Bagi memastikan PDRM menjadi salah satu pasukan polis yang bertaraf dunia, Kaukus Reformasi Urustadbir dan Institusi Parlimen akan merujuk semula kajian Suruhanjaya Diraja Polis untuk menyemak sama ada cadangan-cadangan penambahbaikan kebajikan anggota polis yang dicadangkan telah dilaksanakan sepanjang 14 tahun yang lepas
Dengan pelantikan Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara yang baru, PDRM kini bersedia untuk menjadi sebuah pasukan polis yang bertaraf dunia.
Oleh itu, Kaukus Reformasi Urustadbir dan Institusi Parlimen yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim, akan menyemak semula pelaksanaan cadangan-cadangan penambahbaikan kebajikan anggota polis seperti yang dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja tersebut.
Selain daripada cadangan utama penubuhan satu badan bebas Suruhanjaya Aduan dan Salah-laku Polis (IPCMC) -- yang telah dipersetujui oleh PDRM setelah menentang penubuhannya selama 14 tahun, dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa rang undang-undang IPCMC akan dibentangkan ke Parlimen sebelum hujung tahun ini -- Suruhanjaya Diraja Polis tersebut telah juga membuat 11 cadangan bagi menambahbaik kebajikan anggota polis.
Cadangan-cadangan tersebut adalah seperti berikut:
- Penyusunan semula anggota PDRM ke dalam jawatan yang lebih relevan yang memerlukan skil dan kuasa polis.
- Menyediakan elaun khas untuk anggota PDRM yang bertugas di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Johor Bahru, dan Georgetown bagi mengimbangi kos sara hidup yang lebih tinggi yang dihadapi mereka.
- Penambahbaikan Pusat Latihan Polis semasa dan menambah pelaburan dalam melatih anggota PDRM.
- Melaksanakan perancangan kerjaya bagi semua anggota PDRM untuk meninggkatkan komitmen dan motivasi. Termasuklah penyediaan bagi jawatan-jawatan utama PDRM dan sebagai bahagian daripada pelan penggantian Ketua Polis Negara.
- Mengatasi masalah kekurangan armada kenderaan yang serba kekurangan. Suruhanjaya tersebut telah mencadangkan supaya PDRM diberi kuasa untuk mentakrifkan dasarnya sendiri bagi memanjangkan hayat operasi kenderaan seperti yang mereka rasa perlu, dan memberi kuasa kepada PDRM untuk mengganti kenderaan mereka selepas 5 tahun melalui pasaran untuk mendapatkan harga pasaran yang optimum untuk memastikan pembaharuan yang berterusan.
- Meningkatkan saiz armada Kenderaan Patrol Mudah Alih untuk membolehkan rondaan polis yang lebih kerap.
- Menyediakan pembiayaan yang mencukupi untuk persenjataan, menggantikan senjata usang lama yang mahal, menambah pelaburan dalam Skuad Bom PDRM, menyediakan lebih banyak jaket kalis peluru dan senjata non-lethal, dan membina kemudahan penyimpanan senjata baru yang selamat, jauh dari tempat tinggal.
- Kenal pasti kuarters polis yang lama dan usang dan sama ada memulihkan atau menggantikannya. Pemulihan atau penggantian perlu dilakukan mengikut piawaian perumahan semasa.
- Mengenal pasti lokasi di mana perumahan diperlukan secara kritikal dan menyediakan perumahan kepada anggota PDRM di kawasan tersebut.
- Di mana tanah untuk perumahan adalah terlalu mahal, kerajaan disyorkan untuk memperoleh bangunan sedia ada seperti pangsapuri untuk disewakan kepada kakitangan PDRM. Pilihan perumahan alternatif lain juga digalakkan untuk menyediakan penyelesaian perumahan terbaik kepada kakitangan PDRM.
- Menyediakan pembiayaan yang mencukupi untuk memulihara premis polis termasuk stesen polis, kerana sesetengah premis adalah sangat tua dan serba kekurangan kelengkapan dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai balai polis.
Saya akan mencadangkan dalam mesyuarat Kaukus Reformasi Urustadbir dan Institusi Parlimen yang akan datang supaya PDRM diminta untuk memberikan laporan kemajuan pelaksanaan cadangan-cadangan penambahbaikan kebajikan anggota ini, sebagai sebahagian daripada program dalam memastikan rakyat Malaysia dapat berbangga dengan pasukan polis yang bertaraf dunia yang dapat menyelamatkan kita semua daripada jenayah.