Apakah tindakan Tengku Razaleigh untuk menghentikan skandal 1MDB pada waktu pemerintahan Najib dan apakah yang sudah beliau lakukan dalam 14 bulan yang lepas untuk membersihkan UMNO daripada unsur kleptokrasi
Di Rumah Terbuka Aidilfitri Meraikan Penggiat Seni dan Sastera yang dianjurkan secara bersama oleh Pak Samad dan saya di Sentul malam tadi, saya telah diminta oleh pihak media untuk memberikan komen mengenai seruan Tengku Razaleigh untuk kerajaan melaksanakan cadangan-cadangan Suruhanjaya DiRaja mengenai Urusan Perdagangan Matawang Asing Bank Negara pada tahun 90an.
Saya telah menolak permintaan tersebut memandangkan majlis ini adalah satu majlis untuk meraikan seni dan sastera dan adalah tidak bersesuaian untuk bercakap mengenai perkara lain dalam majlis ini.
Majlis ini telah dihadiri oleh empat sasterawan negara — selain daripada Pak Samad (Datuk Seri Abdul Samad bin Mohamad Said), turut dihadiri oleh Dato Dr Ahmad Khamal Abdullah, Dato Dr Zurinah Hasan, dan Professor Emeritus Dr Mohd Haji Salleh.
Majlis seni dan sastera yang pertama kali dianjurkan oleh DAP ini turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Ahmad Sallehudin, Pengerusi Lembaga Pengarah dan Pengurus Besar ITBM, Encik Mazmi Bin Kamal dan Encik Sakri Abdullah, Presiden dan Setiausaha Agung PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Saifulizan Yahaya, dan Ahli Panel Penasihat FINAS, Bront Palarae.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim telah memulakan acara dengan membacakan dua puisi. Wakil-wakil rakyat DAP lain yang turut hadir memeriahkan majlis ini adalah Exco Negeri Johor, Sheikh Omar Ali, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Sandakan, Vivien Wong, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor, Edry Faizal (Dusun Tua) dan Lim Yi Wei (Kampung Tunku, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Syerleena Binti Abdul Rashid (Seri Delima), dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang, Young Shefura Binti Othman (Ketari).
Setiausaha politik saya, Syahredzan Johan juga telah membacakan sepatah puisi yang ditulisnya sendiri.
Seperti yang saya katakan semalam:
“Mana-mana bahasa, tanpa sastera dan seni, akan menjadi bahasa yang layu dan lama-lama mati. Sastera dan seni menjadikan sesuatu bahasa itu indah dan kaya.
“Keindahan dan kekayaan bahasa Melayu, sama seperti semua jenis bahasa lain yang wujud di dunia ini, terbit daripada karya-karya yang dihasilkan sejak zaman-berzaman.
“Kita rakyat Malaysia perlu memberi sokongan kepada sastera dan seni untuk memastikan ia terus mekar.
“Kerajaan dan parti politik juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini.
“Dengan kesedaran ini, saya dan parti menyokong penuh keputusan Kerajaan untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada para Sasterawan Negara baru baru baru ini.
“Kami juga berharap Kerajaan akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada penggiat seni dan sastera dalam pelbagai bentuk selepas ini. Usaha memartabatkan seni dan sastera Melayu tidak wajar terhenti di sini.
“Ini tanggungjawab kita bersama dalam membina sebuah Negara bangsa Malaysia.”
Mengenai komen Tengku Razaleigh tentang cadangan Suruhanjaya DiRaja Siasatan Urusan Perdagangan Matawang Asing Bank Negara, saya berpegang dengan apa yang katakan pada 2 Disember 2017, yang laporan ini bermotivasi dendam dan bertujuan untuk merosakkan nama Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum datangnya Pilihanraya Umum ke-14.
Saya telah berkata sewaktu itu:
“Satu hasil yang menyedihkan daripada penyiasatan ini adalah penghinaan dan pencemaran institusi Suruhanjaya Siasatan DiRaja — seperti yang ditunjukkan melalui pembentangan laporan siasatan ini pada hari terakhir sidang parlimen, tanpa sebarang notis ataupun peluang untuk ahli parlimen mendebatkan kandungannya.”
Saya telah bertanya ketika itu, mengapa dua laporan dalaman Bank Negara yang bertajuk “Laporan Audit Bahagian Operasi Tukaran Matawang Asing Jabatan Perbankan dan Bahagian Pemprosesan Jabatan Akaun seperti pada 31 Disember 1992” — bertarikh 21 Januari 1994 yang disediakan Jabatan Audit Dalaman Bank Negara untuk pengurusan tertinggi Bank Negara dan Jawatakankuasa Audit — dan “Rawatan Perakaunan Kerugian daripada Pengurusan Aktif Rezab 1988 - 1994” — yang bertarikh 18 April 2007 yang disediakan oleh Bank Negara atas arahan Gabenor BNM pada waktu itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz — tidak dijadikan dokumen awam oleh RCI tersebut.
Saya juga telah menekankan yang kabinet Najib — yang berpura-pura seakan-akan skandal 1MDB yang menjerumuskan Malaysia ke dalam kleptokrasi global itu tidak wujud — bertindak sepantas kilat ke atas aduan bekas Penolong Gabenor dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini — yang mana saya sendiri telah terlibat dengan memberikan pengakuan saya.
Saya bertanya, dalam cubaan menyalahkan pemimpin politik dan penjawat awam tahun 90an ke atas kerugian Perdangangan Matawang Asing Bank Negara, kenapa peranan Najib Razak sebagai seorang menteri kabinet ketika itu tidak disebut dan sama ada pimpinan politik dan penjawat awam masa sekarang bersedia untuk menjelaskan tindakan mereka yang berpura-pura seperti skandal 1MDB yang merosakkan ini tidak pernah berlaku walaupun seluruh dunia menganggap Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global.
Mungkin Tengku Razaleigh patut menjelaskan, apa yang beliau telah lakukan untuk menghentikan kerosakan skandal 1MDB ketika pemerintahan Najib dan apa yang beliau telah lakukan dalam 14 bulan yang lepas untuk membersihkan UMNO daripada anasir kleptokrasi.