Mahathir sudah memberikan cabaran terbesar kepada Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM -- untuk memastikan kleptokrat dibawa kemuka pengadilan sepanjang kontrak dua tahun beliau yang mendatang

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengamanatkan satu cabaran yang besar buat Latheefa Koya -- untuk memastikan kesemua kleptokrat dan kaki rasuah dibawa ke muka pengadilan dalam tempoh kontrak dua tahun beliau.

Apabila ditanyakan di Jasin, sama ada kerajaan berhasrat untuk menyiasat peranan seorang bekas perdana menteri dan beberapa bekas pegawai kerajaan berpangkat tinggi dalam Minggu Pemecatan Besar-besaran yang berlaku pada Julai/Ogos 2015, Mahathir menjawab, kerajaan buat masa ini tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk menyiasat semua individu daripada pentadbiran yang lepas yang disyaki terlibat dengan rasuah.

Kata Mahathir:

"Kita dapati kerajaan yang telah ditewaskan tersebut dipenuhi dengan mereka yang melakukan jenayah, tapi buat masa ini, kita tidak boleh untuk fokus kepada mereka semua kerana kita tidak mempunyai tenaga manusia yang mencukupi.

"Buat masa ini, kita fokus kepada kes-kes yang amat serius, seperti kes (bekas) Perdana Menteri yang menyebabkan banyak wang daripada Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP) hilang."

Saya telah menyatakan harapan saya sebelum ini, seperti mana yang kita dapat saksikan dalam tahun pertama Kerajaan Pakatan Harapan -- para kleptokrat yang diketuai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disiasat dan didakwa atas tuduhan rasuah -- tahun kedua Kerajaan ini akan menyaksikan kaki rasuah yang lain dibawa ke muka pengadilan.

Ramai rakyat Malaysia terkejut dengan kenyataan daripada kumpulan bekas pegawai kerajaan kanan G25 yang menyokong pelantikan Latheefa Koya sebagai Pengerusi SPRM sebagai suatu pelantikan yang luar biasa yang perlu dilakukan kerana gejala rasuah kini sudah terlalu kritikal dan Perdana Menteri perlu mengisi jawatan tersebut secepat mungkin.

Mereka berkata: "Walaupun kami berharap untuk melihat kemunculan satu konvensyen berperlembagaan yang baharu bagi memberi ruang untuk parlimen mengambil bahagian dalam proses pelantikan tersebut, tidak dapat kami nafikan yang pelantikan ini bertepatan dengan peruntukan undang-undang."

Mereka berkata rasuah di Malaysia sudah mencapai satu tahap yang kritikal, melangkaui semua lapisan masyarakat dan jawatan ini perlulah diisi dengan segara.

"Kita mestilah menyokong keputusan yang membawa kepada urustadbir yang baik dan proses perundangan yang betul. Lagi pun, semua ini hanyalah salah satu daripada cara untuk mencapai matlamat yang sama," kata G25 lagi.

Tanpa ragu lagi, tangan-tangan pegawai SPRM sememangnya penuh dengan penyiasatan SPRM, tetapi, tidak ada seorang pun pemimpin sepatutnya terlepas dari siasatan rasuah kerana kes jenayah rasuah tidak mempunyai statut keterbatasan.

Biarpun jika SPRM tidak boleh untuk menyiasat pemimpin tertentu daripada pemerintahan sebelum ini kerana kesibukan menyiasat kleptokrat dan kuncu-kuncunya, tidak ada kaki rasuah di mana-mana sekalipun patut terlepas dari muka pengadilan.

Malaysia tidak boleh terus-menerus menjadi sebuah negara di mana bekas pegawai kanan kerajaan sendiripun mengakui yang rasuah berleluasa jika Malaysia mahu berubah daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara berintegriti yang terulung.

Atas sebab ini, kenyataan daripada Presiden PKR dan ahli parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim yang menyeru semua pemimpin Pakatan Harapan untuk menyokong keputusan Perdana Menteri dan memberikan ruang kepada Pengerusi baru untuk menjalankan tugas beliau haruslah dipuji.

Rakyat Malaysia haruslah sentiasa berazam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang disegani di mata dunia dalam indeks persepsi rasuah, yang berada di tangga tertinggi kaji selidik persepsi rasuah dalam sejarah negara ini.

Mungkin masanya sudah tiba untuk Pusat Governans, Integriti, dan Anti Rasuah Kebangsaan (GIACC), SPRM, dan rakyat Malaysia secara amnya, yang mahu melihat Malaysia berubah daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara yang berintegriti untuk mempertimbangkan satu bentuk program pengampunan bagi mereka yang terlibat dengan rasuah, dengan syarat mereka memulangkan semula semua harta yang diperolehi secara haram tersebut.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri