Sokongan terhadap seruan Mahathir supaya parti komponen Pakatan Harapan berhenti bergaduh sesama sendiri ataupun berisiko hilang sokongan
Saya menyokong seruan Perdana Menteri dan Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa parti komponen Pakatan Harapan untuk berhenti bergaduh sesama sendiri jika tidak mahu kehilangan sokongan dalam Pilihanraya Umum ke-15 kelak.
Kejayaan bersama empat parti politik Pakatan Harapan dalam menumpaskan kerajaan Barisan Nasional dan kekal teguh bersama sebagai satu pakatan sepanjang 14 bulan yang lepas adalah suatu keajaiban.
Kita cuma perlu lihat kembali ke tahun 2016, di mana Barisan Nasional telah berjaya memenangi Pilihanraya Negeri Sarawak pada bulan Mei dan kemudiannya menang besar dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada bulan Jun -- di mana masa hadapan politik negara kelihatan kelam dan peluang untuk menolak Dato’ Seri Najib Razak dan rejim Barisan Nasional daripada menjunamkan negara ke arah sebuah negara kleptokratik yang gagal kelihatan mustahil.
Namun begitu, Pakatan Harapan berjaya -- memberikan satu amanah dan tanggungjawab yang lebih besar untuk semua pemimpin PH untuk menjayakan sebuah Malaysia yang baharu yang telah dijanjikan, dengan menggubal semula polisi negara bagi membentuk satu Malaysia yang bersatu-padu, cemerlang, berkebebasan, adil, dan berintegriti, sebuah negara yang terulung yang disegani di mata dunia.
Pendokong ideologi klepto-teokrasi yang mendoakan kegagalan Pakatan Harapan dan Malaysia Baharu mahu melihat perpecahan di dalam PH -- apabila perkara ini tidak berlaku, mereka mendoakan kerajaan ini hanya kekal selama setengah penggal pula.
Walaupun kini sudah mentadbir kerajaan persekutuan selama 14 bulan, Pakatan Harapan masih dalam proses membiasakan diri dalam pentadbiran.
Untuk kejayaan Malaysia Baharu, Pakatan Harapan mestilah membiasakan dirinya menjadi satu pakatan kerajaan yang bersifat natural, bagi membolehkan kita memenangi PRU15 dan PRU-PRU yang seterusnya untuk memenuhi misi Malaysia Baharu ini.
Semalam saya telah katakan, transformasi Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global kepada satu negara berintegriti yang terulung adalah merupakan salah satu cabaran terbesar Pakatan Harapan. Sepantas kilat, ajen-ajen pemutar puak klepto-teokrasi menuduh saya mengatakan yang kerja transformasi ini sudah selesai dan Malaysia kini adalah negara berintegriti yang disegani di mata dunia.
Saya mesti tegaskan, belum, kita belum sampai ke tahap itu lagi. Proses ini masih panjang perjalanannya, tetapi sekurang-kurangnya kita berada di laluan yang betul untuk mencapai cita-cita ini.
Kajiselidik Merdeka Centre for Opinion Research yang baru diterbitkan menunjukkan sentimen secara umum rakyat terhadap hala tuju negara telah bertambah baik, meningkat sebanyak 4 mata peratus berbanding dengan suku tahun yang lepas.
- Mereka yang merasakan negara kini berada di hala tuju yang bertepatan meningkat daripada 34% pada bulan Mac 2019 kepada 40% pada bulan Jun 2019. Sebaliknya, mereka yang merasakan negara kini berada pada hala tuju yang salah turun daripada 46% pada bulan Mac 2019 kepada 38% pada bulan Jun 2019.
- Sentimen orang Melayu mengenai hala tuju negara meningkat sebanyak 7 peratus, kepada 31% daripada 24% pada bulan Mac lepas.
- Sentimen orang Cina juga meningkat sebanyak 10 peratus kepada 53% jika dibandingkan dengan bulan Mac.
- Namun begitu, walaupun sentimen di kalangan rakyat daripada suku kaum Melayu dan Cina meningkat, sentimen di kalangan rakyat daripada kaum India telah menurun. Kajiselidik tersebut menunjuk yang sentimen mereka terhadap hala tuju negara menurun daripada 63% pada bulan Mac kepada 45%.
Saya percaya kerajaan Pakatan Harapan boleh menjadi satu pakatan kerajaan yang natural, jika pemimpin-pemimpin parti dapat meyakinkan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, tempat tinggal, atau status sosio-ekonomi, yang negara kita kini berada di arah yang tepat untuk membina satu Malaysia yang baharu, dan lima tunggak utama yang dijanjikan dalam PRU yang lepas kekal menjadi panduan hala tuju pembangunan negara.
Lima tunggak utama ini adalah:
- Meringankan beban rakyat;
- Reformasi institusi dan politik;
- Menggalakkan pembangunan ekonomi yang mampan dan saksama;
- Mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti mana yang diberikan dalam Perjanjian Malaysia 1963;
- Mencipta satu Malaysia Baharu yang inklusif, moderat, dan disegani di mata dunia.
Semua pemimpin Pakatan Harapan perlu bermuhasabah dengan apa yang dikatakan Tun Dr Mahathir semalam:
“Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kita adalah untuk membaikpulih apa yang telah dirosakkan dan membetulkan apa yang salah mengenai negara kita ini.
“Kita perlu bertanya diri sendiri, sama ada kita akan terus diberikan mandat ini jika kita masih tidak berhenti bergaduh sesama sendiri. Tanpa menyedari, yang kita mungkin akan kehilangan mandat ini kerana pergaduhan sesama sendiri.”
Semua pimpinan Pakatan Harapan mestilah sedar akan persoalan yang ditimbulkan oleh Mahathir ini -- jika kita hilang mandat mentadbir ini, kita akan diukur berdasarkan apa yang telah kita capai dengan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada kita.