Eureka! Saya baru menyedari yang saya bukan hanya maha berkuasa, tetapi saya juga maha mengetahui dan sentiasa wujud sejak azali

Saya telah disedarkan bahawa saya sebenarnya maha mengetahui dan sentiasa wujud sejak azali.

Saya tidak pernah menyedari perkara ini dan saya mesti berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghebahkan perkara ini sewaktu menjalankan tugas pertama beliau sebagai penasihat Barisan Nasional di Pendang semalam.

Tetapi, saya tidak bersetuju dengan semua pendedahan ini.

Najib telah menuduh saya sebagai “bapa” penubuhan Bersatu. Sebelum ini, saya pernah dituduh sebagai bapa penubuhan AMANAH. Macam mana pula dengan PKR -- barulah sempurna naratif Najib di mana saya seorang ahli politik yang mendedikasikan keseluruhan hidupnya hanya untuk memecah-belahkan orang Melayu?

Hai Najib, patutkah saya juga mengaku menubuhkan parti Warisan?

Sayang sekali saya tidak dapat untuk mengaku menubuhkan PAS kerana saya hanya berumur 10 tahun semasa PAS ditubuhkan, melainkan jika saya juga merupakan seorang kanak-kanak yang berbakat luar biasa!

Najib mengatakan yang beliau telah diberitahu mengenai cadangan saya untuk menubuhkan Bersatu kepada Tun Mahathir oleh seorang individu yang dikatakan ada di dalam pertemuan untuk menubuhkan Bersatu tersebut.

Saya tidak mahu memalukan penasihat baharu Barisan Nasional ini dengan meminta beliau untuk menamakan “individu” ini, takut nanti beliau kehilangan pula jawatan penasihat BN yang baru dijawatnya. Baik saya minta orang yang kurang siuman untuk menamakan “hantu” yang mereka nampak dalam khayalan mereka.

Najib patut meneruskan tugas beliau sebagai penasihat BN kerana jelas sekali pelantikan ini merupakan satu rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tetapi, pada masa yang sama, saya berasa sedih dan kasihan melihat seorang bekas Perdana Menteri negara ini, jatuh sebegitu teruk sekali hingga seakan-akan kurang siuman. Setelah merosakkan dan memalukan nama dan reputasi negara di peringkat dunia dengan menjunamkan Malaysia ke dalam kalangan negara gagal, sebelum diselamatkan oleh rakyat Malaysia dalam pilihanraya bersejarah 9 Mei 2018.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri