444 hari sejak pertukaran kerajaan bersejarah 9 Mei 2018, tiba masanya untuk menilai semula janji Malaysia Baharu Pakatan Harapan dan Manifesto PRU14 Pakatan Harapan
Rakyat Malaysia, termasuklah pemimpin Pakatan Harapan haruslah menyedari dan mengakui kekecewaan sejumlah besar penyokong PH yang telah mengundi untuk perubahan di dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei yang lepas, yang kini merasakan kerajaan Pakatan Harapan kini telah kembali mengikut jejak langkah kerajaan Barisan Nasional yang kita tumbangkan.
Saya percaya yang mereka sebenarnya silap, tetapi pada masa yang sama, kita mestilah boleh menyampaikan mesej dan meyakinkan mereka yang kekecewaan mereka ini adalah satu kesilapan dan kerajaan Pakatan Harapan sentiasa komited dalam memperbetulkan hala tuju negara ke arah suatu Malaysia yang baharu.
Majalah The Economist, dalam edisinya yang bertarikh 18 Disember 2018, menamakan Malaysia bersama dengan Ethiopia dan Armenia sebagai tiga negara tersenarai pendek sebagai “negara yang menerima tepukan” -- kerana rakyat Malaysia yang “telah memecat Perdana Menteri yang tidak dapat menjelaskan kenapa terdapatnya USD700 juta di dalam akaun banknya”.
Namun begitu, edisi terkini majalah tersebut menzahirkan kekecewaannya terhadap apa yang dilihatnya sebagai kelambatan pelaksanaan reformasi dan berkata: “Jika PH tidak berjaya membangkitkan ekonomi negara, mereka mungkin akan melihat diri mereka menjadi pembangkang semula; dan jika mereka tidak memperbaiki demokrasi Malaysia, mereka mungkin akan menjadi pembangkang untuk bergenerasi lamanya.”
Malaysia kini berada di satu persimpangan, untuk mara kehadapan sebagai sebuah negara bertaraf dunia dengan polisi pembangunan negara yang inklusif yang memanfaatkan kepelbagaian budaya, kaum, agama, dan bahasa ataupun untuk mundur ke belakang, menjadi sebuah negara kleptokratik yang obses dengan politik perkauman dan agama yang memecah-belahkan perpaduan negara.
Marilah kita renung kembali pencapaian PH dalam 14 bulan yang lepas ini yang boleh dikatakan satu permulaan yang baik. Di mana PH telah membuat beberapa pelantikan yang teramat penting untuk menjayakan reformasi institusi, politik, dan demokrasi Malaysia Baharu, yang antaranya termasuklah:
- Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara, menggantikan Richard Malanjum yang telah bersara pada 2 April;
- Datuk Mohamad Ariff bin Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat;
- Tommy Thomas sebagai Peguam Negara;
- Azhar Azizan Harun ataupun yang lebih dikenali sebagai Art Harun sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya dan Dr Azmi Sharom sebagai Timbalan Pengerusi SPR;
- Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara;
- Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia;
- Zulkifli Zainal Abdin sebagai Ketua Angkatan Tentera;
- Ismail Bakar sebagai Ketua Setiausaha Negara;
- Syed Zaid Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti;
- Nik Azman Nik Abdul Majid sebagai Auditor-General;
- Tan Sri Abdul Kassim Ahmad sebagai Ketua Pengarah GIACC;
- Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
PH juga telah berjaya meminda perlembagaan persekutuan untuk merendahkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun walaupun usul pindaan perlembagaan untuk memulihkan taraf Sabah dan Sarawak telah gagal kerana ketiadaan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat.
RUU IPCMC yang telah lama dinantikan juga telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sesi Parlimen yang lepas, memberikan masa selama tiga bulan kepada persatuan awam untuk memberikan maklumbalas dan pendapat mereka.
Kita boleh berdebat sama ada lebih banyak reformasi boleh dijalankan.
444 hari sejak pertukaran kerajaan yang bersejarah ini, kini masanya untuk Pakatan Harapan menilai semula manifesto dan janji-janji PH dalam PRU14 yang lepas.
Berikan PH ruang untuk berterus-terang dengan rakyat Malaysia dan mengakui, kalau ada, yang sesetengah janji yang dibuat itu adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan dan saya percaya rakyat Malaysia akan menghargai usaha ini daripada kita cuba untuk menyembunyikannya.
Marilah juga kita menilai dan menyemak kembali, mana-mana janji yang kita tidak berjaya tunaikan dalam masa 100 hari atau pun dalam tahun pertama dan kita yakinkan rakyat Malaysia yang kita kini berada dalam hala tuju yang tepat untuk membina Malaysia Baharu dan 5 tunggak utama yang dijanjikan dalam Manifesto PRU14 Pakatan Harapan masih lagi menjadi panduan polisi kita.
Lima tunggak utama ini adalah:
- Meringankan beban rakyat;
- Reformasi institusi dan politik;
- Menjana pembangunan yang mampan dan saksama;
- Pemulihan taraf Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963; dan
- Mencipta satu Malaysia Baharu yang inklusif, moderat, dan dipandang tinggi di mata dunia.
Satu penilaian semula secara menyeluruh terhadap manifesto PH untuk menambah keyakinan rakyat bertambah penting dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun -- kerana untuk memenangi hati golongan muda, kita mestilah bersikap berterus-terang dengan mereka mengenai matlamat kita untuk suatu Malaysia dimana kemakmuran dikongsi bersama sambil menggalas sokongan mereka dengan idealisme dan visi kita.