Najib adalah salah satu kuasa politik yang paling merosakkan dalam sejarah Malaysia — seorang kleptokrat global, kaki penipu, dan ancaman terbesar kepada satu visi Malaysia yang bersatu, progresif, dan makmur
Apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencabar saya untuk berdebat dengannya di dalam satu temubual dengan Free Malaysia Today pada hari Selasa yang lepas, perkara pertama yang terlintas pada fikiran saya adalah; patutkah seseorang itu berdebat dengan seorang kleptokrat yang mempunyai penyakit suka menipu ataupun memang kaki penipu.
Saya telah menambah, sekira berlakunya perdebatan ini, topik yang terbaik adalah “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti”.
Najib kelihatan tidak kisah dipanggil seorang kleptokrat dan kaki menipu dan bersetuju secara serta merta dengan topik tersebut, tetapi menambah secara licik: “Saya terima tajuk disarankannya tetapi seadilnya dan semoleknya kita perlu bincangkan topik-topik lain semasa debat ini.”
Menjawab cabaran ini, saya telah melantik Setiausaha Politik saya, Syahredzan bin Johan dan Ahmad Faiz Mustafa, Pegawai Perhubungan Parlimen saya untuk berurusan dengan pegawai Najib bagi memuktamadkan butir-butir perdebatan ini untuk dilangsungkan selepas Hari Raya.
Saya juga telah mengalu-alukan pandangan dan komen daripada rakyat Malaysia mengenai topik “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti” ini untuk mengemelkan cadangan mereka kepada [email protected].
Sepanjang 48 jam yang lepas, saya telah menerima segunung nasihat melalui emel, Whatsapp dan telefon, termasuklah daripada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, menggesa saya untuk tidak berdebat langsung dengan Najib.
Tanpa ragu lagi, Najib memanglah satu kuasa politik yang paling merosakkan dalam sejarah Malaysia — dia bukan sahaja seorang kleptokrat dan kaki menipu, tetapi merupakan satu cabaran yang besar terhadap visi Malaysia yang bersatu, progresif, dan makmur dengan sokongan tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab beliau terhadap politik penipuan, kebencian, dan ekstremis yang menyebabkan perpecahan perkauman dan keagamaan terburuk dalam sejarah Malaysia.
Berikut adalah beberapa contoh nasihat yang telah saya terima —
- Daripada seorang ahli akademik melayu: “Najib tidak akan hilang apa-apa langsung dengan berdebat dengan anda. Dia tidak ada tempat untuk pergi kecuali dengan ke atas. Dengan berdebat dengan anda, dia akan mendapat sokongan kebanyakan orang Melayu. Debat ini hanya akan melibatkan anda berdua dan tak kiralah apa pun yang dibahaskan, dia akan menang perperangan politik ini. Semua ini belum dikira dari segi debat perkauman, ini semua hanyalah perangkap dia.”
- Daripada seorang blogger melayu: “Soalnya kenapa Najib tiba-tiba cabar Lim Kit Siang berdebat? …Sebabnya cuma satu saja. Sebab Lim Kit Siang itu Cina dan mari dari parti DAP. Itu je… Maknanya Najib akan gunakan majlis debat dengan Kit Siang itu untuk membangkitkan sentimen perkauman habis-habisan… Sebab itu dia cabar Lim Kit Siang berdebat.”
- “Kami, rakyat Malaysia tak nampak sebarang kebaikan pun daripada debat ini. Sebaliknya, anda hanya akan memanjangkan kredibiliti nama (Najib) yang sudahpun tercemar. Dia tak ada apa-apa lagi yang bernilai untuk disumbangkan kepada pembinaan negara. Tempat yang paling elok (untuk Najib) hanyalah Mahkamah Kehakiman dan itu sahaja.”
- “Tolong jangan jalankan debat ini. Ia hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Ia takkan membuktikan apa-apa yang rakyat belum tahu. Biarkan mahkamah yang tentukan. Anda takkan boleh menyakinkan penyokong dia. Dia hanya akan menyebabkan huru-hara dalam majlis ini dan anda akan menyalahkan diri sendiri buat sepanjang hayat.”
- Saya telah mengikuti perkembangan politik semasa negara yang tercinta ini untuk sekian lamanya. Terutamanya, saya telah berminat dan mengikuti situasi politik sejak daripada berita mengenai skandal 1MDB muncul buat pertama kalinya pada tahun 2015. Saya sentiasa mengagumi ketabahan anda sebagai seorang ketua pembangkan, integriti anda sebagai seorang individu dan cinta anda untuk negara ini. Saya menulis hari ini untuk memujuk anda untuk tidak terjerumus kedalam perangkap Najib Razak, bekas Perdana Menteri kita. Pada waktu ini, sebarang debat dengan Najib dengan situasi Najib sebagai penyumbang utama kepada kehilangan kuasa yang bersejarah di Malaysia hanya akan memberi legitimasi kepada status Najib sebagai Ketua Pembangkang de facto Debat yang dicadangkan ini hanya akan memberikan ruang awam kepada Najib untuk menyatukan penyokongnya dan menguatkan rancangannya untuk kembali memerintah. Debat ini juga mungkin sebahagian daripada dedak yang ditaburkan untuk menguatkan kontroversi isu-isu perkauman yang Najib gunakan sejak kemunculan skandal 1MDB. Akhirnya, pada pandangan saya, debat ini adalah sebahagian daripada rancangan Najib untuk membuktikan yang anda adalah “kuasa sebenar” dalam Pakatan Harapan kepada penyokongnya. Dalam percaturan politik ini, Najib mempunyai lebih sedikit risiko kerugian dari anda.”
- “YB Lim Kit Siang, tidak ada malunya, tetapi hanya kehormatan dalam menolak cabaran berdebat dengan bekas Perdana Menteri yang telah dimalukan ini apabila menerima cabaran ini hanya akan membawa kepada lebih banyak keburukan kepada negara.”
- “Ia tidak memberi keuntungan kepada anda mahupun Pakatan Harapan untuk berdebat dengan Najib. Ia hanya akan memberikan kelebihan kepada kepada dia dengan memberikan dia peluang untuk menghentam kerajaan dan menyatakan kesuciannya dan untuk mengatakan yang dia hanyalah seorang mangsa konspirasi politik. Sesetengah rakyat Malaysia yang mudah terpengaruh mungkin akan mempercayai penipuan ini.”
- “Saya telah mengikuti debat Parlimen sejak PH mengambil alih kerajaan, jika dia serius dan mempunyai hati nurani, dia akan berdebat dalam sesi Parlimen semasa dicabar oleh pelbagai menteri untuk mempertahankan polisi dan dirinya mengenai 1MDB, FGV dan Tabung Haji.”
- “Apakah kebaikannya untuk rakyat Malaysia jika NAJIB diperbodohkan dan dimalukan anda dengan anda sebagai pemenang? Di mata semua rakyat Malaysia, dia hanyalah seseorang yang hidup segan mati tak mahu, yang hanya mampu menimbulkan rasa syak wasangka dan sentimen perkauman dikalangan orang Melayu.”
- “Saya tabik pada niat murni tuan untuk menerima cabarannya sebagai seorang yang bermaruah, tetapi lawan pihak tuan telah membuktikan yang dirinya bukanlah seorang yang bermaruah, tetapi satu makhluk yang tidak mempunyai sebarang panduan moral ataupun rasa kesal, oleh itu dengan penuh hormatnya saya berasakan bahawa ia adalah satu perbuatan yang sangatlah naif untuk menganggap yang Najib akan berubah menjadi seorang insan yang bermaruah untuk berdebat dengan taraf yang diharapkan anda.”
Sejak awal tahun ini, telah terdapat satu cubaan keji yang sistematik untuk meningkatkan ketegangan perkauman dan keagamaan di Malaysia.
Contohnya, baru-baru ini seorang ketua NGO Muslim telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai pengeluaran setem yang memaparkan Gereja St George di Pulau Pinang oleh Pos Malaysia.
Ketua NGO Muslim ini telah menulis di Facebook yang mana setem ini merupakan salah satu daripada contoh Islam dibuli sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan Mei lalu dan ia boleh mengelirukan orang asing untuk menganggap yang Malaysia adalah sebuah negara Kristian, sedangkan setem ini adalah sebahagian daripada satu siri setem berkenaan tempat-tempat ibadat di Malaysia, dan dikeluarkan buat pertama kalinya pada tahun 2016, dua tahun sebelum Pakatan Harapan mendapat kuasa.
Memandangkan besar kemungkinan debat “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti” diantara Najib dan saya ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina, sedangkan perang melawan rasuah, penyalah-gunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukanlah satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik, saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib ini.
Kini DAP adalah merupakan salah satu parti komponen Kerajaan Pakatan Harapan dan satu disiplin baru diperlukan diantara parti komponen untuk mengutamakan kepentingan pakatan ini jika kita mahu berjaya dalam visi bersama yang dijanjikan didalam Manifesto Pilihanraya Umum Pakatan Harapan untuk membina satu Malaysia yang baharu — berterasan lima objektif utama iaitu menurunkan kos sara hidup rakyat, melaksana reformasi institusi, memberdayakan perkembangan ekonomi, memulangkan kuasa kepada Sabah dan Sarawak, dan membina satu Malaysia yang inklusif dan bersederhana.
Ini bukanlah kerja seratus hari atau bulan tetapi kerja bertahun dan berdekad. Ini adalah kerja yang memerlukan komitmen untuk membawa penyatuan, kebebasan, keadilan, dan kemakmuran untuk Malaysia dan semua rakyatnya, bukanlah mendalamkan polarisasi perkauman dan keagamaan ataupun menyebakan politik penipuan, kebencian, dan ekstrimis.
Saya sedar yang keputusan saya ini akan disambut dengan pelbagai tuduhan yang saya ini adalah seorang penakut. Kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk semua rakyat menghakimi sama ada saya seorang penakut ataupun tidak dan saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman daripada rakyat. Tetapi, ada satu perkara yang saya tidak akan berkompromi — kepentingan utama negara dan semua rakyat Malaysia.