Bantahan terhadap usul pengisytiharan harta di Dewan Negara semalam menunjukkan sikap oportunistik, tidak bertanggungjawab, dan keburukan politik klepto-teokrasi yang cuba menggagalkan pembinaan Malaysia Baharu yang berteraskan kecemerlangan, perpaduan, keadilan, kebebasan dan integriti
Semalam, Dewan Negara telah mengikut langkah Dewan Rakyat dan meluluskan usul menggesa ahli dewan tersebut untuk mengisytiharkan harta mereka dengan 34 senator yang menyokong usul tersebut dan 23 senator membantah.
Sekali lagi kita dapat lihat satu pertunjukan sikap oportunistik, tidak bertanggungjawab dan keburukan politik klepto-teokrasi yang cuba menggagalkan usaha pembinaan satu Malaysia yang Baharu yang berteraskan perpaduan, kecemerlangan, keadilan, kebebasan, dan integriti seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Pendokong klepto-teokrasi mahu negara ini kembali menjunam ke arah sebuah negara kleptokratik yang gagal dan mereka berkerja keras untuk mencapai cita-cita buruk ini dengan menanam syakwasangka dan kebencian di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Kesemua senator UMNO, PAS, MCA dan MIC berkerjasama sebagai satu blok politik untuk menentang usul semalam di Dewan Negara -- memberikan rakyat Malaysia peluang untuk melihat sejauh mana pendokong klepto-teokrasi ini sanggup pergi untuk memastikan Malaysia tidak menjadi sebuah negara yang bersih dan bebas daripada rasuah.
Saya fikirkan, setelah lebih daripada 14 bulan sejak daripada mereka ditendang keluar oleh rakyat Malaysia dalam pilihanraya bersejarah 9 Mei, mereka akan bertungkus-lumus untuk menjauhkan diri mereka daripada skandal 1MDB dan cuba untuk menunjukkan yang mereka menyokong idea sebuah kerajaan yang bersih dan bebas rasuah.
Namun begitu, sebaliknya yang berlaku. Bukan sahaja mereka tidak menunjukkan rasa kesal langsung kerana memberikan sokongan kepada rejim kleptokratik sebelum ini, mereka kelihatan seakan-akan berbangga dengan sejarah kleptokratik mereka dengan menolak usul ini.
Pada bulan September 2018, pendokong ajaran klepto-teokrasi ini berjaya merasakan kuasa buat kali pertama dengan menolak rang undang-undang pemansuhan Akta Antiberita Tidak benar yang diluluskan oleh kerajaan kleptokratik Dato’ Seri Najib Razak untuk menutup mulut pengkritik dan mereka yang berani mempersoalkan skandal 1MDB.
Sebelum Barisan Nasional dihumban keluar oleh rakyat pada 9 Mei yang lepas, 1MDB dikategorikan sebagai berita palsu walaupun selalu menjadi tajuk berita akhbar antarabangsa.
Pada Januari 2017, apabila saya taipkan “1MDB” dalam carian Google, saya dapat 225 ribu hasil carian dalam amsa 0.42 saat. Sekarang, jika saya taipkan “1MDB” dalam carian Google, saya dapati 6.62 juta hasil carian dalam masa 0.34 saat!
Itulah “berita palsu” yang dikatakan oleh pendokong klepto-teokrasi!
Berapa lama lagikah pendokong klepto-teokrasi ini semua akan cuba untuk menolak agenda perubahan ke arah integriti?
Mereka mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan untuk berderai dalam beberapa bulan supaya mereka dapat mengekalkan tempat mereka dalam Dewan Negara.
Namun begitu, beberapa ahli Dewan Negara telah terjaga daripada ilusi mereka dan kini menyedari dan menerima hakikat yang kerajaan Pakatan Harapan akan terus mentadbir sepenuhnya untuk penggal ini dan boleh memenangi Pilihanraya Umum ke-15 juga.
Jumlah pendokong klepto-teokrasi di dalam Dewan Negara hanya akan berkurangan dan tidak lama lagi, mereka hanya akan menjadi satu minoriti yang tidak lagi relevan!