Bilakah semua bekas menteri, ahli parlimen, dan pimpinan Barisan Nasional daripada zaman pemerintahan Najib akan memohon maaf ke atas perbuatan mereka — yang berpura-pura seakan-akan skandal 1MDB tidak pernah berlaku sedangkan seluruh dunia melihat Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global akibat 1MDB

Pihak Berkuasa Hong Kong baru-baru ini menyertai beberapa negara lain dalam mengambil tindakan terhadap Tim Leissner, bekas pegawai bank Goldman Sachs atas sebab-sebab berkaitan dengan skandal 1MDB.

Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong — biasanya dikenali sebagai Securities and Futures Commission (SFC) — telah mengharamkan Tim Leissner daripada menyertai industri perbankan untuk seumur hidup kerana penglibatan beliau dalam skandal 1MDB.

SFC berkata: “Pihak SFC mendapati tindakan Leissner (berkaitan 1MDB) menunjukkan satu peribadi yang serba kurang dalam kejujuran dan integriti dan perkara ini menimbulkan persoalan mengenai kesesuaian untuk beliau diberikan lesen perbankan.”

Merujuk kepada kenyataan SFC, Leissner telah mengaku bersalah terhadap tuduhan berkonspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram dan pelanggaran Akta Salahlaku Rasuah Luar Negara (Foreign Corrupt Practices Act) yang dibawakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ).

SFC juga mendakwa Leissner telah mengaku bahawa di antara tahun 2009 sehingga 2014; beliau berkonspirasi dengan beberapa individu lain untuk mendapatkan urusniaga daripada 1MDB untuk Goldman Sachs melalui janji untuk memberikan rasuah dan pembayaran rasuah kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi; menyeleweng dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi beliau dan beberapa individu lain; melakukan pengubahan haram wang rasuah dan hasil penyelewengan wang 1MDB; dan memintas prosedur dalaman Goldman Sachs yang bertujuan untuk mengesan salahlaku.

Mahkamah di Amerika Syarikat mendapati Leissner bersalah ke atas kedua-dua tuduhan dan mengarahkan beliau untuk menyerahkan USD43.7 juta (lebih kurang RM181 juta) sebagai hukuman.

Berbalik ke Malaysia, soalan yang ditanya-tanyakan oleh semua rakyat Malaysia ialah: Bilakah semua bekas menteri, ahli parlimen, dan pimpinan Barisan Nasional daripada zaman pemerintahan Najib akan memohon maaf ke atas perbuatan mereka — yang berpura-pura seakan-akan skandal 1MDB tidak pernah berlaku sedangkan seluruh dunia melihat Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global akibat 1MDB.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri