan kononnya di ambang perpecahan.
Pemukiman Pakatan Harapan selama dua hari di Shah Alam menjelang perbahasan belanjawan di Parlimen telah menjadikan Pakatan Harapan lebih kuat, lebih bersatu dan lebih padu sehingga sukar untuk Pembangkang melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Harapan sama ada di luar atau di dalam Parlimen.
Oleh itu, hentikanlah semua teori konspirasi bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan berpecah semasa perbahasan Belanjawan 2020 dari Oktober hingga Disember kerana Pakatan Harapan berazam untuk kekal sebagai kerajaan sehingga tamat penggal ini.
Ada antara mereka yang berharap Kongres Maruah Melayu semalam akan menjadi pemangkin kemusnahan perpaduan Pakatan Harapan, namun perkara yang sebaliknya pula yang berlaku.
Menjadi sesuatu yang teramatlah pelik, apabila Kongres Maruah Melayu yang membincangkan permasalahan tentang politik, ekonomi, agama dan pendidikan ini, gagal untuk membincangkan masalah paling besar -- maruah Malaysia yang tercalar ekoran digelar sebagai sebuah kleptokrasi global selama hampir sedekad dan penyebaran berleluasa ucapan kebencian dan berita palsu bertujuan untuk mewujudkan perpecahan dan konflik antara kaum dan agama.
Kejadian di mana Malaysia digelarkan sebagai sebuah kleptokrasi global ini adalah satu faktor terbesar yang menjatuhkan maruah orang Melayu dan Malaysia, namun ia tidak sekelumit pun dibangkitkan dalam kongres berkenaan.
Saya berharap Kongres Maruah Melayu ini mampu merintis jalan untuk menjadi sebuah kempen yang melibatkan semua rakyat Malaysia bagi mencapai Zaman Kegemilangan Malaysia sebagai sebuah negara bertaraf antarabangsa berteraskan perpaduan, keadilan, kebebasan, kecemerlangan dan integriti dan membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia adalah kisah kejayaan daripada pertemuan empat tamadun hebat di dunia -- Melayu/Islam, Cina, India dan Barat -- dan bukannya gagal ekoran konflik peradaban.
Kita tidak patut terus diheret dengan isu khayalan yang diciptakan oleh pihak yang mereka-reka dan menyebarkan berita palsu dan ucapan kebencian, sebaliknya terus maju ke hadapan ke arah sebuah Malaysia Baharu, bersaing dengan negara-negara lain dan mengelak daripada terus-menerus bercakaran sesama sendiri tentang isu-isu yang direka-reka.
Namun, persoalan-persoalan ini masih belum dijawab dengan tuntas.
Bagaimanapun, terdapat satu perkara yang pasti. Mereka yang berharap bahawa Kongres Maruah Melayu akan membantu memusnahkan kerajaan Pakatan Harapan sedang berasa teramat kecewa, kerana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau wilayah perlu terus bersatu, setia dengan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara, bersifat patriotik, matang, mempunyai visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf antarabangsa dan tidak berputus asa untuk menetapkan semula dasar pembinaan negara bagi mencapai impian Malaysia Baharu.