Bukti kukuh taktik baru Najib-Jho Low untuk meranapkan dan memecahbelahkan Kerajaan Pakatan Harapan bagi mendapatkan imuniti daripada skandal kleptokrasi 1MDB

Saya tidak menjangkakan hasil yang sebegitu cepat -- namun sekarang adalah era internet dan media sosial, dimana maklumat dan penipuan dapat disebarkan sepantas kilat!

Lebih kurang satu jam selepas saya keluarkan kenyataan media yang memberikan amaran bahawa jentera perang psikologi Najib-Jho Low telah mempunyai idea baru untuk meranapkan dan memecahbelahkan Kerajaan Pakatan Harapan dan sekaligus menyelamatkan duo kleptokrat, Datuk Seri Najib Razak dan Jho Low daripada tanggungjawab terhadap skandal mega 1MDB dan Penjara Sungai Buloh, saya telah diberikan bukti kebenaran amaran saya.

Telah saya katakan sebelum ini, strategi Najib-Jho Low bagi memastikan mereka berjaya mendapatkan imuniti daripada skandal 1MDB telah mengguna pakai 5 taktik sejak awal tahun ini termasuklah kempen "Malu Apa Bossku" bagi memastikan Kerajaan Pakatan Harapan hanya menjadi kerajaan sepenggal, dengan harapan percutian di mahkamah untuk Najib akan berakhir, langsung membolehkan mereka bebas daripada sebarang akauntabiliti jenayah kleptokrasi mega mereka.

Lima taktik ini adalah seperti berikut:

  1. Dengan tidak ada sekelumit pun rasa malu, berarak di sepelusuk negara dengan kempen "Malu Apa Bossku" bagi menghantar mesej terselindung yang mana Najib tidak ada melakukan apa-apa kesalahan sekalipun dalam skandal 1MDB, tetapi hanyalah mangsa penganiayaan Kerajaan Pakatan Harapan.
  2. Mencipta satu pendapat umum yang mana kita sudah terlalu banyak bercakap mengenai skandal 1MDB dan kleptokrasi Najib, dimana Pilihanraya Umum ke-14 sudahpun selesai dan kita patut biarkan mahkamah yang menentukan sama ada Najib bersalah atau tidak. Dan pada masa yang sama, kita perlu lihat sama ada Kerajaan PH berjaya atau tidak dalam menurunkan kos sara hidup dan membawa reformasi institusi. Sekaligus dengan penciptaan pendapat umum ini, laskar siber Najib-Jho Low diberikan tugas untuk mendiamkan semua yang cuba bercakap mengenai skandal 1MDB.
  3. Menyebarkan politik penipuan yang jelik untuk menimbulkan syak wasangka, ketidak-harmonian, dan kebencian dengan menjaja penipuan yang mana hak keistimewaan Melayu dan agama Islam adalah terancam dibawah Pakatan Harapan dan orang Melayu dan Islam mestilah bersatu untuk mempertahankannya.
  4. Menyebarkan penipuan bahaya Kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya dikawal oleh DAP untuk kepentingan kaum Cina, dimana Mahathir hanyalah pak turut kepada Lim Kit Siang. Dan pada masa yang sama, MCA dan MIC menyebarkan penipuan dimana DAP telah mengkhianati kaum Cina dan India. Kedua penipuan ini bertentangan dengan satu sama lain dan tidaklah benar sama sekali, tetapi hanya disebarkan untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia mengikut garis perkauman dan agama.
  5. Kononnya Kerajaan Pakatan Harapan telah mengkhianati janji pilihanrayanya dan telah gagal-segagalnya jika dibandingkan dengan Barisan Nasional. Atas sebab itu, kononnya Kerajaan Pakatan Harapan ini hanya akan menjadi kerajaan sepenggal, itu pun jika ia tidak berpecah-belah sebelum Pilihanraya Umum yang ke-15.

Lima taktik ini telah digunakan oleh jentera penipuan Najib-Jho Low sejak daripada awal tahun ini, namun telah hilang keberkesanannya sejak kemenangan Pakatan Harapan dan DAP dalam Pilihanraya Kecil Sandakan pada 11 Mei yang lalu. Kini mereka muncul dengan taktik yang ke-enam.

Taktik ke-enam ini adalah dengan mencuba untuk mewujudkan keretakan dan perbalahan diantara parti politik dan pemimpin Pakatan Harapan bagi menyebabkan berlakunya konflik yang boleh merosakkan gabungan Pakatan Harapan.

Lebih baik lagi untuk Najib-Jho Low, taktik ini boleh menyebabkan pergaduhan diantara pemimpin dari pelbagai parti Pakatan Harapan yang kemudiannya boleh dipusing dan dimanipulasi menjadi konflik perkauman dan agama.

Saya telah menerima dua paparan web yang menyiarkan penipuan yang sama, bertajuk "DAP desak Mahathir pecat Maszlee segara! dan lantik Teo Nie Ching sebagai Menteri Pendidikan" -- satu daripada Daily News (dnews.fun) dan satu lagi daripada kulihatlangitbiru.com.

Kisah yang dipaparkan di kedua-dua laman web adalah sama, iaitu:

"Ahli DAP LANCARKAN KEMPEN ‘UNDUR MASZLEE’

Ahli2 DAP sedang berusaha keras untuk sign petition supaya Mazlee Malik letak jawatan. Sehingga kini petition itu ditandatangani hampuir 60 ribu orang.

Mereka turut memaksa Tun Mahathir memecat Maszee dengan segera. Bagi ahli2 DAP, Mazslee dilihat gagal menjalankan tugas sebagai Menteri Pelajaran kerana dikatakan Pro Melayu, dan beliau juga gagal menunaikan janji manifesto tol percuma Simpang Rengam.

Menurut sumber sekiranya Maszlee meletak jawatan, Timbalan beliau yang juga seorang ahli DAP akan menggantikan tempat beliau secara automatic – Tun Carlos"

Oleh kerana tajuk dan isi kandungan kedua-dua laman web adalah sama, jelaslah yang ianya datang daripada sumber yang sama.

Tidak ada kebenaran langsung didalam artikel tersebut. DAP tidak pernah sama sekali meminta Perdana Menteri untuk menggantikan Maszlee dengan Teo Nie Ching sebagai Menteri Pendidikan dan DAP tidak ada kena mengena langsung dengan petisyen yang menuntut Maszlee untuk meletakkan jawatan -- inilah contoh penipuan yang sangat buruk yang hanyalah satu permulaan kepada lebih banyak penipuan yang akan muncul dalam media sosial bagi menimbulkan ketegangan, keretakan, dan perpecahan dalam Pakatan Harapan.

Satu disiplin baru diperlukan oleh semua pihak dalam semua parti dalam Pakatan Harapan jika kita ingin melawan dan memastikan pemusnah agenda Malaysia Baharu tidak berjaya. Ini kerana kegagalan kita hanyalah akan membolehkan Najib, Jho Low dan pelbagai kecelakaan jenayah kleptokrasi untuk kembali ke tanah air kita dan akhirnya menjadikan Malaysia sebuah negara kleptokrasi yang gagal.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri