Jaguh klepto-teokrasi kini dalam posisi menyerang dengan menabur penipuan dan fitnah kononnya saya mengatakan semua orang Islam adalah pencuri dan kaki rasuah
Semalam, semasa menyatakan sokongan saya terhadap idea yang dicadangan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di Ankara supaya negara bermajoriti penduduk Muslim seperti Malaysia, Turki, dan Pakistan berkongsi sumber dan menggembeleng tenaga mereka untuk menaikkan tamadun Islam, saya telah mengatakan mustahil untuk tamadun Islam menjadi hebat semula dengan klepto-teokrasi -- satu doktrin politik yang berteraskan penyalahgunaan Islam untuk menyebarkan penipuan, fitnah, hasad dengki, syakwasangka, dan kebencian dan pada masa yang sama mendokong pencuri dan kaki rasuah.
Kenyataan saya ini mengundang respons pantas daripada jaguh-jaguh klepto-teokrasi, yang menabur lebih banyak penipuan dan fitnah kepada saya dengan mengatakan yang menggelar semua orang Islam sebagai pencuri dan kaki rasuah.
Hanya orang yang dungu akan mempercayai sampah seperti ini. Di dalam dunia ini, sentiasa wujud orang Islam yang kuat mencuri dan kaki rasuah seperti mana wujudnya orang bukan Islam yang kuat mencuri dan kaki rasuah juga.
Sama ada seseorang itu pencuri ataupun tidak bukanlah bergantung kepada agamanya tetapi kerana dia telah mengabaikan ajaran asas Islam dan agama-agama lain yang menyeru kearah kebaikan, alim, dan menakuti Tuhan. Jika seseorang itu merupakan seorang Muslim ataupun penganut agama lain yang alim, menjadi pencuri ataupun kaki rasuah itu tidak akan sama sekali terlintas di mindanya.
Saya menyokong idea supaya Malaysia menyumbang kepada usaha untuk menggemilangkan tamadun Islam. Malah, saya bersedia untuk pergi lebih ke hadapan, seperti yang saya pernah katakan:
“Malaysia mempunyai satu peluang yang unik sebagai satu tempat pertembungan pelbagai budaya, agama, dan tamadun dunia untuk memanfaatkan sifat-sifat terbaik daripada semua budaya, agama, dan tamadun ini untuk membina satu tamadun Malaysia sebagai satu sumbangan kepada komuniti antarabangsa, selari dengan usaha memelihara dan menambahbaik tamadun Islam, Cina, India, dan barat.
Kenapa jaguh-jaguh klepto-teokrasi ini menyerang saya kerana kenyataan saya semalam?
Adakah mereka menentang kebangkitan tamadun Islam?
Adakah mereka merasakan yang rakyat negara ini telah menjadi semakin bodoh untuk termakan sampah penipuan yang ditaburkan mereka?
Apa yang menarik dilihat adalah keterbukaan Pakistan dalam mengalu-alukan idea kebangkitan semula tamadun Islam dengan kerjasama Pakistan, Turki, dan Malaysia.
Menteri Luar Negeri Pakistan, Shah Mehmood Qureshi mengalu-alukan idea tersebut melalui Twitter.
Qureshi juga menyatakan, “Saya berasa istimewa dapat terlibat bersama dengan mesyuarat kementerian tiga negara ini di luar acara sidang kemuncak OIC di Makkah.
“Mesyuarat tiga hala penting ini akan terus memupuk perpaduan, kerjasama, dan pembangunan di antara negara Islam di seluruh dunia.”
Bolehkah jaguh-jaguh klepto-teokrasi ini menyatakan kenapa mereka tidak bersetuju dengan kenyataan saya, untuk menggemilangkan semula tamadun Islam, Islam tidaklah boleh disalahgunakan untuk menyebarkan penipuan, fitnah, syakwasangka, dan kebencian ataupun sokongan terhadap pencuri dan rasuah, tetapi Islam yang boleh kembali gemilang dengan usaha untuk menjadi cemerlang dalam semua bidang?
Adakah mereka menyedari, menggemilangkan tamadun Islam bukanlah bermaksud pergaduhan di antara pelbagai tamadun -- yang secara jelas bertentang dengan tujuan menubuhkan era kegemilangan untuk semua tamadun dunia!
Kebangkitan semula tamadun barat lahir daripada kebangkitan tamadun Islam.
Zaman kegemilangan Islam dahulu merupakan satu zaman dimana budaya, ekonomi, dan pengetahuan saintifik berkembangan dengan pesat.
Orientalis Philip K Hitti juga mengakui kehebatan budaya arab dalam buku History of the Arabs beliau: “Di antara pertengahan abad ke 8 dan permulaan abad ke 13, masyarakat berbahasa arab merupakan tunggak utama kebudayaan dan ketamadunan di dalam dunia. Mereka merupakan medium untuk sains dan falsafah tamadun terdahulu yang kemudiannya ditemui semula, ditambahbaik, dan disebarkan dalam satu cara yang membolehkan kebangkitan semula tamadun Eropah untuk berlaku.
Adakah rakyat Malaysia bersedia untuk berhenti menyalahgunakan nama Islam bagi memupuk kebangkitan semula zaman kegemilangan tamadun Islam, Cina, India, dan Barat?