Kempen 'Malu Apa Bossku' bertentangan dengan Rukunegara, mencabar Pelan Anti Rasuah Kebangsaan 2019-2023, dan halangan kepada misi transformasi negara daripada satu kleptokrasi global kepada negara berintegriti yang terulung

Sejak beberapa bulan sebelum pilihanraya kecil Sandakan pada 11 Mei yang lalu, cybertrooper bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bertungkus lumus menjaja satu tema baru -- cukuplah bercakap mengenai skandal 1MDB dan kleptokrasi Najib, Pilihanraya ke-14 sudah selesai dan biarkan mahkamah yang tentukan sama ada Najib bersalah atau tidak, sebaliknya, mari lihat apa yang kerajaan PH telah berjaya laksanakan untuk menurunkan kos sara hidup dan mereformasikan institusi negara.

Januari tahun ini, cybertrooper Najib telah memulakan kempen "Malu Apa Bossku" tanpa sekelumit rasa malu sekalipun dan yang malang sekalinya kempen ini telah berjaya menawan sebahagian tertentu rakyat Malaysia. Lantas membolehkan gabungan UMNO-PAS, dengan sokongan belakang tabir MCA dan MIC di semenanjung Malaysia, PBS dan parti pembangkang lain di Sabah, dan GPS di Sarawak, untuk menjaringkan tiga kemenangan di pilihanraya kecil Cameron Highlands, Semenyih, dan Rantau.

Fenomena "Malu Apa Bossku" juga telah memberikan galakan kepada ahli parlimen pembangkang untuk menyekat perjalanan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang merupakan langkah pertama yang penting dalam melaksanakan satu daripada lima Janji Teras Pakatan Harapan dalam PRU14 "mengembalikan status Sabah dan Sarawak kepada sepertimana yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963".

Namun begitu, ribut kejayaan kempen "Malu Apa Bossku" hanya berjaya untuk berterusan selama lima bulan, kerana ia telah mati dalam pilihanraya kecil Sandakan pada 11 Mei yang lalu dan masa depannya masih kelihatan kelam selepas dimusnahkan di Sandakan.

Sebenarnya, kempen "Malu Apa Bossku" ini bertentangan dengan prinsip kelima Rukunegara, Kesopanan dan Kesusilaan, mencabar Pelan Anti Rasuah Kebangsaan 2019-2023 dan menjadi batu halangan kepada proses transformasi negara daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara terulung yang berintegriti.

Pendedahan daripada skandal 1MDB dan penahanan Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas-bekas menteri seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, orang besar UMNO seperti bekas Menteri Besar Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Tan Sri Isa Samad, dan orang-orang kanan Najib seperti Arul Kanda Kandasamy, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah adalah satu notis dan bukti keseriusan Malaysia dalam menghapuskan kejelikan dan keburukan sebuah kleptokrasi global, namun ianya masih belum mencukupi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti yang boleh dijadikan model -- dimana Malaysia boleh bersama dengan 20 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International.

Malaysia pernah tersenarai sebagai negara ke-23 dan menjunam ke negara ke-62 dalam masa 23 tahun Indeks Persepsi Rasuah diterbitkan, sejak 1995. (Buat masa ini, Malaysia merupakan negara yang ke-61 dengan markah 49 per 100 untuk tahun 2018.)

Beranikah kita impikan dan berusaha untuk berada di kalangan 20 negara teratas Indeks Transparency International ini dalam satu dekad yang akan datang?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri