DAP menyokong penuh usul Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengecam pembunuhan kejam 50 orang Muslim di Christchurch dan menyeru semua rakyat untuk menghormati dan lebih sensitif kepada keperluan toleransi dalam kepelbagaian kaum dan agama dalam negara

Bagi pihak DAP, saya berhasrat untuk menyatakan sokongan penuh terhadap usul daripada Ahli Parlimen untuk Port Dickson dalam mengecam serangan kepada dua masjid di Christchurch yang telah mengorbankan nyawa seramai 50 orang Muslim.

Serangan dan pembunuhan ini adalah merupakan satu titik hitam kepada kemanusiaan kerana tidak ada satu pun tempat untuk keganasan dalam mana-mana agama mahupun negara.

Kita juga patut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin komuniti Muslim di New Zealand yang telah membalas kekejaman ini dengan menyampaikan mesej kasih sayang, belas kasihan, dan penghargaan terhadap segala bantuan yang telah dihulurkan.

Kami disini mendoakan kesejahteraan, keselamatan, dan pemulihan kepada semua yang terkesan, terutamanya rakyat Malaysia yang terkesan daripada jenayah kejam ini.

Rakyat Malaysia haruslah mengambil serius perkara pembunuhan beramai-ramai Christchurch ini, dan lebih sensitif terhadap kepelbagaian agama dan budaya yang kian hari menjadi satu ciri antarabangsa di pelbagai negara.

Media sosial membawa satu cabaran baru kepada rakyat Malaysia, dimana perkara yang hendak dikatakan tidaklah lagi bersifat peribadi, tetapi boleh tersebar dengan amatlah pantas kepada orang ramai.

Rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, mahupun Orang Asli haruslah mempunyai sikap skeptikal dan sinis terhadap berita-berita yang diterima melalui media sosial, sama ada melalui Facebook, Twitter, Instagram, mahupun Whatsapp yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Kita haruslah bertanya diri sendiri, “Adakah berita ini benar?” dan memeriksa kesahihannya sebelum menyebarkan berita ini kepada orang lain.

Jika rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, mahupun Orang Asli boleh bersikap skeptikal dan mempersoalkan setiap berita yang diterima, kita tidak akan mudah terpedaya dan menjadi mangsa kepada politik toksik yang penuh dengan pembohongan, kebencian dan ketakutan dari mana-mana sekalipun.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri